Tuesday, April 1, 2008

Forum UMNO Pasca Pilihanraya ke 12

dari mstar

Najib bukan lagi calon PM terbaik, kata Dr M
01-04-2008 04:52:43 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau sudah berubah fikiran dan tidak lagi berpendapat Datuk Seri Najib Razak adalah calon paling layak mengambil alih jawatan Perdana Menteri akan datang.

"Walaupun dahulu saya kata Najib tetapi tidak tahulah mengapa, saya ubah fikiran," katanya apabila ditanya sama ada beliau masih kekal dengan pendirian bahawa Timbalan Perdana Menteri itu adalah calon terbaik untuk mengambil alih jawatan nombor satu negara.

Tun Dr. Mahathir berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Forum UMNO Pasca Pilihan Raya ke-12, Satu Penilaian anjuran portal mykmu.net di sini, Selasa.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Tun Dr. Mahathir berkata Kabinet dan majlis tertinggi (MT) UMNO sudah tidak lagi relevan kerana keputusan penting melibatkan negara dan parti dibuat oleh pihak lain.

Bekas Perdana Menteri itu berkata Kabinet dan MT kini dianggotai hanya oleh orang yang hanya akan mengangguk dan mengiyakan keputusan, walaupun keputusan itu dipengaruhi oleh kaum keluarga Perdana Menteri.

Sambil mengulangi permintaannya agar Abdullah meletak jawatan kerana dikatakan bertanggungjawab terhadap pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lalu, Tun Dr. Mahathir berkata peralihan kuasa itu perlu kerana pemimpin hari ini sudah tidak tahu memimpin.

Tun Dr. Mahathir berkata UMNO perlu dipulihkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu terhadap perjuangannya dan Abdullah, katanya, perlu faham mesej daripada rakyat yang mahukan beliau mengundur diri.

"Jika sampai hancur baru hendak sedar, masa itu sudah tidak berguna lagi," katanya sambil menambah Abdullah juga telah silap mengadakan pilihan raya pada masa yang tidak sesuai.

Selain itu, Dr Tun Dr. Mahathir mendakwa, pencapaian buruk BN dan UMNO juga berpunca daripada pemilihan calon yang tidak menepati kehendak pengundi.

"Senarai calon bukan seperti yang dikemukakan negeri, tetapi apabila di bawa ke Pejabat Perdana Menteri, ia disemak oleh pihak tertentu di bilik sebelah. Kesannya, ramai jaguh UMNO disingkir, orang baru diberikan tempat. Inilah pembaharuan ala KJ (menantu Abdullah Khairy Jamaluddin). Ini antara sebab kita kalah lima negeri.

"Janganlah cuba kita bagi alasan yang tidak benar. Terimalah hakikat bahawa kekalahan ini disebabkan oleh pihak tertentu yang memberi ruang kepada kaum keluarga memerintah negara kita," katanya.

Beliau juga terus mengulangi sokongannya terhadap cadangan supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa untuk membincangkan keadaan parti masakini, terutama bagi meminda perlembagaan UMNO bagi menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan jawatan tertinggi.

"Saya mengaku, soal undi bonus saya yang buat, tetapi pada masa itu ahli dan bahagian berani mencalonkan sesiapa sahaja. Hari ini ia sudah disalah gunakan," tambahnya.

Tun Dr. Mahathir berkata, jika usaha mengadakan mesyarat agung luar biasa itu berjaya, ahli UMNO mesti memastikan ia tidak di manipulasi oleh MT dan perwakilan tidak akan "dibeli".

"Ahli UMNO mesti berani. Jangan kerana takut pada pemimpin kita tidak sayang UMNO. Tidak guna kita cakap sayang UMNO tetapi takut. Kita mesti tolak kepimpinan yang membawa mala petaka," katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan agar dikembalikan sistem majlis presiden dalam UMNO bagi mengimbangi kuasa Presiden dan menasihati beliau agar beliau tidak lagi perlu mendengar nasihat daripada keluarga sendiri.

Melalui sistem itu, katanya, kuasa presiden akan dapat dikekang agar ia tidaklah terlalu besar sehingga menyebabkan apa yang berlaku hari ini.

Di minta mengulas tahap pengaruh Khairy di dalam pentadbiran Abdullah, Tun Dr. Mahathir berkata beliau sendiri tidak faham mengapa kebanyakan pemimpin UMNO begitu takut kepada menantu perdana menteri itu.

Katanya, Khairy juga begitu berkuasa sehingga pernah mencadangkan agar beliau (Dr Tun Dr. Mahathir) dipecat daripada UMNO.

Ahli panel lain yang bercakap di forum itu anak beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz, ahli MT Datuk Seri Dr Khir Toyo dan Ketua Penerangan UMNO Johor dan ahli Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi.

No comments: