Wednesday, August 27, 2008

PERMATANG PAUH

Sesiapa yang masih dok mimpi UMNO dan BN boleh menang semalam di Permatang Pauh memang suka tidur bersama Dollah. Sejak DolLah menjadi PM yg paling dibenci rakyat, malang susah sungguh utk meletakkan jawatan, memang amat senang Anwar dan Pakatan pembangkang meliwat Malaysia, kerana kaki dan tangan UMNO dan BN diikat oleh Dollah dan menantunya Khairy, sementara ahli2 Majlis Tertinggi UMNO dan Najib sibuk menjadi tukang sorak "cheerleaders" dan dok tersengeh bodoh macam kerang busuk ikut rentak Dollah.

Apa yg terjadi di Permatang Pauh hanya satu amaran awal dari rakyat, tsunami yg akan melanda UMNO dan BN pada PRU 13 selagi Dollah masih berkeras mahu terus menjadi PM.

UMNO, ahli2 MT dan BN harus bangun dan bertindak menendang Dollah dari tampuk pentadbiran negara sekiranya masih ingin mempunyai peluang dan talian hayat di PRU 13. Kalau tidak kita semua harus bersedia mentalkinkan UMNO dan BN.


from www.chedet.com
Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 27, 2008 1:20 PM

1. Apa yang telah dijangka sudah pun berlaku.

2. Anwar menang.

3. Barisan Nasional kalah.

4. Saya biasa menulis berkenaan dilema Melayu. Saya percaya dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ramai yang berada dalam keadaan serba salah. Bukan sahaja Melayu tetapi juga bukan Melayu.

5. Ramai pengundi tidak ingin undi bagi Dato Seri Anwar. Tetapi mereka juga tidak ingin undi Barisan Nasional. Calon Barisan Nasional baik tetapi kalau beliau menang maka Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dakwa yang dirinya menang, dakwa yang sokongan kepada Barisan Nasional iaitu pada dirinya sudah kembali, dakwa Barisan Nasional telah dipulih dibawah kepimpinannya.

6. Saya percaya dengan berat hati penyokong-penyokong Barisan Nasional telah undi PKR supaya Dato Seri Abdullah akan sedar yang kepimpinannya tidak dikehendaki lagi.

7. Wang yang banyak telah ditabur atau dijanji akan ditabur. Pekerja Barisan Nasional dibayar saguhati. Calon yang diletak sesuai juga. Apakah yang tidak kena dengan Barisan Nasional sehingga pengundi memberi kelebihan undi yang lebih banyak dari bulan Mac kepada Dato Anwar yang enggan bersumpah.

8. Mesej yang hendak dihantar oleh pengundi Melayu, Cina dan India menjadi sia-sia kerana Dato Seri Abdullah tidak ada telinga untuk mendengar, tidak ada mata untuk melihat.

9. Tetapi ahli UMNO daripada pemimpin lain UMNO perlu sedar dan faham mesej daripada pengundi Permatang Pauh. Sejak Mac 2008 sokongan kepada UMNO dan BN bukan pulih tetapi merosot.

10. Kamu boleh terus sokong Dato Seri Abdullah sebagai Presiden parti. Tetapi rakyat tidak akan sokong UMNO kerana UMNO sudah jadi alat Dato Seri Abdullah dan keluarganya. Apabila datang pilihanraya ketiga belas rakyat akan jatuhkan UMNO dan Barisan Nasional kerana hanya dengan cara ini sahaja rakyat akan dapat jatuhkan Dato Seri Abdullah.

11. Malang bagi UMNO dan Barisan Nasional. Tetapi kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak sanggup bertindak, rakyat terpaksa bertindak.

12. Untuk pulihkan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional, Dato Seri Abdullah perlu bertanggungjawab dan letak jawatan sekarang. Ini akan memberi masa empat tahun bagi pemimpin-pemimpin UMNO berusaha untuk menarik balik penyokong UMNO dan Barisan Nasional. Jika ditunggu hingga Jun 2010 masa yang tinggal untuk pemulihan hanyalah 2 tahun; terlalu pendek untuk kerja yang berat ini.

13. Pilihan bagi UMNO hanya dua. Setia kepada Dato Seri Abdullah dan kalah dalam Pilihanraya Umum ke 13 atau setia kepada UMNO lebih daripada setia kepada Dato Seri Abdullah dengan kemungkinan menang Pilihanraya Umum ke-13.

14. UMNO perlu ingat undi daripada ahli-ahli setianya sahaja tidak mencukupi untuk mendapat kemenangan. Untuk menang calon UMNO perlu undi orang bukan ahli parti dan orang Cina dan India. Dalam keadaan sekarang, dalam keadaan UMNO dan Kerajaan di pimpin oleh Dato Seri Abdullah tidak mungkin orang bukan daripada parti UMNO dan orang Cina dan India akan beri kemenangan kepada calon UMNO atau Barisan Nasional. Bahkan ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan pimpinan Dato Seri Abdullah pun tidak akan undi UMNO dan Barisan Nasional.

15. Saya percaya akhbar dan TV arus perdana akan putar cerita pilihanraya kecil Permatang Pauh untuk menyedapkan hati pemimpin UMNO dan Dato Seri Abdullah. Justeru itu pemimpin, terutama Dato Seri Abdullah akan yakin yang dianya dikehendaki untuk pulih semula parti. Dan UMNO pun akan terus pilihnya dengan sebulat suara pada bulan Disember. Dan akan merosot lagilah UMNO dan Barisan Nasional.

16. Dengarlah, lihatlah apa yang dipertunjukkan oleh pengundi Permatang Pauh. Mereka tidak undi untuk Dato Seri Anwar dan PKR. Mereka undi untuk mengalahkankan Barisan Nasional dan UMNO.

17. Kelebihan undi bagi Dato Seri Anwar berbanding Mac 2008 tentulah kerana dalam jangka hanya lima bulan sokongan kepada BN dan UMNO merosot lagi.

18. Nak tunggu sampai bila wahai ahli UMNO, sebelum kamu sedar akan perlunya kepimpinan Dato Seri Abdullah ditamatkan?

Sunday, August 24, 2008

Anwar dan Judi




Nallakaruppan Terima SMS Ugutan Supaya Tinggalkan Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos (Bernama) -- Bekas rakan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan yang membantu Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh berkata beliau telah menerima lebih daripada 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan supaya meninggalkan Permatang Pauh.

Beliau berkata, ugutan-ugutan itu diterimanya sejak beliau menjejakkan kaki ke kawasan itu dan yang terbaru bilik gerakannya di Seberang Jaya didatangi beberapa lelaki India yang membawa bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengancam dua petugasnya.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis ceramah politik anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) di Permatang Pasir malam Jumaat, katanya, mereka telah memintanya untuk menutup bilik operasi di situ dan tidak mencampuri urusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Ceramahnya menarik ribuan penduduk dan merupakan salah satu ceramah BN yang paling ramai dihadiri.

"Saya terima SMS hampir setiap hari dan hari ini pun ada. Saya telah membuat beberapa laporan polis sebelum ini mengenai ugutan-ugutan berkenaan dan akan membuat laporan polis esok berhubung kes terbaru itu," katanya.

Nallakaruppan yang juga presiden Malaysian Indian United Party (MIUP) berkata, SMS itu mengancam nyawanya tetapi beliau enggan mengulas mengenai perkara itu secara terperinci sebelum membuat laporan polis.

Terdahulu dalam ucapannya, Nallakaruppan mendakwa Anwar telah menerima wang sebanyak RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian iaitu Magnum Corporation Bhd.

"Anwar mengambil wang sebanyak itu dari tangan saya sendiri. Saya tidak tahu apa dia buat dengan wang itu, tetapi dia memutar kata-kata menuduh saya yang ambil wang itu," katanya.

Nallakaruppan, yang pernah menjadi pengarah perhubungan awam Magnum berkata Anwar juga semasa menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri meluluskan banyak lesen perjudian untuk kedai empat nombor ekor.

Beliau berkata pendedahan ini dibuat kerana rasa cintakan negara ini dan tidak mahu pemimpin yang tidak boleh dipercayai menerajui negara ini.

"Saya sudah buat salah dulu (kepada rakyat), saya mahu minta maaf kerana mengikut Anwar dahulu," katanya.

Nallakaruppan berkata beliau tidak sedikit pun terkejut apabila timbul pelbagai tuduhan terhadap Anwar kerana beliau mengetahui siapa sebenarnya Anwar yang digauli 30 tahun.

"Selepas main tenis saya tahu mana dia pergi, sebab itu saya tidak terkejut," kata beliau.

Beliau juga mendakwa menyimpan lima pita rakaman di luar negeri dan sekiranya terjadi apa-apa kepadanya pita itu akan didatangkan ke sini

Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di Permatang Pauh supaya tidak membuat pilihan yang salah pada 26 Ogos ini dengan memperjudikan nasib bangsa dan negara.

-- BERNAMA

Sunday, August 17, 2008

Anwar perlu bersumpah




Anwar perlu bersumpah - Tun Dr. Mahathir
16/08/2008 12:33pm

SERDANG 16 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersumpah dengan nama Allah sambil memegang kitab suci al-Quran untuk meyakinkan masyarakat bahawa beliau tidak meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam ceramahnya sebelum ini bahawa beliau telah bersumpah adalah tidak memadai.

"Anwar kena bersumpah, bukan secara mendakwa dalam syarahan kata saya bersumpah macam itu.

"Bersumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi kemudian pegang al-Quran...junjung al-Quran baru boleh terima,’’ katanya yang ditemui pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini hari ini. - Utusan.

Kenapa Anwar takut bersumpah?

KENAPA Anwar amat takut nak bersumpah atas nama Allah? Heran heran..

Sumpah 50 kali pun saya tidak peduli - Anwar
BUKIT MERTAJAM 15 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu menyahut cabaran Mohd. Saiful Bukhari Azlan untuk turut sama bersumpah mengikut syariat Islam dengan menafikan dakwaan beliau meliwat bekas pembantunya itu.

"Sumpah 50 kali pun saya tidak peduli," kata Anwar ketika berceramah di pekarangan Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Kubang Semang dekat sini malam ini.

Petang ini, Mohd. Saiful yang melakukan upacara bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur bagi membuktikan kebenaran dia diliwat oleh Anwar mencabar Penasihat PKR itu supaya turut bersumpah mengikut cara Islam.

Sebelum itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi bertemu orang ramai di Pasar Malam Ampang Jajar dekat sini, Anwar menyifatkan upacara bersumpah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful, 23, sebagai gimik politik kotor untuk menjatuhkannya.

DakwaanBeliau turut menyalahkan pihak polis yang didakwanya mendalangi dakwaan kes liwat ke atasnya.

''Saya sudah merujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah sebulan lalu dan Mahkamah Syariah mahu jumpa dengan (Mohd.) Saiful tetapi polis tidak benarkan pegawai mahkamah menemuinya.

''Ini permainan apa? Apa polis punya permainan ni. Mereka (polis) kawal dia (Mohd. Saiful) dan buat keputusan untuknya.

''Kalau kamu nak ikut prosedur Islam, pergilah ke Mahkamah Syariah. Ini terang-terang satu gimik politik. Pada malam sebelum SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) umum tarikh pilihan raya Parlimen Permatang Pauh, saya didakwa dan sebelum hari penamaan calon esok, ada upacara angkat sumpah (oleh Mohd. Saiful)... apa ni, ini politik kotor UMNO," katanya.

Pada pukul 6.25 petang ini, Mohd. Saiful mengotakan janjinya bersumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat oleh Anwar di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid tersebut dan ahli keluarga Mohd. Saiful di samping para pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Antaranya ialah Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Saturday, August 16, 2008

Sumpah Saiful

Saiful dah pun bersumpah, Anwar bila lagi???




" Wallahi Wabillahi Watallahi ….Saya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada 26-6-08 iaitu pada tarikh tersebut Dato Seri Anwar IBrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta atas pengakuan ini maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat "– itulah sumpah mengikut syariat Islam yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan sambil mengadap kiblat di Masjid Wilayah Persekutuan,Jalan Duta Kuala Lumpur jam 6.15 petang Jumaat.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Firdaus Ismail juga terkejut melihat Saiful begitu yakin dan kuat semangat untuk bersumpah laknat termasuk kepada keturunannya. “Ini sejarah yang besar dalam negara kita. Bukan senang seorang anak muda membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruahnya, keluarga dan keturunan. “Ia bersumpah dengan nama Allah s.w.t. Bukan sama macam kita bersumpah atas nama manusia. Ini kita bersaksi dengan Allah, ia bukan main-main,” katanya.

Beliau menyarankan Anwar perlu membersihkan namanya dengan berbuat sama seperti dilakukan Saiful yakni bersumpah depan al-Quran. Katanya, Anwar perlu berbuat demikian demi membersihkan nama dan moralnya.

Wednesday, August 13, 2008

Terengganu

Tun Dr Mahathir on the recent program hosted by us, Badan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu. It was wonderful to have Tun and Dato' Ron as our speakers, against Mat Said and Dol Goliath. I haven't had a chance for a breather yet, so here's Tun's comments on the event and my comment to this posting on his blog. I am not a Terengganu-ite, but I have adopted the States and its people as my own kind.

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 12, 2008 8:20 AM

Saya telah dijemput oleh badan bukan Kerajaan (NGO) Melayu yang saya tidak kenal dan tidak pernah dengar untuk berceramah di Kuala Terengganu. Umumnya tajuk ceramah ialah berkenaan masa depan orang Melayu.

Dahulu tidak ada keperluan untuk menubuhkan NGO untuk bincang tajuk seperti ini. Parti UMNO akan mengadakannya. Daripada forum anjuran UMNO-lah datang cadangan untuk mengadakan MARA, Bank Bumiputra, Tabung Haji dan lain-lain. Tetapi sekarang orang Melayu tidak lagi lihat UMNO sebagai pembela dan pejuang nasib orang Melayu. Demikian forum para intelek Melayu yang diadakan di Johor membuat keputusan menghantar memorandum mereka bukan kepada UMNO, bukan kepada Kerajaan pimpinan UMNO tetapi kepada Raja Melayu.

Saya menyahut jemputan ini bukan sahaja kerana tajuknya menarik bagi saya tetapi juga kerana sudah 10 tahun saya tidak ke Kuala Terengganu.

Pada Pilihanraya Umum 2004 saya berkempen bagi Barisan Nasional di semua negeri tetapi tidak di Terengganu. Ini adalah oleh sebab saya terima panggilan telefon bahawa saya tidak diterima oleh orang Terengganu kerana saya yang bawa Eric Chia ke sana.

Kuala Terengganu sudah berubah wajah. Jelas sekali ini adalah ibukota negeri yang kaya. Saya bersyukur. Alhamdullillah.

Penaja forum ini berkereta dengan saya dari sebuah airport baru yang amat indah. Beliau beritahu saya akan kemungkinan peserta forum tidak ramai.

Katanya dua hari sebelumnya Presiden Umno telah arah Menteri Besar supaya mengadakan satu rapat umum yang semua ahli UMNO dan pegawai Kerajaan wajib hadir. Oleh itu ramai yang telah janji akan hadir forum beritahu mereka tak dapat hadir.

Empat tahun dahulu apabila seorang bekas tentera jemput saya untuk satu perhimpunan kecil di Dungun, beliau telah dipanggil oleh polis tiga kali supaya menarik balik jemputan kepada saya. Beliau juga didesak oleh Menteri Besar supaya batalkan perjumpaan. Tetapi beliau degil dan saya pun berpeluang bercakap sedikit berkenaan masalah semasa.

Kali ini penganjur tidak digesa untuk tarik balik jemputan kepada saya tetapi Menteri Besar disuruh mengadakan perhimpunan supaya orang UMNO dan lain-lain anggota kerajaan tidak dapat hadir dalam forum anjuran NGO berkenaan Masalah Orang Melayu. Tetapi ternampak ada orang yang merakamkan seluruh apa yang berlaku di forum tersebut entah untuk siapa.

Hampir 300 orang hadir dalam forum dan banyaklah soalan yang amat relevan yang ditujukan kepada saya.

Sesungguhnya keadaan yang didapati dalam masyarakat Melayu sekarang amat pelik. Bahawa mereka sekarang gelisah dan tak tentu arah akan haluan jelas ternampak daripada NGO yang ditubuh dan forum-forum berkenaan orang Melayu yang diadakan.

Menghalang mereka tidak akan bawa apa-apa kebaikan kepada UMNO. Ia hanya akan menambah kekecewaan mereka. Dan kekecewaan ini akan dapat dilihat apabila Pilihanraya Umum k-13 diadakan.

***

Teja's comment on www.chedet.com on Aug 14:


Assalamualaikum wm wth,

Semoga Ayahanda Tun sekeluarga dirahmati Allah sentiasa.

Jutaan terimakasih kerana sudi menerima jemputan utk berceramah di majlis kami Cabaran Melayu Masa Kini (Memperkasakan Melayu) di Terengganu Equestrian Resort (TER), serta sudi pula menyentuh mengenainya di blog Tun ini.

Seperti yang Tun telah maklum, Majlis kami yang serba kekurangan (kerana siapalah kami kecuali akar umbi Melayu kampong hehehe), telah mendapat berbagai-bagai cabaran tapi berkat cekal serta berani, tiada yang boleh menjadi halangan kecuali Allah jua yang menentukannya, bukan juga manusia walaupun berstatus Perdana Menteri dan Menteri Besar sekalipun.

Yang penting nawaitu kita adalah ikhlas dan benar, demi Melayu, kerana Islam.

Seperti yang Tun perhatikan, tajuk kami bermula dengan “Memperkasakan Ketuanan Melayu”, tetapi setelah beberapa pandangan dan cubaan mendapat permit polis, terpaksa pula kami “dilute” kan sedikit tajuknya kepada “Cabaran Melayu Masa Kini – Memperkasakan Melayu” walaupun tema dan wawasan masih tidak berubah. Takut, bising dan allergic sungguh sesetengah manusia dengan perkataan “Ketuanan Melayu”.

Jika direnung sejenak, rakyat Terengganu rata-rata orang Melayu beragama Islam, manakala Melayu adalah induk pribumi di bumi bertuah ini. Yang jelas dan pasti, Tanah Melayu bukanlah sebuah negara imigran “free for all”, yang pasti ianya berTUAN, apatah lagi Pantai Timur yg dikenali sebagai “the last bastion of the Malays”. Sehinggakan di kubu terakhir kita pun Melayu terpaksa beralah, sungguh sedih nasib kita di tempat sendiri kerana sikap tidak berani dan terlalu “apologist” mereka yang mempunyai kuasa dengan menjadikan parti keramat yg 62 tahun memperjuangkan nasib kita, kini sebagai kucing parsi yang bisu dan dikasi, bukan lagi seekor harimau yang diharapkan bertaring dan mengaum untuk menjaga kepentingan kita. Malang sungguh bila parti dilacur dan digadaikan oleh segelintir barisan tertingginya yang dayus dan tamak, sedangkan tsunaminya dirasakan segala lapisan rakyat Melayu di akar umbi sehingga generasi mendatang.

Hendak bersuara di bumi sendiri pun perlu kelulusan, budi bicara kaum-kaum pendatang, mendapat permit polis serta segala bentuk halangan dari berbagai pihak. Hendak mempertahankan diri apabila kita diserang dari setiap sudut pun tidak dibolehkan, sedangkan Islam mewajibkan kita bertindak dan mempertahankan diri sekiranya diserang.

Apa nak jadi pada orang Melayu?

Tun mungkin maklum, saya bukan anak jati Terengganu, tetapi Terengganu saya jadikan negeri angkat saya kerana sayang pada akar umbi kita. Saya telah mencabar orang Terengganu utk berforum bagi membangkitkan perasaan akar umbi Melayu bilamana mendengar berbagai-bagai keluh kesah mereka dari peringkat pegawai Kerajaan, professional Melayu dan orang-orang kampung sendiri. Saya tabik hormat, antara banyak-banyak puak yang saya cabar, yang BERANI KE DEPAN walaupun dengan segala kekurangan demi menyambut cabaran ini adalah orang kampung biasa – kebanyakan mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka juga tidak berapa mengenali dunia internet tetapi amat maklum dan masak tentang isu-isu yg dekat di akar umbi dan menjadi permasaalahan umat Melayu Islam di Malaysia kerana ianya menghimpit mereka dan masa depan anak cucu kita, dari hari ke hari dirasakan semakin tenat. Yang penting mereka ini terdiri dari ketua-ketua cawangan dan akar umbi Melayu di kampung-kampung dan pekan-pekan sekitar Kuala Terengganu dan Terengganu dan bersatu di bawah naungan Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu.

Rata-rata orang Melayu amat risau tentang hala tuju dan nasib kita di bumi sendiri. Nak mengadu kepada parti 62 tahun, sudah berbuih mulut, sedangkan Presidennya terus menerus tidur lena dan bila terjaga terus-terusan nyanyuk serta melatah menyalahkan akar umbi pula. Yang cuba diSPIN-salahkan hanya orang Melayu. Heran sungguh perangai Presiden yang satu ini serta barisan bentara pengibasnya.

Dua-tiga hari sebelum program berlangsung, kami mendapat tahu Menteri Besar telah tiba-tiba mendapat “ilham” khabarnya aspirasi terus dari Putrajaya, untuk mengadakan satu majlis besar-besaran untuk rakyat Terengganu berjumlah 10,000, bak kata Dato’ Ron, “induced audience”. Majlis ini adalah semata-mata jamuan makan-makan sambil dihiburkan dengan gula2 hiburan, serta disediakan kenderaan pergi balik ke stadium dan duit poket. Pelajar-pelajar universiti juga dikerahkan menghadiri majlis MB dan ada yang telah menghadiri majlis kita sejak pagi lagi terpaksa bergegas pulang ke kelas kerana diugut terpaksa mengulang subjek kalau tidak datang ke kelas kerana menghadiri majlis kita. Kakitangan kerajaan pula terpaksa memberi alasan mereka “outstation” setelah mendapat surat pekeliling supaya tidak menghadiri majlis “berbau perkauman”. Ada yang datang dari jauh balik ke Kuala Terengganu tetapi di saat akhir tidak berani menjejakkan kaki di TER pagi itu.

Heran dan ajaib sungguh ketakutan manusia ini.

Kami yg hanya menyediakan air sejuk dan minta pula hadirin untuk berfikir secara serious tentang nasib bangsa sudah tentu “kalah” bila dibandingkan majlis MB yang cukup meriah serta menjanjikan segala keseronokan serta “masyuk” pula. Itulah antara cabaran dan pilihan orang Melayu kita. Ramai sungguh yang tewas sebelum masuk gelanggang.

Makanya, antara cabaran yang dapat dilihat dengan jelas, sekurang-kurangnya untuk orang Melayu Terengganu, adalah cabaran dalam diri mereka sendiri, kerana merasa takut dan khuatir kepada sesama manusia. Ia merangkumi semua lapisan dari yang berpelajaran tinggi dan tidak berpelajaran, orang bandar dan orang kampong. Yang lebih sedih ketakutan lebih ketara di kalangan mereka yang berpelajaran. Walaupun berpelajaran masih dibelenggu tali jerut di leher mereka dengan ketakutan yang tidak bertempat.

Sungguh sedih kerana orang Melayu masih tidak sedar, ketakutan dan kekhuatiran kita inilah yang terus menerus menjana dan memberi “kekuatan” kepada pemimpin berkuasa terkini untuk terus melacurkan dan menggadaikan hak-hak kita. Sifat takut tak bertempat dan tidak berani bersuara inilah memberi kekuatan kepada pemimpin lemah tapi zalim utk terus berkuasa ke atas kita.

Yang buat saya tergelak, kami ini hanyalah ikan-ikan bilis kampong, lebih tepat anak-anak bilis atau fish fries, tetapi bila seorang Perdana Menteri dan Menteri Besar merasakan program kami ini bagai satu ancaman yg mereka harus ALL OUT dan tentang habis-habisan dengan mensabotajnya, sedangkan ianya untuk kepentingan dan kesedaran orang Melayu itu sendiri, yang kedua mereka di barisan kepimpinan seharusnya menjadi tunjangnya, maka saya rasa ianya satu bentuk compliment buat kami, pengajur bilisan. Ibarat David vs Goliath (versi Melayu Daud lwn Jalut)pula lagaknya.

Antara angkara-angkara MB Jalut, termasuk membuang semua fliers kami dan meletakkan kain2 rentang mereka di tempat-tempat yang kami paparkan majlis ini. Juga menyebarkan surat pekeliling dan amaran bagi kakitangan kerajaan supaya tidak menghadiri majlis berbau perkauman. Berbaukah majlis kami ini? Yang amat dihairankan, kenapa tiada pula surat pekeliling dari kerajaan tentang Majlis Memeluk Islam anjuran Bar Council yg diketuai Ambiga et al pada hari yg sama? Adakah ianya hanya dilabelkan perkauman sekiranya orang Melayu yg bersuara dan bila bukan Melayu mempertikaikan hak2 Melayu dan agama Islam dengan terang-terangan, ianya dikira liberal? dan tidak pula dilabelkan perkauman, sensitif atau berbau?

Adakah kami ancaman yg besar untuk mereka ambil kira sebagai lawan?
Yang lebih penting, adakah forum memperkasakan Melayu oleh ahli-ahli akar umbinya dilihat oleh parti 62 tahun sebagai satu ancaman? Dan apakah bentuk ancaman itu? Kenapa mereka ini menjadi tersangat takut bila Tun dapat platform berucap? Apakah kebenaran itu satu ancaman???

Sedih memikirkan duit yg dilaburkan kerajaan Pusat/Negeri utk mensabotajkan program yg kami taja dari duit poket sendiri utk menyedarkan orang Melayu, sedangkan mereka menggunakan duit cukai kita dan duit royalti rakyat Terengganu utk dibazirkan bagi program hiburan mereka. Apakah tujuan seorang Perdana Menteri dan seorang Menteri Besar yang diamanahkan oleh orang dan parti Melayu memastikan orang Melayu terus lena?

Yang penting Majlis kami seperti yg Tun lihat sendiri ada pak lebai, pakcik dan makcik bersama-sama anak-anak muda barisan generasi X yg datang, yg berkopiah dan bersongkok, berpelikat dan berbatik, berkemeja dan berkot sama-sama di majlis tersebut termasuk puak2 merah dan hijau, yang muda serta yang tua datang bertongkat sama-sama duduk sebaris di dalam dewan bagi bersama-sama muhasabah diri akan nasib bangsa dan agama kita di tanahair sendiri. Yang penting ada akar umbi yang masih tidak mengenali laman2 web dan dunia internet dan mereka inilah yang amanat perlu disampaikan.

Seperti Tun dan Dato' Ron katakan, forum kami mewakili akar umbi sejati kerana pertemuan puak merah dan hijau Melayu Islam bersama-sama di TER, juga dgn kehadiran Dato' Mustapha Ali Pesuruhjaya PAS Terengganu serta ketua-ketua cawangan dan akar umbi UMNO.

Betul kata Tun parti yg telah 62 tahun ditubuhkan utk memperjuangkan hak kita telah bertukar menjadi parti yg menghalang dan menggadaikan hak kita kerana pemimpin yg tersalah landasan, sehinggakan nak menyebut nama parti sendiri di majlis orang Melayu juga boleh terancam dan dipertikaikan. Bagaimana pemimpin yg berkuasa sekarang memusuhi ahli akar umbi dan menganak-tirikan orang Melayu sendiri amatlah menghairankan, demi mempertahankan seorang Presiden yg lemah dan lembik. Kuasa demokratik mengundi akar umbi juga sedaya upaya ditidakkan, hanya bagi memastikan pemimpin lemah ini dapat terus berkuasa.

Jika ini berterusan sudah pasti Parti 62 tahun dengan pemimpin-pemimpin atasan yg tidak sedar diri akan hilang dibawa ombak di PRU 13. Malang sekali pemimpin-pemimpin yg dilantik tidak sedar diri dan sanggup menggadaikan parti keramat kita.

Semoga doa Tun dan kita semua supaya NGO bilisan seperti Badan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu akan lebih mekar dan perkasa bagi memperjuangkan hak Melayu di tanahair sendiri. Diharapkan lebih ramai orang Melayu memberanikan diri untuk “stand for their rights”. Itu saja yang boleh kita cuba harapkan dari orang Melayu buat masa ini. (Amin).

Saya sentiasa berpegang dengan prinsip Berani Kerana Benar seperti Ayahanda Tun kerap nasihati.

Biarpun sekarang musim pagar makan padi dan haruan makan anak, semoga benih padi yang kita semai dapat menjadi bekalan anak bangsa, dan anak-anak haruan yg masuk ke selut tentulah tidak semua dapat dihapuskan.

Ayahanda Tun juga diharapkan tidak merasa sedih dan gundah gulana kerana merasa tersalah pilih pengganti. Kita tidak tahu perangai manusia bila mereka mendapat kuasa. Kesalahan itu adalah kesalahan pemimpin pengganti itu sendiri. Kita semua telah terpedaya dengan sandiwara dan kepura-puraan beliau. Yg penting kita telah melakukan yg terbaik, dgn niat yg ikhlas.

Untuk pengetahuan Ayahanda Tun ramai yg menghargai, sayang dan hormat pada Tun di Terengganu ini, tidak kira dari parti apa. Ini boleh didengari dari perbualan dengan penjaja2 kecil di Pasar Payang sewaktu PRU 12. Mereka memang memuji Tun telah memertabatkan Melayu, Islam dan Malaysia. Mereka amat menghargai jasa2 Tun pada Agama, Bangsa dan Tanahair. Yang lebih mahal, penghargaan ini juga datang dari puak-puak penyokong team hijau juga. Tun pun tahu kedua2 parti Melayu Islam kita berminat mahu berjumpa Tun utk program ini. Ramai rindu dan ingin sangat mendengar buah fikiran dan nasihat Tun serta ingin berjabat salam dengan Tun dari dekat.

Sedikit imbasan perasaan orang Terengganu yang saya ambil dari buku pendaftaran untuk menghiburkan sedikit hati Ayahanda Tun:

Selamat Datang ke Terengganu, Selamat Datang ke Terengganu. Semoga Panjang Umur.

“Proud of you Mahathir”

Pemimpin Gemilang, Rakyat Cemerlang

Semoga Panjang Umur. Semoga Panjang Umur. Semoga Panjang Umur.

I LOVE MAHATHIR.

Pemimpin Gemilang!

Pemimpin yang Dikasihi.

Salaam hormat penuh takzim dari Melayu di akar umbi.

Wasalaam,

Anakanda Teja :)

www.tunteja01.blogspot.com
perkasamelayu@gmail.com

Monday, August 4, 2008

Cabaran Melayu Masakini (Memperkasakan Melayu)

Image Hosted by ImageShack.us


Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu
Emel: perkasamelayu@gmail.com

Dengan Penuh Takzim Menganjurkan Majlis
“CABARAN MELAYU MASAKINI”

Sebagai Bangsa Melayu Islam yang berhemah, bermaruah, bersopan-santun, berani serta taat-setia kepada Agama, Bangsa dan Tanahair, dijemput hadir untuk kita bersama bermuzakarah bagi

“MEMPERKASAKAN MELAYU”

Majlis diserikan dengan kehadiran
Y.A.B. TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
www.chedet.com
Mantan Perdana Menteri Malaysia & Mantan Presiden UMNO

Serta
Y.B. DATUK RUHANIE AHMAD
www.kuda-kepang.blogspot.com

Tarikh: Sabtu 09hb Ogos 2008
bersamaan
6 Sya’ban 1429H


Masa: Jam 10 pagi

Tempat: Dewan Sri Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER)
www.ter.com.my
(Bersebelahan Masjid Terapung - Kuala Ibai)
Kuala Terengganu, TERENGGANU DARUL IMAN

Pakaian: Semolek-moleknya Baju Kebangsaan Melayu
MOHON DIPERSUDIKAN

Demi Agama, Bangsa dan Tanahair