Sunday, April 13, 2008

Menipu kerana tertib?

by Nihaz Mohd Yusoff on Saturday, April 12 @ www.beritakmu.net

Kita telah membaca semua ulasan dan laporan dari blog-blog dan laman web mengenai mesyuarat UMNO Johor dengan Abdullah Badawi. Dan apabila sidang akhbar yang menyusul tidak menyatakan apa yang sebenarnya berlaku, kita terkedu lagi. Bagai satu tamparan, kita telah dibohong atau diperbodohkan lagi dan lagi oleh manusia-manusia yang kita gelar pemimpin.

Sejurus kemudian, kita telah difahamkan bahawa rupanya kenyataan sidang akhbar itu hanya sekadar mengiakan sajak Usman Awang:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Tetapi, jika benar Melayu itu bijaksana, pertama sekali, dia harus tahu dengan siapa dia berbicara:
• Berjenaka dengan sipekak badak bukannya bijaksana kerana sipekak tidak akan gelak.
• Berbudi bahasa dengan pengkhianat bukannya bijaksana kerana kita pasti akan dikhianatinya.
• Bersantun dengan penjahat bukannya bijaksana kerana kita pasti akan dibuli pula.
• Menipu walau sopan, bukan sikap Melayu bijak, tetapi sikap Melayu haprak.
• Beralas walau mengampu bukan sikap Melayu bijak, tetapi sikap Melayu yang akan menghancurkan Melayu.

Kerana tidak dapat membezakan antara bijak dengan tidaklah maka Melayu telah dijajah selama lebih 400 tahun dan kini walaupun telah merdeka, masih lagi terpaksa berjuang agar tidak dijajah semula.

Melayu perlu tahu bahawa adat tidak harus sama sekali pada bila-bila masa pun mendahului ajaran Islam. Dan ajaran Islam yang penting ialah kita hendaklah berkata benar walaupun pahit.

Apatah lagi apabila dengan bercakap benar yang pahit itu sebenarnya membawa lebih banyak kebaikan kepada sekalian umat, daripada berbohong demi menjaga air muka seorang manusia sahaja.

Dalam kita: Berkelahi cara Melayu - musuh Melayu sudah mula menunjuk taring. Tidak sukar menentukan siapa benar siapa salah kerana si musuh sudah pasti menunjuk sokongan kepada yang salah.

Menikam dengan pantun - musuh Melayu sudah mula mengatur langkah. Selagi yang salah tidak berundur, musuh akan lebih mudah menggempur.

Menyanggah dengan senyum - tanah Melayu sudah rabak dan musuh ketawa terbahak-bahak.

Marahnya dengan diam - musuh Melayu sedang bersorak girang, Melayu pasti tumbang.

Merendah bukan menyembah – Kerana tertib, Melayu merendah pada yang salah, menyembah pada musuh tetapi pula menyalak pada yang benar. Sedang hak Melayu semakin hari semakin pudar.

Meninggi bukan melonjak – Melayu yang rendah akal dan tarafnya duduk tinggi di awan, dilonjak oleh Melayu yang ‘tertib’ dan tidak mahu bercakap benar.

Kerana tertib, tanah sudah dirampas musuh satu persatu, Sang Raja tersenyum terus beradu, hanya anjing menjadi pengawal pertahanan, anjing menyalak pula silap sasaran...

Sudahnya, musuh sampai di depan pintu, Melayu masih termangu-mangu samada hendak digerak Sang Raja yang beradu, bimbang dituduh tidak tertib laku ...

Dan demi tertiblah, Melayu harus menunggu sehingga P.A.U menjelang, di masa yang sama, bersiap sedia untuk hilang di dunia pada P.R.U yang akan datang.

No comments: