Showing posts with label Pak Lah harus letak jawatan. Show all posts
Showing posts with label Pak Lah harus letak jawatan. Show all posts

Monday, July 14, 2008

PERALIHAN KEPIMPINAN




dipetik dari www.chedet.com
sila sebarkan

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at July 13, 2008 3:10 PM

Saya percaya ramai daripada ahli UMNO dan orang ramai juga berasa lega apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan yang dianya akan letak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada Jun 2010. Pengisytiharannya di hadapan pemimpin-pemimpin UMNO dari seluruh Negara disambut dengan tepukan gemuruh.

Dia juga memilih Dato Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Saya tidak hendak pertikai samada ini menurut tradisi UMNO atau tidak. Tetapi saya ingin tarik perhatian kepada keadaan dalam parti UMNO, parti Barisan Nasional dan Negara menjelang pilihanraya ke-13 hanya empat setengah tahun lagi.

Umum tahu bahawa UMNO, BN dan parti-parti komponennya sudah rosak teruk dan tidak mendapat kepercayaan daripada rakyat lagi setelah lima tahun Dato Seri Abdullah menerajui Parti dan Kerajaan. Buktinya ialah kekalahan teruk BN dalam Pilihanraya Umum ke-12, 2008. Belum pernah BN kalah sebegini dalam sebelas Pilihanraya Umum yang terdahulu, termasuk pada tahun 1969.

Kerja untuk memulihkan parti-parti dan kepercayaan rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 memerlukan masa yang panjang. Masa yang ada hanyalah empat setengah tahun jika tidak kurang daripada itu.

Kenyataan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah bermakna dalam masa yang singkat ini, walaupun Dato Seri Najib mengambilalih pada Jun 2010; UMNO, BN dan Kerajaan akan dipimpin oleh dua pemimpin, masing-masing dengan masalah masing-masing dalam hanya dua setengah tahun bagi tiap satu.

Masa ini terlalu singkat untuk berusaha memulih semula parti BN, UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain. Sesungguhnya selain daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak semua parti BN di Semenanjung telah ditolak oleh rakyat dan perlu rawatan luar biasa.

Keadaan politik dan peristiwa selepas Pilihanraya Umum ke-12 bergolak dan tidak menentu. Sebenarnya kurang kepercayaan keapada BN menambah kerana mesej rakyat kepada pemimpin tertinggi Kerajaan tidak dipedulikan olehnya. Pemimpin ini ternampak khayal dan berada dalam keadaan menidakkan kenyataan.

Dengan Dato Seri Abdullah menerus kepimpinannya hingga Jun 2010, pemulihan tidak dapat dimulakan kerana beliau tidak faham kehendak rakyat - iaitu beliau berhenti daripada mengepalai parti dan Kerajaan.

Jika Dato Seri Najib ambil alih pada Jun 2010 dia hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan UMNO, pulihkan BN dan menolong memulih parti-parti komponen dalam BN.

Kerja ini bukan mudah. Ia berkehendakkan Dato Seri Najib dan semua pemimpin UMNO dan BN turun padang untuk menjelaskan tindakan yang akan diambil oleh mereka untuk memperbaiki kerosakan dalam parti-parti mereka dan pemerintahan yang dilakukan oleh Dato Seri Abdullah.

Dimasa yang sama mereka perlu bertindak untuk memulih ekonomi Negara. Dalam tiga empat tahun yang menyusul ekonomi dunia akan alami huru-hara kerana kenaikan harga minyak, bahan mentah dan makanan. Amerika Syarikat akan terus menghadapi krisis kewangan disebabkan hutang Amerika Syarikat yang tidak dapat dibayar dan kemelesetan ekonominya.

Dalam Negara inflasi luar biasa akan berlaku disertai oleh pengangguran yang tinggi. Perniagaan runcit dan industri perkhidmatan akan tergugat. Kenaikan harga barang dan makanan akan diikuti dengan lebih ramai kes muflis dan penutupan perniagaan.

Semua ini perlu ditangani oleh Dato Seri Najib dan anggota Kabinet daripada BN dalam dua setengah tahun. Ini tidak boleh jadi kerja sambilan. Ia berkehendak tumpuan sepenuh masa.

Apakah Dato Seri Najib mampu menangani semua masalah-masalah ini disamping memulihkan parti-parti? Sebenarnya kredibiliti Dato Seri Najib telah banyak merosot sejak dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah.

Dahulu Dato Seri Najib merupakan bintang yang gemilang di antara Menteri-Menteri Kabinet. Tetapi oleh kerana dia tunduk rendah kepada Dato Seri Abdullah, dengan selalunya mengia apa sahaja yang dikata dan dibuat oleh Dato Seri Abdullah, pandangan tinggi rakyat kepadanya sudah jatuh merudum. Dia perlu masa untuk memperbaiki semula imejnya. Jika daripada sekarang hingga Jun 2010 dia masih dilihat sebagai "Mr Yes" yang utama, mustahil dia akan dapat pulih imejnya.

Kenyataannya yang dia berasa terharu kerana kepercayaan Dato Seri Abdullah kepadanya tidak meyakinkan sesiapa yang dia boleh ubah sikapnya. Dia akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah yang mudah dikongkong oleh Dato Seri Abdullah. Apakah ada jaminan yang dia akan dapat bebaskan dirinya daripada Dato Seri Abdullah setelah mengambil alih? Sukar bagi kita mempercayai yang dia mampu.

Di masa yang sama banyak tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Dalam keadaan ini pemulihan UMNO, BN, MCA , MIC, Gerakan dan PPP tidak mungkin dijayakan sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Dato Seri Abdullah harus tahu bahawa akhirnya rakyat yang akan menentukan siapa menang dan siapa kalah.

Hari ini Dato Seri Abdullah boleh paksa, ugut, sogok ahli dan pemimpin UMNO untuk ikut kehendaknya, untuk sokong apa sahaja yang dikatakan olehnya, atau yang dibuat olehnya.

Tetapi seperti pada Pilihanraya Umum ke-12, ahli UMNO dan BN, penyokong biasa UMNO dan BN dan mereka yang secara terbuka pandang jijik kepada kepimpinannya akan tolak UMNO dan BN.

Percayalah jika UMNO dan BN hendak dipulih supaya tidak kalah lebih teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13 berbanding Pilihanraya Umum ke-12 Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan sekarang juga.

Biarlah ada pertandingan untuk jawatan-jawatan presiden, timbalan presiden dan lain-lain dalam Mesyuarat Agong Disember ini.

Siapa juga yang dipilih hendaklah diasingkan daripada Dato Seri Abdullah supaya pengaruhnya dan ketamakan konco-konconya tidak lagi dapat merosakkan Negara.

Apabila ini berlaku maka kepemimpinan baru dan seluruh jentera parti boleh digerak dengan semangat yang baru untuk berusaha menarik balik ahli dan penyokong yang telah undi parti lawan atau merosakkan undi pada Pilihanraya Umum ke-12.

Kerajaan perlu disusun semula supaya dapat menghadapi dan mengatasi masalah ketidakstabilan politik, masalah ekonomi yang telah rosak dan tekanan politik dan ekonomi dari luar negeri.

Ahli UMNO yang sudah di sedapkan oleh kenyataan Dato Seri Abdullah perlu fikir dengan mendalam.

Jika kerana diri sendiri hendak senang Parti UMNO biar dihancurkan, generasi sekarang dan akan datang akan kutuk kamu. Janganlah kerana duit RM100, kain pulikat dan sejadah, bangsa sendiri dijual.

Janganlah utamakan kepentingan diri, keinginan untuk jadi menteri, untuk mendapat kontrak bagi diri sendiri, maka bangsa dan maruah dijual.

Ingatlah beberapa Menteri Besar yang begitu yakin mereka akan terus jadi MB, akan terus mengagih peluang jadi Exco, peluang untuk kekayaan dan dengan itu menyatakan dengan kuat sokongan mereka kepada Dato Seri Abdullah, Presiden UMNO, hari ini jadi ketua pembangkang, terpaksa tinggal mahligai mereka dan tidak boleh beri gula-gula kepada yang mencium tangan mereka.

Dan Dato Seri Abdullah sendiri harus ingat parti lawan hanya memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk menang pilihanraya. Sokongan oleh ahli yang setia secara buta tuli tidak mencukupi untuk menang. Sokongan penyokong yang bukan ahli diperlukan.

Di masa yang sama jikalau calon-calon parti komponen tidak menang kerana orang Cina dan India tidak suka pada Dato Seri, justeru itu menolak MCA, MIC, Gerakan dan PPP, BN tidak akan menang Pilihanraya Umum ke-13, Dato Seri tidak akan dapat memberi gula-gula lagi.

Ingatlah kalau UMNO kalah Pilihanraya Umum ke-13, ia tidak akan kembali berkuasa walau siapa pun yang memimpinnya.

Sedarlah akan hakikat ini semua. Jika Dato Seri kalah, UMNO dan BN kalah, generasi ini dan akan datang akan kutuk Dato Seri, pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Saturday, July 12, 2008

PERALIHAN KUASA



(Sila sebarkan)
dipetik dari www.chedet.com

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at July 11, 2008 10:14 AM

Berkali-kali saya ditanya "saya orang biasa, saya hanya ahli biasa UMNO, saya hanya pemimpin kerdil UMNO dan sebagainya. Apa yang boleh saya buat?"

Selain daripada membuat komen dalam blog, kita boleh beritahu kepada ahli-ahli UMNO dan pemimpin cawangan dan bahagian UMNO, "Kami tak akan undi UMNO atau Barisan Nasional selagi ada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam UMNO. BN akan kalah kerana undi kami undi penentu. Kekalahan UMNO akan lebih teruk kerana UMNO dan BN tidak lagi mewakili pandangan rakyat."

"Seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah, Perak dan Selangor, dan lain-lain pemimpin UMNO di Negeri-negeri ini, jawatan yang diharap Dato Seri Abdullah akan beri kepada kamu, tidak dapat diberi kerana UMNO dan BN kalah dan menjadi parti pembangkang."

"Demikian juga di peringkat pusat kerana tanpa undi kami yang kerdil, kamu akan kalah."

"Jika kamu boleh berfikir, fikirlah"

Ingatlah, untuk kalah atau menang undi penentu yang menentukan. Jumlah mereka tak perlu banyak. Hanya separuh daripada jumlah lebihan undi yang diperolehi 2008 untuk menang dalam sesuatu kawasan sudah memadai untuk menentukan kalah atau menang sesuatu calon.

Jangan anggap kerana yang berkata "ya" itu ramai maka kemenangan terjamin. Yang kata "ya" mungkin tidak akan undi calon parti. Yang tidak berkata "ya" pun sama. Jika semua mereka rosakkan undi atau undi parti lawan, jumlah undi parti lawan akan melebihi yang berkata "ya" dan undi parti BN.

UMNO dan BN yang tidak peduli pandangan ramai akan tersungkur.

Hanya UMNO dan BN yang mendokong kehendak dan kepentingan rakyat sahaja yang akan selamat.

Kehendak majoriti rakyat ialah untuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan. Renunglah. Fikirlah.

Yang mampu selamatkan UMNO dan BN bukan Dato Seri Abdullah.

Yang mampu dan boleh ialah undi penentu.

Friday, July 11, 2008

Snippets - Peralihan Kuasa




Dipetik dari www.chedet.com
(sila sebarkan)

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at July 10, 2008 12:48 PM

Seperti biasa dalam UMNO dibawah pemerintahan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila arahan diberi melarang parti daripada sesuatu tindakan, Presiden anggap dirinya tidak tertakluk kepada arahan ini.

Berkempen untuk pemilihan dalam mesyuarat agong tidak dibenarkan, tetapi Presiden membawa semua pemimpin daripada Bahagian untuk diarah supaya tidak mencabar sesiapa selain daripada dirinya sebagai Presiden.

Gula-gula diberikan kepada Dato Seri Najib bahawa dianya juga dikehendaki bebas daripada cabaran untuk Timbalan Presiden. Ini dituju kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin bertanding Timbalan Presiden. Jika Muhyiddin bertanding juga maka ini bermakna dia tidak setia kepada parti, pengkhianat, kerana tidak hormat arahan demokratik oleh Presiden.

Najib akan dijanji peralihan kuasa akan dibuat pada 2010. Sebelum sampai tarikh keramat ini tuduhan akan dilempar terhadapnya supaya dia ternampak tidak lagi layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Seorang yang dianggap lebih setia kepada Dato Seri Abdullah akan menggantinya. Pengganti tidak akan ambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2010 kerana kurang pengalaman. Dato Seri Abdullah akan bermurah hati untuk mengisi jawatan itu hingga Pilihanraya Umum ke-13.

Jika trend pemikiran rakyat berterusan Barisan Nasional akan kalah dalam Pilihanraya Umum ini dan Dato Seri Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri. Oleh itu tidak adalah jawatan yang hendak dialih kepada pengganti Dato Seri Najib.

Pengasas-pengasas UMNO daripada kubur mereka akan kutuk orang yang telah musnahkan parti yang mereka bentuk dan wujud guna untuk menebus maruah orang Melayu dan negara Malaysia.

Parti yang mereka tubuh sudah di hi-jack oleh Dato Seri Abdullah untuk kepentingan diri dan keluarga sehingga hancur parti dibuatnya.

Monday, May 19, 2008

Tun Dr. Mahathir Keluar UMNO Selagi Abdullah Enggan Letak Jawatan Presiden

Tun Mahathir keluar UMNO
19/05/2008 2:02pm ALOR STAR 19 Mei

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO. Menurutnya, surat rasmi mengenainya akan dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO secepat mungkin. Katanya, beliau akan berada di luar UMNO selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk `Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12’ di sini hari ini.

Monday, May 12, 2008

Perlukah peralihan kuasa dilakukan segera?

By Sutradari on Sunday, May 11 @ www.mykmu.com

Selepas pengajaran yang pahit dari 13 Mei 1969, hubungan kaum di Malaysia tidak lagi bergelora. Atas kebijaksanaan kepimpinan Malaysia selama ini, semua kaum memahami kedudukan masing-masing dan menghormati serta menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing dalam persaingan untuk mendapat bahagian mereka dari kek ekonomi Malaysia.

Walaupun terdapat golongan minoriti yang sentiasa membawa isu-isu ketidakpuasan hati kaum-kaum tertentu, namun sebagai minority, mereka harus menerima keadaan dan penjelasan seadanya apatah lagi apabila keistimewaan yang dinikmati oleh sesuatu kaum itu terbukti langsung tidak menjejaskan keupayaan kaum mereka.

Namun, kebelakangan ini, keadaan sudah tidak lagi seperti dahulu. Hari demi hari, kita mendengar ada saja permintaan atau isu baru yang dikemukakan oleh golongan minoriti. Dan dengan motif yang diragui samada untuk publisiti murah, publisiti bodoh atau sekadar melepaskan dendam, kepimpinan kita sering sahaja cenderung untuk melayan semua permintaan-permintaan ini. Golongan minoriti kini lantang bercakap mengenai sistem yang konon tidak adil, mempertikaikan hak kaum dan agama dan lain-lain lagi.

Walaupun barat, parti pembangkang serta pembodek Abdullah Badawi sendiri cuba menyalahkan sistem dan Tun Dr. Mahathir bagi setiap isu yang dibangkitkan mereka, tetapi mereka tidak dapat menjelaskan kenapa sistem itu atau pun Tun Dr. Mahathir hanya membawa masalah setelah negara ini diambil alih oleh Abdullah Badawi. Jelas yang bersalah di sini, bukannya sistem tetapi siapa yang menerajuinya. Di bawah teraju Abdullah Badawi, imej Malaysia sebagai Harimau Asia berubah menjadi Anjing Kurap belaan Singapura dalam sekelip mata.

Jika sebelum pilihanraya, Abdullah Badawi telah membuat ‘jasa’ melalui ECM Libra, Pantai Holdings, MV Augusta, AP, Scomi dan lain-lain, selepas pilihanraya pula, peluang Abdullah Badawi menambah ‘jasa’ semakin terbuka:

Permintaan penggunaan nama Allah oleh pihak gereja, percubaan menidakkan serta mempersoalkan hak bumiputra, perbuatan ‘mencabar’ dan memperlekehkan Sultan, peningkatan sentimen perkauman dan beberapa isu lain yang pasti dan akan timbul satu persatu mungkin bukan ‘jasa’ langsung Abdullah Badawi, tetapi soalnya, ialah isu-isu ini boleh dan hanya berbangkit hari ini kerana faktor Abdullah Badawi.


Ini kerana isu-isu ini tidak mungkin timbul sekiranya kita mempunyai kepimpinan yang kuat, bijak dan tegas.

Dan sekiranya golongan minoriti berjaya dalam semua permintaan dan asakan ini, maka secara rasminya isu-isu di atas juga akan direkodkan dalam sejarah sebagai antara senarai ‘jasa’ Abdullah Badawi terhadap agama, bangsa dan negara.

Perlu diingatkan bahawa isu-isu terbaru ini berbangkit hanya dalam masa lebih kurang tiga bulan selepas Pilihanraya Umum. Jangan lupa, jika peralihan kuasa hanya berlaku dalam bulan Disember, maka kita terpaksa menunggu lebih kurang tujuh bulan lagi untuk menukar kepimpinan kepada yang tidak lemah dan lebih kuat - itupun jika sampul cokelat sudah tidak punya harga lagi.

Selama tujuh bulan ini, entah berapa isu lagi akan timbul dan berapa permintaan lagi akan dibuat oleh golongan minoriti dan entah berapa lagi yang akan dipenuhi oleh kepimpinan yang lemah ini. Kalaupun ianya tidak dipenuhi, ia tetap akan mengocak air yang tenang dan menimbulkan kecurigaan antara kaum dan agama yang mana amat buruk untuk kestabilan dan keharmonian negara.

Apabila permintaan minoriti dipenuhi, dan pandangan majoriti dinafi, demokrasi pun sudah tidak punya erti lagi. Apabila demokrasi sudah tidak bererti, keamanan negara akan teruji.

Oleh itu, tidak timbul soal kenapa kita tidak harus menumpukan sepenuh tenaga untuk memastikan Abdullah Badawi berundur segera kerana semakin lama kepimpinan yang lemah dibiarkan berkuasa, semakin lemahlah negara dan bangsa. Esok, lusa atau sebentar lagi, dia mungkin akan melakukan sesuatu atau membiarkan satu lagi kerosakan berlaku yang tidak akan dapat diperbaiki lagi.

UMNO mungkin tidak dapat bertahan sehingga Disember walaupun dari segi ‘jasad’nya ia tetap wujud. Jika ada yang masih mempersoalkan ‘kenapa kepimpinan harus ditukar segera?’ atau ‘biarlah UMNO pulih dahulu, dan kerja-kerja kerajaan disempurnakan sebelum peralihan kuasa,’ ketahuilah bahawa hakikatnya, UMNO bukannya semakin pulih, tetapi semakin parah hari demi hari. Kecederaan UMNO amat parah sehingga mampu mengakibatkan kematian terhadap bangsa yang ditunjanginya bila-bila masa sahaja. Ini kerana tiada satu pun usaha untuk memulihkan UMNO dilakukan sehingga kini. Setiap apa yang dibuat oleh kepimpinan hari ini, hanyalah menambahkan kekuatan musuh UMNO sedikit demi sedikit. Keadaan ini kelihatan seolah-olah kepimpinan hari ini sengaja ingin membantu mereka memusnahkan UMNO sama sekali seberapa segera.

Jika ini berlaku, ia pasti direkodkan dalam sejarah sebagai ‘jasa’ terbesar Abdullah Badawi kepada agama, bangsa, negara dan Parti yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Akhirnya cita-cita Abdullah Badawi untuk menandingi rekod jasa Tun Dr. Mahathir Mohamad, mungkin akan berjaya tetapi dalam konteks yang sebaliknya.

Wednesday, April 16, 2008

Pak Lah terus digesa percepat peralihan kuasa

Inilah pemimpin UMNO yg ada telur!
Cakap terang2 tak perlu belit2!
Bagus Datuk Syed!


From http://www.mstar.com.my/

16-04-2008 03:13:35 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: UMNO Cheras mahu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan tarikh jelas mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak agar ahli UMNO akar umbi tidak tertanya-tanya.

Ketuanya Datuk Syed Ali Al-Habshi berkata, kenyataan terbaru Abdullah bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden UMNO Disember depan mengelirukan ahli akar umbi kerana sebelum ini telah dilaporkan bahawa Abdullah sudah berjanji akan menyerahkan pucuk pimpinan kepada Najib.

"Pak Lah perlu menunjukkan keikhlasan beliau untuk menyerahkan kuasa kepada Najib. Alasan beliau perlukan masa melaksanakan janji-janji pilihanraya tidak boleh diterima kerana ia adalah manifesto Barisan Nasional yang boleh diteruskan oleh penggantinya nanti.

"UMNO Cheras bukannya hendak mendesak kerana kita sangat menghormati pemimpin kita, tetapi UMNO perlukan perubahan dan kepimpinan baru. Oleh itu, Pak Lah perlu memberikan tarikh bila beliau akan melaksanakan peralihan kuasa yang dijanjikannya itu dengan segera, melainkan Najib sendiri mengaku belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai presiden UMNO dan Perdana Menteri," katanya.

Beliau juga meminta majlis tertinggi (MT) UMNO agar berhenti menidakkan hak akar umbi dengan membuat keputusan-keputusan yang boleh dianggap mengekang amalan demokrasi dalam UMNO.

"Misalnya kita tidak mahu lagi MT kali ini membuat keputusan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan. Mereka tidak berhak membuat keputusan seperti itu kerana sebahagian besar mereka adalah orang-orang yang berkepentingan.

"Dalam keadaan UMNO menghadapi masalah kehilangan kewibawaan dan kepercayaan rakyat, pemimpin perlu mendapatkan kekuatan melalui sokongan akar umbi, bukan dengan membuat keputusan sesuka hati tanpa merujuk kehendak ahli banyak," katanya.

Katanya, isu peralihan kuasa itu adalah agenda yang akan dibangkitkan pada mesyuarat luar biasa (EGM) bahagian itu pada 27 April ini yang diadakan khas bagi membincangkan pemansuhan sistem kuota dalam pemilihan parti.

Mengikut sistem kuota yang diperkenalkan pada 1988, 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian) diperlukan untuk jawatan presiden, timbalan presiden (20 peratus atau 38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus atau 19 bahagian) dan ahli MT (lima peratus atau 10 bahagian).

Syed Ali berkata pemimpin perlu sedar bahawa apabila parti menghadapi masalah besar seperti yang berlaku sekarang, kehendak akar umbi perlu diambil kira bagi memastikan keadaan tidak menjadi semakin kucar kacir.

"Pemimpin peringkat bahagian misalnya, mesti memikul tanggungjawab menegur pucuk pimpinan jika melihat sesuatu yang tidak betul, bukan dengan mendiamkan diri kerana menjaga periuk nasi mereka kerana ini boleh menyebabkan pemimpin terus khayal.

"Kalau kita benar-benar sayangkan parti, beritahulah perkara yang sebenarnya supaya ahli akar umbil tidak terus marah kerana kemarahan akar umbi boleh menyebabkan UMNO berkubur," tambahnya.

Beliau mendakwa mempunyai maklumat mengenai beberapa bahagian di Wilayah Persekutuan yang kebanyakan cawangannya telah mendesak agar diadakan EGM, tetapi disekat oleh ketua bahagian.

Desakan UMNO Selangor dan WPKL agar PM berundur

From Malaysiakini
Apr 16, 08 4:01pm

Gelombang desakan supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur nampaknya berterusan di Selangor dan Wilayah Persekutuan.



Selangor adaah antara empat negeri yang jatuh ke tangan barisan pembangkang - PKR, PAS dan DAP - dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Dalam pilihanraya tersebut, barisan pembangkang memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) hanya mampu mempertahankan 20 kerusi DUN sahaja.

Pembangkang juga berjaya merampas 17 daripada 22 kerusi parlimen di Selangor.

BN juga kalah teruk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana pembangkang hampir menyapu bersih semua kerusi parlimen.

BN hanya menang satu daripada 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kain-kain rentang yang menggesa Abdullah menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak digantung di luar kawasan sebuah hotel di Subang Jaya yang menjadi tempat perjumpaan jawatankuasa pengurusan UMNO, dengan ketua bahagian dari kedua-dua negeri berkenaan.



Kain rentang tersebut yang dipasang oleh gabungan ahli UMNO Selangor, dengan jelas menyuarakan sokongan mereka supaya Najib mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Mereka juga menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai timbalan presiden UMNO.


Salah satu kain rentang tersebut berbunyi Kami sayangkan Pak Lah tetapi kami lebih sayangkan UMNO.

Manakala yang satu lagi berbunyi Segerakan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib dan Kami Sokong Najib sebagai presiden, Muhyiddin sebagai timbalan presiden.

Pertemuan tersebut dijadual bermula jam 4.30 petang ini.

Tuesday, April 1, 2008

Forum UMNO Pasca Pilihanraya ke 12

dari mstar

Najib bukan lagi calon PM terbaik, kata Dr M
01-04-2008 04:52:43 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau sudah berubah fikiran dan tidak lagi berpendapat Datuk Seri Najib Razak adalah calon paling layak mengambil alih jawatan Perdana Menteri akan datang.

"Walaupun dahulu saya kata Najib tetapi tidak tahulah mengapa, saya ubah fikiran," katanya apabila ditanya sama ada beliau masih kekal dengan pendirian bahawa Timbalan Perdana Menteri itu adalah calon terbaik untuk mengambil alih jawatan nombor satu negara.

Tun Dr. Mahathir berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Forum UMNO Pasca Pilihan Raya ke-12, Satu Penilaian anjuran portal mykmu.net di sini, Selasa.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Tun Dr. Mahathir berkata Kabinet dan majlis tertinggi (MT) UMNO sudah tidak lagi relevan kerana keputusan penting melibatkan negara dan parti dibuat oleh pihak lain.

Bekas Perdana Menteri itu berkata Kabinet dan MT kini dianggotai hanya oleh orang yang hanya akan mengangguk dan mengiyakan keputusan, walaupun keputusan itu dipengaruhi oleh kaum keluarga Perdana Menteri.

Sambil mengulangi permintaannya agar Abdullah meletak jawatan kerana dikatakan bertanggungjawab terhadap pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lalu, Tun Dr. Mahathir berkata peralihan kuasa itu perlu kerana pemimpin hari ini sudah tidak tahu memimpin.

Tun Dr. Mahathir berkata UMNO perlu dipulihkan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu terhadap perjuangannya dan Abdullah, katanya, perlu faham mesej daripada rakyat yang mahukan beliau mengundur diri.

"Jika sampai hancur baru hendak sedar, masa itu sudah tidak berguna lagi," katanya sambil menambah Abdullah juga telah silap mengadakan pilihan raya pada masa yang tidak sesuai.

Selain itu, Dr Tun Dr. Mahathir mendakwa, pencapaian buruk BN dan UMNO juga berpunca daripada pemilihan calon yang tidak menepati kehendak pengundi.

"Senarai calon bukan seperti yang dikemukakan negeri, tetapi apabila di bawa ke Pejabat Perdana Menteri, ia disemak oleh pihak tertentu di bilik sebelah. Kesannya, ramai jaguh UMNO disingkir, orang baru diberikan tempat. Inilah pembaharuan ala KJ (menantu Abdullah Khairy Jamaluddin). Ini antara sebab kita kalah lima negeri.

"Janganlah cuba kita bagi alasan yang tidak benar. Terimalah hakikat bahawa kekalahan ini disebabkan oleh pihak tertentu yang memberi ruang kepada kaum keluarga memerintah negara kita," katanya.

Beliau juga terus mengulangi sokongannya terhadap cadangan supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa untuk membincangkan keadaan parti masakini, terutama bagi meminda perlembagaan UMNO bagi menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan jawatan tertinggi.

"Saya mengaku, soal undi bonus saya yang buat, tetapi pada masa itu ahli dan bahagian berani mencalonkan sesiapa sahaja. Hari ini ia sudah disalah gunakan," tambahnya.

Tun Dr. Mahathir berkata, jika usaha mengadakan mesyarat agung luar biasa itu berjaya, ahli UMNO mesti memastikan ia tidak di manipulasi oleh MT dan perwakilan tidak akan "dibeli".

"Ahli UMNO mesti berani. Jangan kerana takut pada pemimpin kita tidak sayang UMNO. Tidak guna kita cakap sayang UMNO tetapi takut. Kita mesti tolak kepimpinan yang membawa mala petaka," katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan agar dikembalikan sistem majlis presiden dalam UMNO bagi mengimbangi kuasa Presiden dan menasihati beliau agar beliau tidak lagi perlu mendengar nasihat daripada keluarga sendiri.

Melalui sistem itu, katanya, kuasa presiden akan dapat dikekang agar ia tidaklah terlalu besar sehingga menyebabkan apa yang berlaku hari ini.

Di minta mengulas tahap pengaruh Khairy di dalam pentadbiran Abdullah, Tun Dr. Mahathir berkata beliau sendiri tidak faham mengapa kebanyakan pemimpin UMNO begitu takut kepada menantu perdana menteri itu.

Katanya, Khairy juga begitu berkuasa sehingga pernah mencadangkan agar beliau (Dr Tun Dr. Mahathir) dipecat daripada UMNO.

Ahli panel lain yang bercakap di forum itu anak beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz, ahli MT Datuk Seri Dr Khir Toyo dan Ketua Penerangan UMNO Johor dan ahli Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sunday, March 23, 2008

Pengampu, penasihat yang membawa reba dan rebah

Pemimpin2 Parti Komponen seperti Gerakan, MCA dan MIC telah pun menyindir Pak Lah dan Khairy Jamaluddin dgn menolak jawatan di dalam Kabinet 2008. Pemimpin UMNO seperti Mukhriz telahpun menyampaikan hasrat rakyat dgn sepucuk surat supaya Pak Lah meletakkan jawatan, disusuli pula oleh pemimpin UMNO seperti Khir Toyo juga telah memberi isyarat dgn perletakan jawatan sebagai tanggungjawab di atas kekalahan BN di PRU 12. Sultan2 dan YDP Agong juga telah cuba menyampaikan hasrat menolak Pak Lah melalui penolakan calon Pak Lah sebagai menteri2 besar.

Sekarang, badan agama melalui Mufti Perlis pula telah terpaksa mula bersuara.

Adakah Pak Lah masih mahu buat2 tidak faham?

Terimalah keputusan semua yg Pak Lah harus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Presiden BN. Sekiranya Pak Lah tidak mahu menerima pandangan2 yg lain termasuk YDP Agong, seharusnya Pak Lah menerima pandangan dari seorang alim ulamak supaya meletakkan jawatan.

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN (Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

SAYA pernah menyebut dalam satu tulisan yang lepas tentang nasihat Syaiban al-Ra‘i kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.

” Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimpa kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Para penasihat yang jujur yang memberitahu hakikat yang sebenar, – sekalipun boleh menimbulkan keresahan – adalah lebih baik untuk seseorang pemimpin daripada pengampu yang membohonginya sehingga dia buta dengan keadaan negara dan rakyatnya. Penasihat yang jujur akan memberitahu hakikat yang sebenar tentang suasana negara, rakyat dan tanggungjawab itu semua di hadapan Allah sekalipun mungkin akan menimbulkan ketakutan kepada seorang pemimpin. Dengan ketakutan itu, pemimpin membaiki diri dan keadaan, maka ketakutan akan bertukar menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Adapun pengampu, demi kepentingan diri, kedudukan dan harta yang diharapkan dari pemimpin, maka mereka akan mendendang lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur dibuai mimpi indah sehingga akhirnya ketakutan pun menjelang tiba. Hanya cerita-cerita indah sahaja yang disampaikan ke telinga pemimpin, lalu pemimpin pun gembira dan buta hakikat sebenar rakyatnya..

Saya teringatkan kisah dongeng raja telanjang yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak. Kononnya, ada seorang raja yang gilakan pakaian yang cantik-cantik. Lalu muncul beberapa orang penipu yang kononnya boleh menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya. Raja pun bersetuju. Mereka meminta beberapa hari untuk menenunnya di sebuah bilik di istana. Saban malam raja tersebut melawat hasil kerja yang sedang ditenun mereka. Namun, beliau tidak melihat sebarang benang atau kain yang terhasil, sebaliknya hanya tenunan kosong semata. Apabila raja bertanya, mereka menjawap: “Jika tuanku tidak nampak, menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang berbahaya dan boleh membawa maut.” Dalam ketakutan raja menjawab: “Ya, saya nampak, alangkah cantiknya.” Demikianlah juga menteri- menteri dan para pengiring raja juga mengaku perkara yang sama, kerana ingin mengampu raja. Sehingga pada hari yang dijanjikan, raja pun memakai pakaian yang tidak wujud itu dan disarungkan secara tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu raja memuji keindahan pakaian yang tidak wujud itu, padahal raja sedang bertelanjang. Apabila raja keluar menemui rakyat, maka semua mata terbeliak dan mulut ternganga. Raja menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah. Tiba-tiba beberapa budak kecil menjerit: “Hei! Lihat! Raja kita sedang bertelanjang.” Maka semua rakyat ketawa. Barulah raja tahu bahawa dia telah ditipu oleh ‘tauke-tauke’ tenun dan para pengampu yang berada di kelilingnya. Namun masa telah terlambat, dia telah dimalukan di hadapan rakyat.

Walaupun cerita ini dongeng, namun janganlah ia menjadi realiti dalam dunia politik kita hari ini. Seorang pemimpin amatlah malang jika dia ditipu oleh para pengampu sehingga akhirnya dia ditertawakan oleh rakyatnya dek kesilapan yang dilakukannya. Atau dia dibenci oleh rakyatnya, kerana dia ditipu oleh para pengampu konon rakyat sentiasa puas hati dan sukakannya. Sebab itulah, dosa para pengampu amatlah besar. Dengan nasihat yang buruk, jatuhnya kerajaan-kerajaan lampau dan akan datang. Tuan penasihat ‘dua puluh lima persen’ seperti dalam filem “Tiga Abdul” boleh menyebabkan orang yang dinasihati itu dijual secara lelong. Wahai pemimpin! Berhati-hati dengan para penasihat kalian!”

Saya tertarik dengan perkataan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi apabila Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan meminta dia mensifatkan fitnah. Perkataan ‘fitnah’ seperti yang telah saya sebutkan bermaksud ketidak tenteraram, kekacauan atau hilang keamanan dan kedamaian. Kata al-Hajjaj: “Fitnah itu merebah dengan bisikan, ianya lahir dari aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201). Maka bisikan dan aduan rakyat bawahan janganlah dipandang ringan. Jangan pemimpin hanya akan mendengar aduan golongan korporat dan berpangkat semata. Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga seorang pemimpin jika dia hanya dikelilingi oleh manusia-manusia pengampu dan mencari kemewahan semata. Jika seseorang ingin menjadikan jawatan kepimpinan sebagai tempat ‘makan angin’ dan santai maka dia seorang yang sangat fasik dan jahat. Pemecah amanah lagi khianat. Sabda Nabi s.a.w.: Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman (riwayat Ahmad, Abu Ya‘la dan al- Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani). Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Memperbodohkan

Media juga janganlah memperbodohkan rakyat dan menipu para pemimpin. Jangan hanya disiarkan berita mengampu semata, sebaliknya siarkan kisah duka dan derita rakyat. Kerana, jika tiada saluran untuk mereka meluahkan rasa, maka ianya akan menjelma dalam bisikan senyap dan aduan pada bukan tempatnya. Maka api fitnah akan merebak, lalu membakar keamanan masyarakat dan negara. Jika sesuatu isu tidak adil untuk rakyat, janganlah media membuat pembohongan dengan menyiarkan temu bual insan-insan yang terpinggir dari realiti sebenar. Lalu pemimpin atasan tertipu, rakyat rasa diperbodohkan. Lantas mereka menyimpan perasaan dendam. Lalu hilang kasih sayang antara rakyat dan pemimpin akibat perbuatan para pengampu.

Wahai pemimpin, bukalah ruang seluas-luasnya untuk setiap orang mendapatkan haknya.

Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa gangguan dan tekanan. Jangan pula hanya yang berharta boleh menuntut hak mereka, sementara yang miskin dan susah terpaksa merintih untuk mendapatkannya. Kata Khalifah ‘Ali bin Abi Talib: “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus.” (Ibn Muflih, Al- Adab al-Syar‘iyyah, 1/201) Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang kerahmatannya dirasai oleh setiap lapisan rakyat. Seperti kata Muhammad bin Ka‘ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah, katanya: “Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Jangan pula pemimpin hanya jadi godfather kepada tauke-tauke besar yang menjadi pengampu dan tidak mengambil pusing tangisan insan-insan bawahan. Apabila anda memimpin sebuah negara, maka seluruh rakyatnya adalah di bawah tanggungjawab anda. Jika tidak jangan mengidam jawatan kepimpinan. Wujudkan saluran yang ikhlas agar suara orang bawahan sampai ke pendengaran anda. Hapuskan para pembodek yang membohongi anda sehingga garam dikatakan gula, pasir dikatakan beras, tangisan rakyat diberitakan sebagai senyuman.

Saya sentuh tajuk ini kerana saya melihat yang cuba mencari sebab kenapa rakyat menolak mereka. Sesungguhnya sebab itu tidak dapat diperoleh, jika pemberi maklumat atau penganalisis itu masih lagi membodek dan mengampu. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan selalu bercakap benar. Di situ akan terubatlah banyak luka dan cedera yang dialami.

Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantung’ dan kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’. Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu‘awiyah kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu‘awiyah: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang.” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan. Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda.

Seakan perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya) (Sikap kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!” (surah al-Hasyr: 16).

Dalam ayat lain Allah berfirman: (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu.” Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.” (surah al-Anfal: 4).

Ya Allah! Daku telah menyampaikan!