Monday, May 12, 2008

Perlukah peralihan kuasa dilakukan segera?

By Sutradari on Sunday, May 11 @ www.mykmu.com

Selepas pengajaran yang pahit dari 13 Mei 1969, hubungan kaum di Malaysia tidak lagi bergelora. Atas kebijaksanaan kepimpinan Malaysia selama ini, semua kaum memahami kedudukan masing-masing dan menghormati serta menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing dalam persaingan untuk mendapat bahagian mereka dari kek ekonomi Malaysia.

Walaupun terdapat golongan minoriti yang sentiasa membawa isu-isu ketidakpuasan hati kaum-kaum tertentu, namun sebagai minority, mereka harus menerima keadaan dan penjelasan seadanya apatah lagi apabila keistimewaan yang dinikmati oleh sesuatu kaum itu terbukti langsung tidak menjejaskan keupayaan kaum mereka.

Namun, kebelakangan ini, keadaan sudah tidak lagi seperti dahulu. Hari demi hari, kita mendengar ada saja permintaan atau isu baru yang dikemukakan oleh golongan minoriti. Dan dengan motif yang diragui samada untuk publisiti murah, publisiti bodoh atau sekadar melepaskan dendam, kepimpinan kita sering sahaja cenderung untuk melayan semua permintaan-permintaan ini. Golongan minoriti kini lantang bercakap mengenai sistem yang konon tidak adil, mempertikaikan hak kaum dan agama dan lain-lain lagi.

Walaupun barat, parti pembangkang serta pembodek Abdullah Badawi sendiri cuba menyalahkan sistem dan Tun Dr. Mahathir bagi setiap isu yang dibangkitkan mereka, tetapi mereka tidak dapat menjelaskan kenapa sistem itu atau pun Tun Dr. Mahathir hanya membawa masalah setelah negara ini diambil alih oleh Abdullah Badawi. Jelas yang bersalah di sini, bukannya sistem tetapi siapa yang menerajuinya. Di bawah teraju Abdullah Badawi, imej Malaysia sebagai Harimau Asia berubah menjadi Anjing Kurap belaan Singapura dalam sekelip mata.

Jika sebelum pilihanraya, Abdullah Badawi telah membuat ‘jasa’ melalui ECM Libra, Pantai Holdings, MV Augusta, AP, Scomi dan lain-lain, selepas pilihanraya pula, peluang Abdullah Badawi menambah ‘jasa’ semakin terbuka:

Permintaan penggunaan nama Allah oleh pihak gereja, percubaan menidakkan serta mempersoalkan hak bumiputra, perbuatan ‘mencabar’ dan memperlekehkan Sultan, peningkatan sentimen perkauman dan beberapa isu lain yang pasti dan akan timbul satu persatu mungkin bukan ‘jasa’ langsung Abdullah Badawi, tetapi soalnya, ialah isu-isu ini boleh dan hanya berbangkit hari ini kerana faktor Abdullah Badawi.


Ini kerana isu-isu ini tidak mungkin timbul sekiranya kita mempunyai kepimpinan yang kuat, bijak dan tegas.

Dan sekiranya golongan minoriti berjaya dalam semua permintaan dan asakan ini, maka secara rasminya isu-isu di atas juga akan direkodkan dalam sejarah sebagai antara senarai ‘jasa’ Abdullah Badawi terhadap agama, bangsa dan negara.

Perlu diingatkan bahawa isu-isu terbaru ini berbangkit hanya dalam masa lebih kurang tiga bulan selepas Pilihanraya Umum. Jangan lupa, jika peralihan kuasa hanya berlaku dalam bulan Disember, maka kita terpaksa menunggu lebih kurang tujuh bulan lagi untuk menukar kepimpinan kepada yang tidak lemah dan lebih kuat - itupun jika sampul cokelat sudah tidak punya harga lagi.

Selama tujuh bulan ini, entah berapa isu lagi akan timbul dan berapa permintaan lagi akan dibuat oleh golongan minoriti dan entah berapa lagi yang akan dipenuhi oleh kepimpinan yang lemah ini. Kalaupun ianya tidak dipenuhi, ia tetap akan mengocak air yang tenang dan menimbulkan kecurigaan antara kaum dan agama yang mana amat buruk untuk kestabilan dan keharmonian negara.

Apabila permintaan minoriti dipenuhi, dan pandangan majoriti dinafi, demokrasi pun sudah tidak punya erti lagi. Apabila demokrasi sudah tidak bererti, keamanan negara akan teruji.

Oleh itu, tidak timbul soal kenapa kita tidak harus menumpukan sepenuh tenaga untuk memastikan Abdullah Badawi berundur segera kerana semakin lama kepimpinan yang lemah dibiarkan berkuasa, semakin lemahlah negara dan bangsa. Esok, lusa atau sebentar lagi, dia mungkin akan melakukan sesuatu atau membiarkan satu lagi kerosakan berlaku yang tidak akan dapat diperbaiki lagi.

UMNO mungkin tidak dapat bertahan sehingga Disember walaupun dari segi ‘jasad’nya ia tetap wujud. Jika ada yang masih mempersoalkan ‘kenapa kepimpinan harus ditukar segera?’ atau ‘biarlah UMNO pulih dahulu, dan kerja-kerja kerajaan disempurnakan sebelum peralihan kuasa,’ ketahuilah bahawa hakikatnya, UMNO bukannya semakin pulih, tetapi semakin parah hari demi hari. Kecederaan UMNO amat parah sehingga mampu mengakibatkan kematian terhadap bangsa yang ditunjanginya bila-bila masa sahaja. Ini kerana tiada satu pun usaha untuk memulihkan UMNO dilakukan sehingga kini. Setiap apa yang dibuat oleh kepimpinan hari ini, hanyalah menambahkan kekuatan musuh UMNO sedikit demi sedikit. Keadaan ini kelihatan seolah-olah kepimpinan hari ini sengaja ingin membantu mereka memusnahkan UMNO sama sekali seberapa segera.

Jika ini berlaku, ia pasti direkodkan dalam sejarah sebagai ‘jasa’ terbesar Abdullah Badawi kepada agama, bangsa, negara dan Parti yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Akhirnya cita-cita Abdullah Badawi untuk menandingi rekod jasa Tun Dr. Mahathir Mohamad, mungkin akan berjaya tetapi dalam konteks yang sebaliknya.

1 comment:

Letting the time pass me by said...

With these kind of political situation, what is more alarming is its impact on the economy that may trigger an economy instability...

Well with the high inflation rate and the current high rice prices, there will be a rough ride ahead..