Wednesday, April 16, 2008

Pak Lah terus digesa percepat peralihan kuasa

Inilah pemimpin UMNO yg ada telur!
Cakap terang2 tak perlu belit2!
Bagus Datuk Syed!


From http://www.mstar.com.my/

16-04-2008 03:13:35 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: UMNO Cheras mahu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan tarikh jelas mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak agar ahli UMNO akar umbi tidak tertanya-tanya.

Ketuanya Datuk Syed Ali Al-Habshi berkata, kenyataan terbaru Abdullah bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden UMNO Disember depan mengelirukan ahli akar umbi kerana sebelum ini telah dilaporkan bahawa Abdullah sudah berjanji akan menyerahkan pucuk pimpinan kepada Najib.

"Pak Lah perlu menunjukkan keikhlasan beliau untuk menyerahkan kuasa kepada Najib. Alasan beliau perlukan masa melaksanakan janji-janji pilihanraya tidak boleh diterima kerana ia adalah manifesto Barisan Nasional yang boleh diteruskan oleh penggantinya nanti.

"UMNO Cheras bukannya hendak mendesak kerana kita sangat menghormati pemimpin kita, tetapi UMNO perlukan perubahan dan kepimpinan baru. Oleh itu, Pak Lah perlu memberikan tarikh bila beliau akan melaksanakan peralihan kuasa yang dijanjikannya itu dengan segera, melainkan Najib sendiri mengaku belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai presiden UMNO dan Perdana Menteri," katanya.

Beliau juga meminta majlis tertinggi (MT) UMNO agar berhenti menidakkan hak akar umbi dengan membuat keputusan-keputusan yang boleh dianggap mengekang amalan demokrasi dalam UMNO.

"Misalnya kita tidak mahu lagi MT kali ini membuat keputusan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan. Mereka tidak berhak membuat keputusan seperti itu kerana sebahagian besar mereka adalah orang-orang yang berkepentingan.

"Dalam keadaan UMNO menghadapi masalah kehilangan kewibawaan dan kepercayaan rakyat, pemimpin perlu mendapatkan kekuatan melalui sokongan akar umbi, bukan dengan membuat keputusan sesuka hati tanpa merujuk kehendak ahli banyak," katanya.

Katanya, isu peralihan kuasa itu adalah agenda yang akan dibangkitkan pada mesyuarat luar biasa (EGM) bahagian itu pada 27 April ini yang diadakan khas bagi membincangkan pemansuhan sistem kuota dalam pemilihan parti.

Mengikut sistem kuota yang diperkenalkan pada 1988, 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian) diperlukan untuk jawatan presiden, timbalan presiden (20 peratus atau 38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus atau 19 bahagian) dan ahli MT (lima peratus atau 10 bahagian).

Syed Ali berkata pemimpin perlu sedar bahawa apabila parti menghadapi masalah besar seperti yang berlaku sekarang, kehendak akar umbi perlu diambil kira bagi memastikan keadaan tidak menjadi semakin kucar kacir.

"Pemimpin peringkat bahagian misalnya, mesti memikul tanggungjawab menegur pucuk pimpinan jika melihat sesuatu yang tidak betul, bukan dengan mendiamkan diri kerana menjaga periuk nasi mereka kerana ini boleh menyebabkan pemimpin terus khayal.

"Kalau kita benar-benar sayangkan parti, beritahulah perkara yang sebenarnya supaya ahli akar umbil tidak terus marah kerana kemarahan akar umbi boleh menyebabkan UMNO berkubur," tambahnya.

Beliau mendakwa mempunyai maklumat mengenai beberapa bahagian di Wilayah Persekutuan yang kebanyakan cawangannya telah mendesak agar diadakan EGM, tetapi disekat oleh ketua bahagian.

No comments: