Monday, March 31, 2008
Keberanian pasca PRU-12
Abdullah must heed the call of the rakyat! PLEASE RESIGN!
Mingguan Malaysia
30 Mac 2008
Oleh Rozaman Ismail
SATU perkara yang sangat jelas dan menarik dapat dilihat selepas pilihan raya yang baru berakhir ini ialah rentetan peristiwa yang ada hubung kait dengan keberanian dan kepertanggungjawaban.
Episod berkaitan keberanian dan sikap bertanggungjawab ke atas kesan yang timbul akibat daripada percubaan tersebut sangat menonjol dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Di beberapa buah negeri keberanian para pengundi ‘mewujudkan corak pengundian songsang yang lari daripada kebiasaan’ menyaksikan negeri-negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) jatuh kepada pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.
Tanpa mempedulikan apa kesannya kepada negara, para pengundi mempamerkan keberanian yang luar biasa dengan mengundi calon-calon parti pembangkang atas rasa kecewa dan marah kepada kerajaan berhubung beberapa isu.
Hasil daripada ‘keberanian’ itu parti-parti pembangkang mencatatkan satu rekod baru dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
Dengan 82 kerusi Parlimen, mempertahankan Kelantan untuk penguasaan tahun ke-18 berturut-turut, menubuhkan kerajaan di empat lagi negeri termasuk tiga di jajaran koridor utara serta secara diam-diam menguasai Wilayah Persekutuan.
Walaupun berupaya menafikan majoriti dua pertiga BN, keberanian sehingga mencetuskan apa yang dinamakan ‘tsunami politik’ masih gagal menumbangkan kerajaan BN.
Sejurus berakhir pilihan raya 8 Mac lalu, rentetan ‘keberanian baru’ muncul satu demi satu, silih berganti. Kali ini di kalangan calon-calon yang bertanding, sama ada yang menang atau kalah dan tidak terkecuali ahli-ahli parti, semuanya meluahkan keberanian bersuara tanpa silu.
Yang menariknya kebanyakan suara-suara itu datangnya daripada kaum keluarga BN sendiri terutama parti-parti yang kalah teruk seperti Gerakan, MCA dan MIC dan UMNO sendiri.
Ketika pakatan pembangkang sibuk merencanakan ‘wajah baru empat kerajaan negeri’ para pemimpin parti-parti komponen BN meledakkan peluru keberanian masing-masing’ kepada pucuk pimpinan tertingginya.
Bagai tiada dinding penghadang, Penasihat Parti Gerakan Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik melempiaskan kekecewaannya dengan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menukarkan para penasihatnya kerana memberi nasihat yang salah berikutan prestasi buruk BN pada pilihan raya kali ini.
Menurut bekas Presiden Gerakan itu, BN tidak akan mengalami kekalahan sebegitu teruk jika mereka memberi nasihat yang betul.
Kekecewaan Keng Yaik berasas, Gerakan bukan sahaja kehilangan Pulau Pinang yang jatuh ke tangan DAP, malah parti itu kalah teruk di kerusi-kerusi Parlimen dengan hanya memenangi dua daripada 12 dan empat daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Jika Keng Yaik masih lagi berlapik tanpa menamakan ‘siapa penasihat-penasihat yang tidak baik’ itu, Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukriz Tun Mahathir secara terbuka mempamerkan ‘keberaniannya’ dengan menulis surat kepada Abdullah meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Dalam surat itu Mukriz secara lantang menegaskan agenda kepimpinan dan kaedah mengurus masalah Perdana Menteri tidak lagi dapat diterima rakyat.
Desakan Mukriz mula mendapat perhatian ramai khususnya di kalangan ahli-ahli UMNO yang kemudiannya memberi respons yang pelbagai.
Krisis
Dari satu sudut, perkembangan ini kelihatan seolah-olah BN sedang berhadapan dengan satu ‘krisis kepimpinan.’
Tetapi dari satu sudut lain yang lebih positif, ia memperlihatkan tirai keterbukaan mula disingkap luas oleh para pemimpin dan ahli BN sehingga mereka mampu bercakap mengenai pelbagai isu yang menyelubungi prestasi buruk parti itu dengan lebih telus, terbuka dan jujur.
Ia sangat berbeza dengan situasi sebelum ini yang lebih menjurus kepada sikap ‘memendam rasa’ dalam berhadapan dengan satu-satu isu yang agak ‘sensitif.’
Penganalisis politik tanah air dari Universiti Utara Malaysia Profesor Dr. Mohamad Mustafa Ishak berkata, keberanian yang ditunjukkan sebenarnya lahir daripada sikap dan keterbukaan dasar-dasar Abdullah sendiri selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri lima tahun dulu.
Katanya, Abdullah sejurus selepas dilantik menjadi Perdana Menteri menguar-uarkan mahu melaksanakan sebuah pentadbiran yang telus dengan membuka lebih ruang untuk rakyat bersuara.
‘‘Dan inilah hasilnya. Ini hakikat yang kita kena akui selepas beliau menjadi Perdana Menteri. Keterbukaan ini, memberi ruang untuk orang ramai menyuarakan pandangan. Ini juga menjadi salah satu sebab pembangkang menang besar kerana kebebasan berpolitik tidak lagi disekat.
‘‘Kebebasan bersuara yang diberikan bukan setakat di pihak pembangkang sahaja tetapi di dalam BN sendiri menjadikan orang lebih berani menyuarakan isi hati dan pandangan,” katanya.
Kronologi ‘keberanian’ ini tidak mati di situ sahaja sebaliknya berterusan dengan pelbagai komen, pandangan dan kritikan secara terbuka sama ada daripada para pemimpin parti-parti komponen mahupun kalangan ahli di peringkat akar umbi.
Malah pada satu tahap ia sudah sampai ke peringkat mendesak kepimpinan tertinggi mengundur diri selain suara-suara yang lebih radikal yang mahu jawatan peringkat tertinggi parti dicabar.
Di celah-celah suara keberanian itu, ada sebahagian pemimpin parti mempamerkan sikap kepertanggungjawaban yang tinggi dengan menyahut desakan mengundurkan diri.
Sebagai contoh, walaupun tanpa sebarang desakan daripada akar umbi, awal-awal lagi dua pemimpin tertinggi MCA menolak untuk dilantik semula memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.
Dalam keadaan sebahagian besar ahli-ahli Parlimen yang menang pada pilihan raya baru-baru ini ‘tidak lelap tidur memasang mimpi’ untuk dilantik ke dalam Kabinet, Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dan Naib Presidennya Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn pula membuat pengorbanan besar meminta jangan dilantik semula ke jawatan Kabinet demi memberi tumpuan bagi mengukuhkan semula parti itu.
Kedua-dua pemimpin MCA itu menang di kerusi masing-masing dan kalau mahu mereka masih boleh dilantik ke jawatan Kabinet lama, tetapi masing-masing menolak atas rasa kepertanggunagjawaban berikutan prestasi buruk MCA.
Parti terbesar bagi masyarakat Cina itu hanya menang 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Terhormat
Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo turut melakukan perkara yang sama iaitu mengundurkan diri secara terhormat.
Atas rasa tanggungjawab berikutan kekalahan teruk sehingga Selangor jatuh ke tangan pembangkang, beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Negeri.
Pada hari yang sama Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang digugurkan daripada barisan Kabinet turut berbuat demikian dengan mengundur diri daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN.
Radzi menjelaskan beliau tidak dapat bekerja secara efektif sebagai Setiausaha Agung kerana tidak lagi berada dalam Kabinet.
Sehari selepas Perdana Menteri mengumumkan barisan Kabinet barunya, dua timbalan menteri yang sudah dilantik menunjukkan ‘keberanian’ menolak lantikan itu atas alasan tersendiri.
Beberapa hari selepas itu seorang lagi timbalan menteri menuruti langkah dengan tindakan yang sama.
Ada yang melihat perkembangan ini sebagai satu harga yang sangat mahal yang perlu dibayar oleh BN berikutan dasar keterbukaan yang diperkenalkan.
‘‘Ketelusan dan keterbukaan ibarat pisau dua mata, satu baik dan satu lagi tidak baik.
‘‘Baiknya ia memberi ruang untuk orang ramai bersuara dan menyatakan kebenaran dan buruknya sesetengah orang melihat ini sebagai tanda kelemahan kerana apa-apa juga keburukan dan kelemahan yang selama ini tertutup kini sudah dibuka dan tempiasnya terpaksa dirasai oleh kerajaan,” kata Dr. Mohamad Mustafa lagi.
Bagaimanapun kata beliau, kerajaan tidak perlu menyesali keadaan ini kerana ia sangat baik dan membuktikan kemajuan dan kematangan dalam sistem demokrasi negara.
Katanya, apa yang lebih penting sekarang, kerajaan mesti berubah dengan memberi respons ke atas setiap pandangan dengan cepat dan tepat.
‘‘Dasar keterbukaan menjadi sangat tidak bermakna jika, respons daripada kerajaan lambat dibuat atau tidak kena masanya. Maklum balas dan respons mesti datang tepat pada waktunya.
‘‘Kalau tidak kita akan dilihat sebagai orang yang menafikan kebenaran dan tidak mahu bertindak walaupun telah diberitahu,” tegasnya.
Sebenarnya sikap berkaitan keberanian dan kepertanggungjawaban yang dilihat berlaku dalam UMNO dan BN bukanlah perkara baru.
Jika diimbas susur galur sejarah politik negara, peletakan jawatan secara terhormat atas prinsip akauntabiliti telah berlaku sejak tahun 1969 rentetan kekalahan parti Perikatan.
Cumanya ia sangat ketara dilihat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 kerana melibatkan bukan seorang dua pemimpin atau parti tertentu sahaja tetapi turut melibatkan suara akar umbi parti.
Keberanian dan kepertangggungjawaban yang ditunjukkan oleh rakyat, ahli-ahli parti serta para pemimpin UMNO dan BN akan membuka lembaran baru politik negara dan tidak mustahil lebih banyak ‘keberanian dan kepertanggungjawaban’ dapat dilihat sedikit masa lagi atau pada masa-masa akan datang. Mudah-mudahan.

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment