Monday, April 28, 2008

Veteran UMNO mahu PM Abdullah LETAK JAWATAN

Ahli veteran UMNO bantah Tajuddin
Nash Rahman | Apr 28, 08 3:45pm

Pengerusi Kelab Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajuddin Ali akan diminta memberi penjelasan mengenai kenyataannya bahawa ahli-ahli kelab tersebut sebulat suara menyokong perdana menteri dan presiden UMNO untuk terus memimpin parti dan kerajaan.

Tajuddin membuat kenyataan tersebut kepada pihak media selepas menghadiri pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Malaysiakini difahamkan, kenyataan beliau tidak disenangi oleh majoriti ahli jawatankuasa kelab veteran UMNO kerana ia tidak dibincang dengan mereka terlebih dahulu.

"Malah, dua pertiga daripada ahli-ahlinya tidak menyokong Abdullah terus memimpin UMNO dan kerajaan, dan mahukan peralihan kuasa dilakukan segera," kata seorang ahli jawatankuasanya M Shariff Yousof kepada Malaysiakini.

Ekoran kekalahan teruk BN dan UMNO dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, sebilangan ahli-ahli parti termasuk ahli majlis tertingginya, mendesak peletakan jawatan Abdullah sebagai presiden UMNO dan seterusnya perdana menteri.


Dalam pilihanraya umum tersebut, BN memperolehi 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN juga kalah empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada Pakatan Rakyat, manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan.

Sehubungan itu, M Shariff berkata, Tajuddin akan diminta memberikan penjelasan mengenai kenyataannya dalam mesyuarat jawatankuasa kelab tersebut Rabu ini.

Tidak diberitahu

Shariff berkata, kenyataan pengerusi kelab veteran UMNO itu kurang tepat, tidak berasas dan boleh mengelirukan.

Beliau mendakwa, ramai ahli jawatankuasa kelab tersebut tidak dimaklumkan ataupun dijemput menghadiri pertemuan dengan Abdullah.

Difahamkan, hanya tujuh atau lapan orang ahli jawatankuasa kelab itu dari Perak yang hadir.

Manakala ahli jawatankuasa yang mewakili negeri-negeri lain, termasuk Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Terengganu, Melaka, Pahang dan Wilayah Persekutuan tidak menghadiri pertemuan tersebut.

"Saya sendiri tidak mengetahui mengenai pertemuan itu," katanya sambil menambah, beliau antara ahli jawatankuasa yang menyokong peralihan kuasa dalam UMNO.

Menurutnya, beliau sendiri akan meminta penjelasan Tajuddin mengapa beliau membuat kenyataan tersebut, yang tidak mewakili pandangan majoriti ahli jawatankuasa kelab veteran UMNO.

No comments: