Wednesday, April 16, 2008

Desakan UMNO Selangor dan WPKL agar PM berundur

From Malaysiakini
Apr 16, 08 4:01pm

Gelombang desakan supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur nampaknya berterusan di Selangor dan Wilayah Persekutuan.



Selangor adaah antara empat negeri yang jatuh ke tangan barisan pembangkang - PKR, PAS dan DAP - dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Dalam pilihanraya tersebut, barisan pembangkang memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) hanya mampu mempertahankan 20 kerusi DUN sahaja.

Pembangkang juga berjaya merampas 17 daripada 22 kerusi parlimen di Selangor.

BN juga kalah teruk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana pembangkang hampir menyapu bersih semua kerusi parlimen.

BN hanya menang satu daripada 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kain-kain rentang yang menggesa Abdullah menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak digantung di luar kawasan sebuah hotel di Subang Jaya yang menjadi tempat perjumpaan jawatankuasa pengurusan UMNO, dengan ketua bahagian dari kedua-dua negeri berkenaan.



Kain rentang tersebut yang dipasang oleh gabungan ahli UMNO Selangor, dengan jelas menyuarakan sokongan mereka supaya Najib mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Mereka juga menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai timbalan presiden UMNO.


Salah satu kain rentang tersebut berbunyi Kami sayangkan Pak Lah tetapi kami lebih sayangkan UMNO.

Manakala yang satu lagi berbunyi Segerakan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib dan Kami Sokong Najib sebagai presiden, Muhyiddin sebagai timbalan presiden.

Pertemuan tersebut dijadual bermula jam 4.30 petang ini.

No comments: