Wednesday, March 25, 2009

'Saya perlu lepasi dua ujian awal'

Oleh Ahmad Naim Tahir dan Syuhada Choo Abdullah

NAJIB menjawab soalan yang diajukan pengacara Dialog @ 1, Syed Munawar Syed Mustar yang disiarkan secara langsung dari Dewan Tun Hussein Onn di PWTC, malam tadi.

Barisan Kabinet, ucapan sulung bukti penerimaan rakyat: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau perlu melepasi dua ujian pertama sebaik mengambil alih teraju kepemimpinan negara daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan memastikan sama ada kerajaan pimpinannya diterima rakyat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, dua perkara itu ialah pembentukan Jemaah Menteri dan ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, sama ada menerima reaksi positif rakyat atau sebaliknya.

“Saya akan diuji dengan dua perkara, iaitu susunan Jemaah Menteri yang baru, sama ada ia akan diberi harapan oleh rakyat. Yang kedua, ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, apa agendanya.

“Jika kedua-dua perkara itu boleh diterima dengan baik oleh rakyat, saya percaya rakyat akan bersama-sama kita. Jika tidak, parti dan kerajaan akan menghadapi laluan amat sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dialog@1 bertajuk Umno: Berubah atau Diubah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi yang turut disiarkan secara langsung oleh RTM melalui saluran TV1.

Katanya, Umno perlu menangani persepsi umum yang melihat parti itu sombong dan angkuh serta mengamalkan salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan dan kegagalan berbuat demikian boleh membawa kesan negatif pada pilihan raya.

“Melihat kepada aliran (undi) pada pilihan raya umum lalu, bererti kita perlu berani melakukan perubahan dan saya masih yakin sekiranya kita berani buat perubahan, insya-Allah sokongan kepada Umno dan BN akan kembali dan kita boleh pulih semula kedudukan kita seperti sedia kala.

“Kita tiada pilihan untuk bersikap seperti sedia kala... ia bukanlah pilihan kerana kalau kita buat begitu, kita mungkin akan ditolak oleh rakyat kerana isyarat sudah diberikan pada PRU ke-12.

“Maknanya, rakyat masih hendak pada Umno dan Barisan Nasional (BN), bukan pembangkang, tetapi rakyat mahu Umno mendengar kehendak dan aspirasi mereka, rakyat mahu Umno dan BN buat perubahan berdasarkan kepada kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata, perubahan itu mesti dilakukan dalam Umno sendiri supaya segala persepsi negatif rakyat dapat dikikis.

“Sebab itulah, proses pemilihan dalam Umno mesti dikaji semula, struktur dalam Umno mungkin perlu kita rombak. Soal dalaman Umno perlu kita lakukan perubahan dan selepas itu, barulah dasar dan pendekatan kerajaan. Kita mesti cara jawapan kepada apakah yang diutamakan rakyat sebenarnya,” katanya.

Najib turut meminta perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno bermula esok supaya memilih pemimpin berdasarkan hati nurani mereka, bukan kerana memikirkan calon tertentu dapat menjaga kepentingan mereka jika menang jawatan.

“Ciri-ciri harus ada pada pemimpin yang baik ialah kesetiaan, kebolehan dan integriti, tetapi sepatutnya dimulakan dengan integriti, yang kedua kebolehan dan ketiga, kesetiaan.

“Kalau kita memilih berdasarkan ciri-ciri ini, maka itulah proses perubahan atau reform dalam Umno yang patut dilakukan. Jangan kita pandang pada pemimpin kerana reform itu di tangan kita sebagai ahli Umno, terutama sekali perwakilan,” katanya.

Mengenai barisan pemimpin impiannya, Najib berkata, sukar untuk mendapat keputusan yang sempurna, tetapi sekurang-kurangnya sebahagian besar daripada pemimpin (calon) mencerminkan ciri-ciri terbaik.

Ditanya perasaan tidak puas hati sesetengah pihak terhadap keputusan Lembaga Disiplin, Najib berkata, sukar memuaskan hati semua pihak tetapi yang penting tindakan diambil berdasarkan bukti jelas dan konkrit.

Katanya, Umno juga sedar mengenai pentingnya konsep perkongsian kuasa dan mempertimbangkan suara komponen BN untuk mengemukakan apa juga yang mereka fikirkan baik untuk kumpulan etnik atau kaum diwakili mereka.

Mengenai kemungkinan wujud perpecahan dalam Wanita Umno, Najib berkata, beliau yakin pergerakan itu akan merapatkan semula barisan mereka selepas selesai pemilihan seperti yang dibuktikan sebelum ini.

Beliau juga berkata, tiada istilah Team A dan Tema B pada pemilihan Umno kali ini seperti yang berlaku pada pemilihan 1987 kerana jawatan Presiden tidak dipertandingkan.

Katanya, proses peremajaan Umno perlu dilakukan secara lebih menyeluruh dan melihat bagaimana pemimpin muda dapat menyertai parti yang akan dipermudahkan melalui pendaftaran secara online yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Kita tidak mahu ada cantas-mencantas atau sekat-menyekat. Mana-mana pemimpin yang ada kebolehan boleh masuk. Saya mahu ada gabungan dari segi intelektual dan pemimpin bercorak akar umbi dalam parti,” katanya.

Tuesday, March 24, 2009

Dato’ Seri Najib: UMNO mesti BERANI BERUBAH

Ucapan dasar Timbalan Presiden UMNO YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Selasa 24 Mac 2009 Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillahirrabbil a’lamin.

Segala salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,

Yang Berhormat Tan Sri Rafidah Aziz,

Ketua Pergerakan Wanita,

Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein,

Ketua Pergerakan Pemuda,

Yang Berhormat Datuk Noraini Ahmad,

Ketua Pergerakan Puteri,

Yang Berhormat Naib-naib Presiden UMNO,

Yang Berhormat Datuk Seri Setiausaha Agung UMNO,

Ahli-ahli Majlis Tertinggi,

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri,


Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian

1. Alhamdulillah, marilah sama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.

2. Pertama sekali, kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.

3. Sesungguhnya Wanita, Pemuda dan Puteri adalah tulang belakang dan sayap parti UMNO. Jatuh bangun, gagal jaya parti bergantung kepada semua ahli terutama saudara dan saudari. Bersama semangat dan azam, Wanita, Pemuda serta Puteri mesti berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus menyalakan obor perjuangan. Yakinlah bahawa, kita sedang mengibarkan panji-panji kebenaran. Yakinlah bahawa, kita sedang bergerak di landasan yang mulia.

4. Baru-baru ini, kita menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Kuala Terengganu. Sekalipun nasib tidak menyebelahi kita, saya berterima kasih kerana Wanita, Pemuda dan Puteri tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam perjuangan. Begitulah kita yakin komitmen seumpama ini akan diserlahkan jua dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi pada 7 April nanti.

Saudara dan saudari,

5. Sememangnya, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun 2008. Jelas sekali, keputusan pilihan raya tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh parti. Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.

6. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju UMNO telah menyimpang jauh dari perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama UMNO kini menukar haluan mereka.

7. Lantaran itu, tugas saudara dan saudari, para perwakilan pada tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah UMNO. Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival UMNO itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

8. Hakikatnya, UMNO masih disayangi oleh orang-orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan UMNO sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, UMNO wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

Saudara dan saudari,

9. Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:
Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan:
Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang. Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa :
Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

10. Mengambil maklum dan iktibar daripada ayat-ayat suci itu, makanya, kita berkumpul pada malam ini bukan untuk bersedih mahu pun untuk berduka lara di atas musibah yang berlaku, akan tetapi kita berhimpun sebagai sebuah parti atas satu tujuan untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan UMNO.

11. Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan mena’kul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang enam puluh tiga tahun kewujudannya, UMNO telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. UMNO telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila UMNO mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.

12. Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang-orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan UMNO. UMNO juga telah membuat pengorbanan besar apabila di dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada tahun 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi UMNO sehinggalah kini.

Saudara dan saudari,

13. Pencapaian UMNO lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli UMNO tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.

14. (Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970). UMNO hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya UMNO telah terlibat secara pro aktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pemimpin UMNO yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan FELDA serta membangunkan kawasan luar bandar.

15. (Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980). Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan UMNO telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.

16. (Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990). Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan UMNO yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?

17. (Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991 – 2000). Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan UMNO yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak UMNO juga yang menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.

18. Alhamdulillah, memang ternyata UMNO mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga UMNO adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, UMNO parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.

Saudara dan saudari,

19. Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli UMNO hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Lanskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.

20. Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada tahun 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pasca tamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada tahun 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.

21. Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal. Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui buku-buku atau cerita-cerita sahaja.

22. Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya. Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan. Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.

23. Untuk itu, UMNO harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. UMNO dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan.

24. Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘ beri salah, tidak beri kalah’. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi … Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan UMNO, parti tercinta ini.

Saudara dan saudari,

25. UMNO sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian UMNO ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.

26. Kita mesti juga memastikan amalan jelek cantas mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.

27. Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menanggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi UMNO dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa UMNO bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang UMNO janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?.

28. Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli UMNO. Dari itu, percayalah UMNO akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan UMNO terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka. UMNO juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya. UMNO akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli UMNO berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui UMNO.

29. Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan UMNO kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin UMNO mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita seperti kadok naik junjung seraya lupa bahawa UMNO itu adalah parti akar umbi, lupa akan hakikat UMNO itu, parti yang lahir dari semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala UMNO terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.

30. Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci UMNO, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan. Kita bawa semula UMNO menelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.

Saudara dan saudari,

31. Sebagai komponen terbesar sayap UMNO, pergerakan Wanita di bawah kepimpinan YB Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan pergerakan Wanita sangat penting untuk UMNO. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini. Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertautlah kembali.

32. Kepada para Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan pemuda teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa.

33. Begitulah juga, Puteri UMNO yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk melibatkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada YB Dato’ Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri UMNO. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti.

Saudara dan saudari,

34. Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang. Oleh itu, untuk UMNO terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah UMNO lalui. Pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaruan bukannya penaklid yang mengekor di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya.

35. Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya tahun 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dari lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

36. Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan UMNO harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan UMNO perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. Generasi muda kepimpinan UMNO juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik.

Saudara dan saudari,

37. Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sirna ketamadunan.

38. Rasulullah juga semasa berhijrah telah mempersatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang mendasari pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya.

39. Tersenarai, antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai al-falah.

40. Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, makanya demi survival, UMNO dan orang-orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaruan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat. Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.

41. Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut UMNO, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi UMNO supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.

42. Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli UMNO perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan UMNO. Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan esprit de corps.

43. Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih para ahli menjadi pemimpin yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan.

44. Keduanya, kita mesti mengubah cara UMNO menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung UMNO hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli UMNO di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan UMNO dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan UMNO dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

45. Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah UMNO akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli UMNO menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.

Saudara dan saudari,

46. Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh UMNO juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, UMNO bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.

47. Berdasarkan itu, bahagian-bahagian UMNO di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya pun, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan UMNO telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, UMNO sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.

Saudara dan saudari,

48. UMNO menjunjung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Raja-raja Melayu sebagai payung negara dan payung negeri menjadi elemen penting kepada supremasi perlembagaan. Walaupun dalam sistem ini raja bertakhta tapi tidak memerintah, setiap kerajaan tetap mentadbir atas nama baginda sebagai ketua eksekutif kerajaan. Oleh itu, jika orang-orang Melayu sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja kita yang selama ini menjadi asas kestabilan dan simbol perpaduan, maka, siapa lagi?

49. Justeru itu, janganlah mana-mana pihak memutarbelitkan fakta sejarah tentang tindakan UMNO meminda undang-undang berkaitan raja-raja. Tindakan itu dibuat bukan dengan mala fide tetapi dengan hasrat yang murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan raja-raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi. Di sini, suka saya mengingatkan kepada semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru terngadah. Pada pihak yang telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait, janganlah pagi sembah setia tetapi petang sembah derhaka.

Saudara dan saudari,

50. Dengan segala cabaran nasional serta global, sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa. Krisis ekonomi yang melanda adalah di luar dugaan malah ia merupakan krisis yang terburuk semenjak kemelut The Great Depression. Makanya, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai rasa selamat dan tidak berpaut dengan realiti. Zahirnya, ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan ekonomi 50 tahun dahulu. Hari ini, Malaysia merupakan antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi satu trilion ringgit setahun.

51. Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita. Kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan kemakmuran global. Malaysia tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum. Kita juga tidak boleh pulih jika rakyat tidak mempunyai keyakinan. Malah prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara. Dalam hal ini, janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Suka saya menyeru, marilah kita bersama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud dan sempit.

Saudara dan saudari,

52. Bahasa itu jiwa bangsa. Indahnya bunyi ungkapan. Di noktah ini saya ingin tegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apa pun yang terjadi. Namun begitu, harus diingat, tanpa bangsa apa gunanya bahasa. Misalnya, bahasa Latin telah hampir lenyap dan hanya hidup menjadi bahasa akademik di menara-menara gading serta istiadat dengan runtuhnya empayar Roman. Apatah lagi nasib bahasa Sanskrit, Inca dan Aztec yang mati dan tenggelam bersama bangsa penuturnya. Inilah nasib bahasa apabila bangsa penutur itu sendiri sudah tiada lagi. Lagipun, siapa yang hendak belajar bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa yang lemah, miskin dan tidak berilmu.

53. Dek yang demikian, kelangsungan sesuatu bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya. Hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bahasa, budaya dan sistem nilainya. Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguh dan diperkasakan terlebih dahulu. Ini memerlukan kepada penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris. Seyogia, generasi muda terutamanya perlu bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris malah sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluki pasaran dunia (dan ini tidak termasuk dialek-dialek seperti Jawa, Bugis, Banjar dan dialek “Kelate”). Usahlah bimbang, mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi.

54. Oleh yang demikian, jangan berlengah lagi. Hentikan segala polemik yang tidak bermanfaat. Hentikanlah juga segala bentuk kerenah politik yang menjengkelkan. Marilah kita bersama-sama menyingsing lengan mengumpul kudrat nasional demi memastikan kemakmuran negara akan berterusan. Ingatlah, UMNO bukan parti siasah yang biasa seperti parti pembangkang, kita adalah parti yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk menjadi peneraju kepada kerajaan yang memerintah. Kendati itulah rakyat Malaysia sentiasa bergantung harap kepada UMNO sebagai parti yang mampu memberi kepimpinan dan mencipta penyelesaian.

55. Melayu dan UMNO tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, apabila orang Melayu dan UMNO bergerak sederap dan seiring, sejarah telah membuktikan bahawa maruah dan martabat bangsa telah berjaya diangkasakan. Namun apabila orang Melayu mula menjadi seperti enau dalam belukar ingin melepaskan pucuk masing-masing sehingga ada yang sanggup membelakangkan kepentingan bangsa, maka anasir-anasir tertentu telah mula menyelinap dan menangguk di air yang keruh. Kini orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Akibatnya, telah mula ada pihak-pihak yang mempersoalkan apa yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan. Ada pula yang berani menuduh kita mengamalkan dasar aparteid. Sedangkan ini jauh menyimpang dari kebenaran.

56. Ketahuilah sesungguhnya, dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu bukan kerana kita merasakan bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari sesiapa tetapi dasar-dasar ini digubal atas sebab bangsa Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain. Malah, jika membiarkan bangsa Melayu dan bumiputera yang membentuk lebih dua pertiga rakyat negara terpinggir tanpa pembelaan itulah sebenarnya satu formula ketidakstabilan. Oleh sebab itu, kita akan meneruskan dasar yang adil bagi semua, tanpa mengira kaum.

57. Kesimpulannya, untuk kekal lestari UMNO mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Saudara dan saudari,

58. Patah tumbuh hilang berganti. Di sini, saya bagi pihak UMNO ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Presiden parti yang telah memimpin UMNO sepanjang lima tahun lalu. YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, dalam rangka mempertingkatkan keyakinan terhadap institusi kehakiman, telah menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim. Begitu juga usaha berterusan beliau memerangi rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

59. Kita turut berterima kasih kepada Pak Lah di atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial dari segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.

60. Menjadi asas kepada semua ini adalah pemerkasaan modal insan yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Pak Lah melihat bahawa menjelang separuh abad kita merdeka, negara telah pun memiliki prasarana fizikal yang moden dan bertaraf antarabangsa. Kemajuan fizikal ini tidak lengkap tanpa dikendalikan oleh modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha memperkasakan modal insan ini telah dijadikan teras seperti tergaris dalam misi nasional dan akan kita teruskan dalam perjalanan menuju wawasan negara.

Saudara dan saudari,

61. Menoleh perjalanan politik saya, sudah lebih 33 tahun saya bersama dengan sayap-sayap UMNO setiap kali persidangan. Alangkah hiba rasanya, malam ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga berasa terharu dan tawadhuk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara.

62. Sesungguhnya, saya diperinsafkan oleh hakikat bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwarisi ini telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung, bermula dari Allahyarham Dato’ Onn Jaafar diikuti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kemudian pula ayahanda saya yang dikasihi Allahyarham Tun Abdul Razak. Berikutnya beliau disusuli Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum diambil alih oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kini amanah yang dipikul oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi akan diserah pula kepada saya. Maka kini, dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara, tergalas di bahu ini satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia parti UMNO membela untung nasib rakyat.

63. Di sini, dengan ikhlas dirakamkan penghargaan peribadi kepada setiap ahli UMNO yang telah menyokong saya. Saya juga ingin memahatkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya selama saya memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO.

64. Adalah diharapkan agar permuafakatan yang sebegini diteruskan apabila saya memegang jawatan Presiden nanti. Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden UMNO baru yang bakal dipilih kelak. Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman.

65. Akhir kata, safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi. Dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, insya Allah, laungan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema di Dewan Merdeka ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.

66. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2009.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

3 Calon Pilihan buat Perwakilan UMNO di PAU 2009



Selamat Bersidang Buat Perwakilan UMNO!
Undilah dengan rasa penuh amanah dan bertanggungjawab.

Monday, March 23, 2009

Hari Penentuan

Rabu 24 Mac 2009 Persidangan Agung UMNO (PAU) 2009 bermula.

Setelah hampir 7 bulan bertungkus lumus berkempen dengan penuh pencak silat dan ada yang terjatuh sebelum sempat masuk gelangang maka esok adalah hari penentuan utk perwakilan Wanita, PEMUDA dan Puteri membuat perhitungan.

Manakala umtuk lain-lain jawatan pula akan ditentukan pada 26 Mac.

Undi-undi yg dipertaruhkan untuk direbut adalah dari 791 perwakilan Pemuda, 796 undi perwakilan Wanita dan 789 undi perwakilan Puteri.

Pengundian akan dijalankan pada pukul 11 pagi di Dewan Tun Dr Ismail, Tun Hussein Onn dan di Dewan Merdeka. Dijangka berlangsung selama 2 jam dan pengiraan undi akan dibuat secara manual di Dewan Tun Razak 4.

Pengumuman oleh Pengerusi Tetap pada pukul 8 - 9 malam.

Kepada semua yg bertanding diucapkan Selamat Bertanding.

Kalah menang adat pertandingan. Semoga calon-calon yang terpilih adalah pilihan akar umbi serta mempunya imej yg Bersih, Mempunyai Integriti, Cekap, Bijak serta Berani bagi menerajui kepimpinan Negara dan amanat Bangsa di samping boleh bersilat dengan Puak Pembangkang.

Selamat Bersidang Wanita, Pemuda dan Puteri

Jalankan amanah dan undilah dengan penuh kesedaran dan penuh tanggungjawab untuk Agama, Bangsa dan Tanahair.

10 resolusi ikrar pertahan hak pribumi, Islam

KUALA LUMPUR: Persidangan Kemuncak Pribumi Negara yang disertai 66 badan bukan kerajaan (NGO) semalam berikrar mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan dan kesinambungan Melayu dan pribumi sebagai kaum majoriti asal yang sah menurut sejarah dan Perlembagaan.

Sambil menegaskan bahawa perpaduan kaum Melayu dan pribumi menjadi teras kestabilan rakyat, persidangan sehari anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu meluluskan 10 pendirian iaitu:

* Mengulangi dan memperkukuhkan pendirian bagi mempertahankan Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu ke-215 pada 16 Oktober 2008 berhubung hak keistimewaan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

* Menyeru pemimpin kaum pribumi memperkukuhkan perpaduan dan ukhuwah Melayu dan pribumi sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia serta berperanan mengekalkan kestabilan sebagai tanggungjawab bersama.

* Menggesa semua pihak termasuk parti siasah dan badan bukan kerajaan mengakui dan menerima peruntukkan berkaitan hak keistimewaan Melayu dan pribumi serta kepentingan sah kaum lain dan menentang pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dan pribumi dalam perundangan dan pelaksanaan.

* Mengesyorkan pihak berkuasa mengambil langkah memperkasakan peruntukkan mengenai hal Islam dalam Perlembagaan dan menolak provokasi bagi maksud penyamarataan, pencerobohan tauhid dan gagasan pluralisme agama yang bercanggah Perlembagaan.

* Mencadangkan kedudukan Tanah Simpanan Melayu (TSM) dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 fasal 5 dan perkara 10 fasal 4, bagi memastikan tidak berlaku penghakisan dan penghapusan TSM secara berterusan tanpa sebarang gantian yang wajar.

* Menggesa semua pihak menghormati semangat Perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan secara langsung atau tidak langsung menjejaskan dan menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan media pengajaran dalam sistem pendidikan kebangsaan.

* Menggesa kerajaan Pusat dan negeri menggubal langkah strategi dan inovasi serta pengawalan dan pencegahan dalam memastikan pribumi bukan saja mampu menghadapi keadaan krisis ekonomi semasa, bahkan pencapaiannya terus dipertingkatkan bagi memastikan pribumi mampu bersaing dalam perubahan landskap ekonomi dunia yang semakin liberal dan global.

* Menggesa pihak bertanggungjawab merangka pelan dan jangka masa tindakan dan pengukuran kejayaan terhadap usaha memperkasakan hak istimewa bangsa Melayu dan pribumi serta Raja Melayu selaku penaung dan penasihat dan melaksanakan semua pelan tindakan ini sehingga berjaya.

* Menyeru digabungkan seluruh kekuatan antara pertubuhan Melayu, pribumi dan Islam dalam suatu saf gerak kerja lebih tersusun dan berkesan untuk memperjuangkan suatu pembentukan pemikiran strategik dalam mengekalkan ketahanan dan kelangsungan kedaulatan Melayu, pribumi dan Islam dalam Perlembagaan dan pelaksanaan, dan

* Menggesa kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu sensitif yang sudah disepakati bagi tujuan kepentingan politik dan kumpulan.

Wednesday, March 18, 2009

Perhimpunan Peribumi PERKASA 22 Mac 2009



Jam: 9 Pagi
Tarikh: 22 Mac 2009
Tempat: Dewan Utama, Kompleks TNB, BANGSAR
Anjuran: PERKASA

Ucaptama oleh: YABhg. Tun Dr Mahathir

3 Calon Pilihan buat Perwakilan UMNO di PAU 2009




"Kami bersama menyokong Kepimpinan Dato Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO, Kami juga menyokong Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Menyokong penoh Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir sebagai Ketua Pemuda UMNO."

SELAMAT BERSIDANG PERWAKILAN UMNO

http://www.mykmujohor.com/index.php?option=com_frontpage&Itemid=1

Tuesday, March 17, 2009

Pilihan Kami



“ Kami bersama menyokong Kepimpinan Dato Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO, Kami juga menyokong Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Menyokong penoh Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir sebagai Ketua Pemuda UMNO.”
SELAMAT BERSIDANG PERWAKILAN UMNO

SELAMAT BERSIDANG PERWAKILAN UMNO

http://www.kelabchedet.com/index.php

Sunday, March 1, 2009

Sunday, January 11, 2009

Retroactive update to my blog

I have been away from Malaysia since December 16, 2008 and thus, have not much chance to update my blog as my newly tuned up beloved notebook upon arriving Hong Kong airport in transit have had problem w bringing up Windows and as soon arrived Paris died on me completely.

I have to depend on my host's notebook or internet on the road. In Paris I have not much time to go online, only my emails, whilst in Paris, too hectic schedule and not much time to go online.

So I have to update my blog retroactively.

I was abled to see the demo in London against Israel, but mostly by muslims Arabs or Pakistanis, not by whites. Most whites in Britain, France and Europe in my observations are pro-Israelis just like America ):

Quite a lot of coverage about Malaysia on our reaction to Gaza War and Tun Dr Mahathir, Dato' Rais Yatim outspokeness make the primetime news here.

Tun Mahathir on his Boycott Israel campaign whilst, Rais Yatim's comment on the Iraqi's journalist shoes thrown on Bush as the ultimate weapon on mass destruction.

Hidup pemimpin2 Melayu yang berani begini. Tabik hormat!

Thursday, January 8, 2009

IJN and the sticky fingers at Sime Darby?

Can the Sime Darby fiasco to take over IJN be Dollah and the Gang final attempts to loot the country of anything they can "lanun"?

Who are behind this bruhaha? Malaysians should investigate.


ARKIB : 07/01/2009
Sime Darby batal ambil alih IJN

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Sime Darby Bhd. (Sime Darby), sebuah konglomerat tempatan yang sebelum ini berhasrat mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sehingga menimbulkan bantahan ramai, hari ini memutuskan untuk tidak melaksanakan cadangan itu.

Syarikat milik kerajaan itu dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya telah mencapai satu persefahaman selepas mengambil kira sentimen orang ramai dan juga maklum balas yang diterimanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penangguhan terhadap rancangan Sime Darby untuk memulakan perundingan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan bagi membeli 51 peratus kepentingan dalam IJN.

IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dalam kenyataan yang sama berkata, pihaknya menghormati kehendak rakyat negara ini supaya IJN kekal dalam bentuk yang sedia ada.

Beliau berkata, ''Kami percaya pelaburan berterusan dalam penjagaan kardiovaskular penting kerana ia adalah punca utama pesakit dimasukkan ke hospital dan menjadi salah satu punca utama kematian di Malaysia.

''Perkongsian dengan IJN sekiranya terlaksana akan menguntungkan kami, IJN, pemegang kepentingan dan juga orang ramai, dan bersandarkan hakikat itu kami telah mengemukakan cadangan pembelian ekuiti itu kepada kerajaan.

''Tetapi, kami sebagai sebuah syarikat yang mana pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat negara ini, menghormati hasrat mereka supaya (status) IJN dikekalkan seperti mana adanya,'' kata beliau lagi.

Sime Darby menjelaskan, pada Ogos lalu, pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan tentang hasratnya memiliki kepentingan IJN kerana melihat kepada faedah meluaskan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare, sebuah cabang operasi penjagaan kesihatan Sime Darby dan IJN.

Jelasnya, semasa memajukan cadangan itu, Sime Darby menyedari peranan IJN dalam menyediakan rawatan perubatan yang cemerlang pada harga berpatutan, terutama kepada golongan pesara, berpendapatan rendah dan miskin.

Katanya, cadangan pemilikan IJN adalah memastikan rakyat tidak dipinggirkan daripada menerima rawatan kesihatan berkelas dunia dan juga menjamin mereka yang berkenaan termasuk juga golongan pendapatan rendah dan sederhana terus menikmati perkhidmatan seperti mana sebelumnya tanpa ada perubahan.

Berdasarkan cadangan dan jaminan itu, kerajaan memberikan 'lampu hijau' kepada Sime Darby untuk melaksanakan kajian berhemat ke atas IJN dan menyediakan pelan perniagaan bersepadu yang perlu diperakui lebih dahulu oleh Kementerian Kewangan sebelum Sime Darby dibenarkan menguasai kepentingan berkenaan.

Ahmad Zubir kekal optimis dengan prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus mencari peluang untuk mengembangkan sektor berkenaan, sekali gus menjadikan Sime Darby sebagai penyedia penjagaan kesihatan standard di rantau ini.