Thursday, April 10, 2008

Teman Sejati

Eksklusif: “UMNO yang ada hari ini, kami yang hidupkan” Sanusi Junid
Oleh Helme Hanafi
Rabu, 09 April 2008

Mukaddimmah (bahagian pertama)

TAN Sri Sanusi Junid keluar menyambut kami di pintu. Tenang dan bergaya. Pertemuan bersama media tersebut berlangsung di Kelab Aceh, Plaza Mont Kiara Kuala Lumpur. Sejurus masuk, beliau membawa kami ke bilik bacaan.

“Tunggu sekejab, ada lagi yang belum datang,” katanya. Beliau mencapai sebuah buku tentang pejuang wanita Aceh lalu diberikan kepada isteri saya, “Baca buku ini dulu,” katanya sebelum berlalu.

Di rak, bersusun buku tentang Aceh dan GAM. Kata singkat pada Gerakan Aceh Merdeka. Sanusi merupakan cucu kepada pemimpin besar bangsa Aceh Teungku Cik di Tiro manakala isterinya pula anak kepada ulama besar Aceh Teungku Muhammad Daud Beureueh.

Sanusi dan Aceh tidak boleh dipisahkan. Mungkin darah perjuangan bangsa Aceh yang mengalir di tubuhnya itu menjadikan beliau lantang biarpun sudah berusia. Dan mungkin dari situ juga menjadikan beliau pengikut yang setia.

Beberapa hari sebelum ini, nama bekas Setiausaha Agung UMNO ini kembali menghiasi dada-dada akhbar berikutan kelantangannya mempertahankan bekas bossnya Tun Dr Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kecewa dengan bekas rakan Kabinet

Sanusi antara lain kecewa dengan sikap bekas rakan-rakan Kabinetnya yang membiarkan Tun Dr. Mahathir bersendirian mempertahankan beberapa keputusan penting kerajaan sepanjang 22 tahun kepimpinan Tun Dr. Mahathir.

“Seolah-olah Tun Dr. Mahathir saja yang buat keputusan, sedangkan apa yang berlaku sebenarnya adalah keputusan Kabinet, kalau dulu sokong mengapa sekarang bantah,” katanya.

"Beberapa keadaan yang aneh dalam negara kerana tidak ada orang yang dapat mempertahankan keputusan-keputusan Kabinet yang di buat bersama di waktu Dr Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri,”

Sudah tentu beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pembabitan Tun Dr. Mahathir dalam kes penahanan ISA besar-besaran pada tahun 1987 yang dikenali sebagai ‘Operasi Lalang’.

Abdullah dalam serangan balasnya ketika pertemuan dengan ketua-ketua penerangan UMNO seluruh negara minggu lalu berkata, “Bila Dr. Mahahtir mengambil alih jawatan dari Tun Hussein saya tahu reporter semua dipanggil jangan beri berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein. Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu bukan saya tak tahu,".

“Tidak mungkin Tun mahu jahanamkan UMNO”

SEKETIKA kemudian, dua wartawan kanan akhbar arus perdana datang, mengambil tempat masing-masing. Sanusi yang berkemeja putih berpetak biru dengan tangan yang dilipatkan membawa bersama dua keratan akhbar Cina.

“Tengok liputan mereka lebih menyeluruh,” katanya. Ada gambar beliau berceramah di Hotel De Palma Ampang dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Dr Tun Dr. Mahathir.

Selepas berbasa-basi. Sanusi terus membuka mulut, katanya tujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk beliau menjelaskan lebih lanjut berhubung dengan beberapa perkara yang berlaku terutamanya;

“Beberapa keadaan yang aneh dalam negara kerana tidak ada orang yang dapat mempertahankan keputusan-keputusan Kabinet yang di buat bersama di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sanusi bercakap panjang, dari soal mempertahankan Tun Dr. Mahathir, isu sabotaj, soal Abdullah dan tingkat empat, kisah bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Nor terima anugerah Datuk, sehingga ke soal siapa yang membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam UMNO.

Memang beliau seorang yang setia. Sekurang-kurangnya kepada Tun Dr. Mahathir. Kata beliau, tidak mungkin Dr Tun Dr. Mahathir mahu menjahanamkan UMNO.

“UMNO yang ada hari ini kita yang hidupkan, UMNO lama sudah mati, di bawa ke mahkamah oleh Team B, siapa Team B, tengok balik,” katanya.

"UMNO lama sudah mati, di bawa ke mahkamah oleh Team B, siapa Team B, tengok balik,”

“Tun Dr. Mahathir nombor keahlian dia 001, Siti Hasmah (isteri Dr Tun Dr. Mahathir) 002, saya 007,” sambungnya lagi.

Di beberapa bahagian temubual ini, Sanusi bersuara tinggi, kata-katanya lancar menyerang mereka yang mempertikaikan Tun Dr. Mahathir.

“Boleh tegur, tapi biar orang yang sama level, bukan budak-budak yang baru seminggu dua jadi menteri,” kata beliau barangkali ditujukan kepada Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Chik yang baru-baru ini ada membuat kenyataan yang agak keras terhadap Tun Dr. Mahathir.

Mitos Sanusi Junid
PERTEMUAN dengan bekas Menteri Besar Kedah itu bukanlah sesuatu yang dirancang. Saya sedang bercuti sakit di rumah apabila Pengarang Malaysia-Today Raja Petra Kamaruddin telefon bertanya mahu ke tidak bertemu Sanusi.

Sanusi? Ada sesuatu yang menarik tentang dirinya yang membangkitkan keinginan saya untuk bersemuka.

“Sedikit masa dahulu dalam UMNO hanya tiga orang membaca: Tun Dr. Mahathir, Anwar dan Sanusi," kata Khalid Jaafar


Semasa saya berkerja dengan Berita Keadilan, bos saya, Khalid Jaafar, bekas setiausaha akhbar Anwar Ibrahim memberitahu “Sedikit masa dahulu dalam UMNO hanya tiga orang membaca: Tun Dr. Mahathir, Anwar dan Sanusi.

“Tun Dr. Mahathir gemar membaca buku-buku pengurusan dan suatu masa mewajibkan pegawai-pegawai kerajaan membaca The Mind of the Strategist yang tulis oleh Keinchi Ohmae.

"Manakala Sanusi gemar membaca biografi diktator - Hitler, Stalin dan termasuk juga Napoleon dan Sanusi juga mengatakan Lee Kwan Yew telah mencuri ideanya tentang eugenic selection dan melaksanakannya di Singapura,” kata Khalid.

Dan keinginan saya bertemu Sanusi berbalas. Sejam setengah mendengar beliau bercakap, saya dapat rasakan, dia seorang yang penuh tenaga fikirannya.

Percakapannya bersahaja, tetapi diselang-selikan dengan kiasan dan sindiran. Beliau senang bercerita tentang itu dan ini.

Ada sekali, kami bertanya mengenai media yang semakin berani kini, jawabnya, “Pokok hendak rebah, kura-kura pun hendak naik,”.

“Saya boleh letak jawatan”

Satu ketika, tanpa ditanya, Sanusi berkata, “Kalau Abdullah tidak mahu saya lagi sebagai Presiden UIAM, saya boleh letak jawatan sekarang juga, bukan beliau yang lantik saya, Tun Dr. Mahathir yang lantik saya, beliau hanya sambung (kontrak) saja,”.

Semuanya akan kami siarkan secara berperingkat mulai Khamis ini.

Ada satu ketika, kami bertanyakan mengenai apakah Anwar Ibrahim berkemampuan menjadi Perdana Menteri.

Katanya, bersahaja, “ Kalau Abdullah layak, semua orang layak,” kami ketawa besar.

Khamis: Operasi Lalang dari kacamata Sanusi Junid.

No comments: