Saturday, April 26, 2008

Moronic Minister - part 2

Menteri Dollah semua tak reti buat kerja!


Tiada diesel subsidi di stesen minyak, sesetengah pengusaha masih keliru kenyataan Menteri

Bernama
25 April 2008

KUALA LUMPUR-- Sesetengah pengusaha pengangkutan awam masih keliru dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad yang membayangkan bahawa minyak diesel subsidi tidak lagi akan dijual di stesen minyak.

Presiden Persatuan Bas Hentian dan Ekspres Datuk Mohamad Ashar Ali berkata mereka keliru kerana masih belum mendapat maklum balas mengenai cara pengagihan subsidi diesel berkenaan.

Shahril dalam kenyataannya semalam membayangkan bahawa tiada lagi diesel subsidi akan dijual di stesen minyak tetapi sebaliknya bahan itu akan dibekalkan terus kepada pengusaha pengangkutan melalui satu mekanisme yang akan dikenal pasti.

Mohamad Ashar yang dihubungi Bernama berkata beliau juga terkejut dengan kenyataan menteri itu.

Katanya walaupun pada dasarnya cadangan itu boleh dianggap baik tetapi cara pelaksanaan pembahagian subsidi itu dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya penyelewengan.

"Setakat ni pihak kementerian tak ada maklumkan apa-apa pada kami, tapi sebelum mereka buat keputusan sepatutnya kementerian datang berbincang dengan kami dulu," katanya.


Sementara itu, Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) berkata isu subsidi diesel tidak banyak memberi kesan kepada anggota persatuan itu memandangkan kebanyakan teksi, kereta sewa dan limosin di bawah persatuan itu tidak menggunakan diesel.

Timbalan Presiden PETEKMA Mohd Shahril Abd Aziz bagaimanapun melahirkan kebimbangan tentang kenaikan harga petrol.

Katanya sekiranya kerajaan berhasrat untuk tidak memberikan subsidi kepada para pengusaha teksi, sekurang-kurangnya kementerian perlu memberikan bantuan dalam bentuk kos penyelenggaraan untuk mengubah enjin petrol kepada gas asli (NGV).

"Tapi sekarang ni pun susah nak cari stesen NGV, tambang pun dia tak bagi naik. Jadi susahlah kami," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia (PMLOA) Er Sui See, pihaknya tidak mengharapkan apa-apa subsidi daripada kementerian sebaliknya mencadangkan kerajaan supaya mengkaji untuk memansuhkan cukai alat ganti lori seperti yang dibuat di negara jiran, Thailand.

Katanya subsidi sebenarnya tidak banyak menjejaskan operasi pengusaha lori tetapi sebaliknya kos penyelenggaraan terutamanya alat ganti dan tayar banyak membebankan pengusaha lori.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Abu Samah Bachik berkata pihaknya masih tidak jelas dengan kenyataan Shahrir itu.

Beliau berkata penjualan diesel subsidi masih dijalankan seperti biasa sehingga pihaknya dimaklumkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

-- BERNAMA

No comments: