Saturday, April 26, 2008

Ku Li tetap bertanding Presiden Umno

Bernama
25 April 2008

KOTA BHARU -- Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan tetap menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti pada Disember walaupun berlaku peralihan kuasa.

Beliau berkata peralihan kuasa di antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada kena mengena dengan parti dan beliau mempunyai hak untuk bertanding sekiranya mendapat pencalonan yang mencukupi.

"Soal UMNO bukan kerajaan, saya cuma menawar diri kalau cukup pencalonan daripada bahagian untuk UMNO, tidak ada kena mengena dengan kerajaan... Saya hendak menawarkan diri untuk berkhidmat, jadi kalau cukup pencalonan, saya akan tawarkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata demikian ketika mengulas mengenai pelan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib yang diumumkan Perdana Menteri pada 14 April lalu.

Abdullah bagaimanapun berkata pelan peralihan kuasa itu akan hanya dibincangkan selepas pemilihan parti.

-- BERNAMA

No comments: