Friday, May 23, 2008

Pak Lah Berlindung Di Sebalik Suruhanjaya

Oleh Matthias Chang (Terjemahan)

Pengenalan – Wayang Kulit



Didalam tulisan saya yang terdahulu bertajuk “Pak Lah, Badut dan Wanita Dalam Penantian” bertarikh 21 April, 2008, saya telah memperlihatkan bahawa Suruhanjaya DiRaja telah ditubuhkan oleh Perdana Menteri dengan tujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat semasa Pilihanraya Umum Ke12 dari isu sebenar – salahlaku dan perlakuan rasuah didalam rejim Abdullah Badawi.

Ianya satu permainan mencari salah yang mudah yang dimainkan oleh Perdana Menteri – apa sahaja kesalahan yang berlaku selepas dia mengambil-alih tampuk pemerintahan pada October 2003, semuanya disebabkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perhatian ditumpukan kepada tuduhan salahlaku beberapa orang hakim. Akhbar-akhbar pro-kerajaan (Barisan Nasional) menjadikannya berita utama selama lebih sebulan dan berterusan sehingga sebelum Pilihanraya Umum.

Ianya satu usaha yang lemah dan tidak membawa sebarang kesan kepada pengundi. Perasaan marah dan sangsi terhadap Perdana Menteri dan ahli keluarganya amat mendalam dan akibatnya ialah keputusan yang tidak pernah terjadi sebelumnya, pihak pembangkang berjaya menafikan majoriti dua-pertiga di Parlimen selain mengambil-alih pemerintahan di empat negeri penting – Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Ianya satu musibah bagi rejim Badawi. Parti pemerintahan tidak pernah mengalami keputusan yang begitu memalukan. Diseluruh negara rakyat menyeru supaya Perdana Menteri meletak jawatan.

Namun, dia tidak mahu bertanggungjawab keatas keputusan buruk dan tidak mahu meletakkan jawatan. Sebaliknya, dia menyalahkan musibah tersebut keatas ahli-ahli parti-parti komponen yang dituduhnya melakukan sabotaj. Sekali lagi, dia juga menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sebab keputusan pilihanraya yang buruk yang menimpa parti pemerintah. “Spin doctors” ataupun kaki-kaki putar Pak Lah pun bekerja keras untuk menutup kesalahan dan penipuan rejim Badawi.

Ketika itu, tarikh tamat untuk Suruhanjaya Pilihanraya untuk menyerahkan laporan sudah berlalu. Permohonan untuk melanjutkan tempoh telah diberikan namun laporan itu masih gagal disiapkan apabila tempoh lanjutan itu tamat. Tidak seorangpun bersuara. Jelas, penerbitan mesti pada masa yang sesuai. Budak-budak tingkat 4 belum memberi lampu hijau.

Terdesak untuk kekal memegang kuasa, Pak Lah menggunakan semua muslihat yang ada untuk mendapatkan balik sokongan dan untuk terus berkuasa.

Dan Majlis Peguam Malaysia bersedia secara sukarela untuk menjadi rakan untuk berdrama bersama-sama. Perdana Menteri telah berkonspirasi dengan Majlis Peguam Malaysia untuk mengadakan majlis makan malam untuk berbaik-baik dengan Tun Salleh, bekas Ketua Hakim Negara yang telah dipecat kerana salahlaku kehakiman akibat dari laporan tidak puas hati dari Yang diPertuan Agong.

Majlis makan malam yang sepatutnya dihoskan oleh Majlis Peguam Malaysia telah ditanggung oleh rejim Badawi. Mempamerkan penyesalan palsu, Perdana Menteri membuat tawaran bayaran sagu hati (ex-gratia) kepada Tun Salleh dan dua orang lagi bekas hakim sebagai pampasan keatas pemecatan mereka dan turut berjanji akan mengembalikan kebebasan kehakiman.

Kroni-kroni Perdana Menteri dan pengampu-pengampu didalam Majlis Peguam Malaysia pun menyanjung usaha-usaha Perdana Menteri. Pak Lah pun dinobatkan sebagai jaguh kebebasan kehakiman. Akhbar-akhbar perdana dibawah kuasa Badawi pun turut beria-ia.

Maka manusia, yang menghantar pasukan yang lengkap bersenjata untuk menyekat demonstrasi-demonstrasi yang mahukan pilihanraya yang bersih dan telus serta menahan dibawah ISA pemimpin-pemimpin Hindraf, telah dinobatkan sebagai jaguh demokrasi dan kebebasan. Namun, populariti Pak Lah tidak meningkat walau satu noktah sekalipun! Kaki-kaki putar sekarang terpaksa menilai kembali strategi mereka. Pegangan, pegangan mutlak semakin terlepas dari tangan Pak Lah dan samseng-samseng politiknya didalam keadaan bercelaru.

Ketemu Sesumpah

Pak Lah dan Ambiga Pengerusi Majlis Peguam Malaysia mahukan kita untuk mempercayai bahawa mereka adalah penjaga kepada kebebasan kehakiman. Mereka menganggap kita bodoh! Bagaimana boleh sesiapapun mengambil Pak Lah dan Ambiga secara serius bila orang yang dilantik sebagai Menteri Kehakiman (de-facto), Zaid Ibrahim, telah didapati bersalah kerana rasuah oleh jawatankuasa disiplin Umno dan didapati tidak layak untuk bertanding sebagai calon didalam Pilihanraya yang baru lalu.

Manusia sebegini sekarang dilantik untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kehakiman negara. Dia yang dapat kedudukan menerusi pintu belakang. Ketua Hakim sekarang adalah hakim yang membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari tuduhan sodomi. Tetapi ada seorang lagi hakim yang berani yang memberikan keputusan yang bercanggah yang telah mengingatkan kita bahawa mangsa didalam kes tersebut ialah pemandu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan apa yang telah dinyatakan olehnya dimahkamah sudah cukup untuk mempertahankan keputusan menghukum Anwar Ibrahim atas tuduhan sodomi.

Bolehkah kita membuat andaian bahawa Ketua Hakim sekarang mendapat kedudukan yang begitu tinggi adalah sebagai hadiah kerana melepaskan Anwar Ibrahim? “Ini adalah satu skandal” – mungkin itu reaksi yang akan timbul. Tetapi bukankah ini tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada hakim-hakim yang naik pangkat bahawa mereka dinaikkan pangkat kerana mendapati Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan rasuah dan sodomi.

Anwar didapati bersalah kerana rasuah oleh Mahkamah Tinggi (seorang Hakim). Penghakimannya disokong oleh Mahkamah Rayuan (tiga orang hakim) dan Mahkamah Persekutuan (tiga orang hakim) dan juga dalam penilaian semula oleh satu panel Mahkamah Persekutuan (tiga orang hakim).

Sejumlah 11 orang hakim membuat keputusan diatas kes itu dan kita masih lagi disogokkan dengan anggapan kesemua hakim-hakim itu berat sebelah dan dipengaruhi oleh eksekutif. Jika itulah tanggapan, bagaimana kita mahu menjelaskan bahawa didalam penilaian semula (review proceedings) oleh Mahkamah Persekutuan, Allahyarham Tan Sri Ahmad Malek (ketika itu presiden Mahkamah Rayuan) dan Tan Sri Siti Norma (ketika itu ketua hakim Mahkamah Tinggi) yang mana integriti dan sikap tidak berat sebelah mereka, yang tidak pernah diragui oleh Majlis Peguam dan kebanyakan NGOs dan lain-lain badan, tetap menyokong keputusan terdahulu?

Berkaitan dengan Ambiga, dia adalah hipokrit terbesar. Di dalam mendokong ketelusan didalam perlantikan hakim dan seharusnya menerusi Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman, dia disebaliknya telah beria-ia memuji-muji dan menyokong perlantikan Tan Sri Zaki sebagai Hakim Persekutuan walaupun Zaki tidak pernah mempunyai pengalaman sebagai hakim meskipun dia seorang peguam yang berpengalaman.

Di samping itu, Zaki juga seorang ahli Umno yang ternama. Didalam tempoh beberapa bulan dia telah dinaikkan sebagai presiden Mahkamah Rayuan, kedudukan kedua tertinggi didalam kehakiman, mengambil-alih dari Tan Sri Ahmad Malek.

Zaki telah melangkaui ramai hakim-hakim yang lebih senior dan berkhidmat lama sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Perkara ini adalah salah satu rasa tidak puashati hakim-hakim yang telah lama berkhidmat kerana mereka telah di ketepikan tanpa apa-apa pertimbangan.

Namun tiada kritikan mengenai perlatikan yang luarbiasa ini dari sihipokrit ini. Ambiga telah mendesak diadakan Suruhanjaya Kehakiman untk menyiasat tuduhan-tuduhan terdapat salahlaku didalam perlantikan hakim-hakim, terutamanya perlantikan bekas ketua hakim Tun Ahmad Fairuz tetapi, dimasa yang sama dia tidak membangkang perlantikan Zaki oleh Pak Lah.

Bolehkah orang sebegini dipercayai? Anda sendirilah menghakiminya. Apakah agendanya? Jangan ragu, akan sampai masa bila semuanya akan menjadi jelas!

Kehadiran Badut-Badut – Perselindungan DiRaja!

Suruhanjaya diRaja telah membuat beberapa penilaian yang jahat apabila ia menekankan:

“Didalam analisis terakhir, setelah mengambilkira secara menyeluruh bukti-bukti dan sebab-sebab yang dinyatakan, kita berpendapat terdapat, secara dirancang, satu gerakan bermuslihat yang tidak berniat baik oleh Lingam dengan bantuan sulit oleh rakan-rakan karibnya, Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk mengaitkan diri mereka secara aktif didalam perlantikan hakim-hakim, khususnya perlantikan Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Malaya dan seterusnya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

“Didalam proses itu Dr. Mahathir Mohamad telah turut terbabit. Kemungkinan buruk itu tidak dapat diketepikan apabila dinilai disamping fakta-fakta keadaan yang menyelubungi penolakan Malek Ahmad sebagai Ketua Hakim Malaya. Tujuan atau pencapaian akhir yang mereka mahukan tidak dapat ditentukan dengan tepat disebabkan oleh had-had rujukan yang ditetapkan (untuk suruhanjaya). Ianya mungkin bersabit dengan menetapkan keputusan kes-kes seperti yang diajukan oleh peguam dari Majlis dan lain-lain. Yang pasti adalah munasabah untuk disimpulkan bahawa usaha-usaha tersebut adalah untuk kepentingan diri”.

Saya bersetuju dengan Hakim NH Chan bahawa “something is rotten in the state of Denmark (bidalan Inggeris untuk menunjukkan sesuatu yang amat tidak baik sedang berlaku).” Yang amat buruk dan busuk ialah keadaan Suruhanjaya DiRaja dan sikap penakut ahli-ahlinya yang perlu kita bincangkan. Di dalam membuat kenyataan-kenyataan diatas, terutamanya dengan memburuk-burukkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, ahli-ahli Suruhanjaya DiRaja adalah tidak bertanggungjawab dan niat serta tujuan mereka mesti dipersoalkan dan disiasat.

Alasan-alasan saya adalah seperti berikut:

1. “That possibility was ominous – ataupun kemungkinan buruk itu…” Perkataan-perkataan ini menunjukkan dengan jelas bahawa ahli-ahli Suruhanjaya DiRaja telah membuang prinsip asas perundangan – apa-apa kesalahan mestilah dibuktikan menlangkaui kesangsian yang munasabah - beyond all reasonable doubts.

Di dalam kes-kes sivil, beban pembuktian adalah pertimbangan kebarangkalian - a balance of probabilities. Tidak terdapat beban pembuktian yang disandarkan kepada kemungkinan. Jika kita bersandarkan kepada kemungkinan, kita akan memasuki ke dalam dunia spekulasi. Ini tidak boleh kita benarkan. Dan jika ini telah datang dari Suruhanjaya DiRaja, ia akan mengundang bencana dan integriti (Suruhanjaya) perlu dipertikaikan!

Ahli-ahli Suruhanjaya DiRaja mempunyai peluang sepenuhnya untuk menyoal Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan dengan penerimaan atau penolakannya terhadap sebarang cadangan perlantikan kehakiman oleh Ketua Hakim (sepertimana yang termaktub didalam perlembagaan). Setelah gagal mendapatkan jawapan yang sesuai dengan kehendak mereka, Suruhanjaya DiRaja telah bertindak membuat andaian berdasarkan kemungkinan dan spekulasi semata-mata. Sikap ini adalah amat memalukan serta tidak bersesuaian dengan ahli-ahli Suruhanjaya DiRaja yang terdiri dari bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi serta Ketua Hakim Borneo.

Lebih memalukan lagi, bekas-bekas hakim ini seterusnya membuat spekulasi mengenai penolakan Ahmad Malek sebagai Ketua Hakim yang dikaitkan dengan “menetapkan kes-kes – fixing of cases.” Tiada bukti yang berikan untuk menyokong pandangan ini. Tuduhan ini adalah dari penggulungan oleh peguam-peguam dari Majlis Peguam. Penggulungan yang tidak didasarkan oleh bukti yang jelas (secara terus atau berdasarkan keadaan - direct or circumstantial) tidak boleh menjadi asas untuk mengaitkan kesalahan atau salahlaku.

Saya amat terkejut dengan tindakan Suruhanjaya DiRaja yang memberi keputusan berdasarkan andaian semata-mata: “Ia mungkin berkait dengan penetapan kes-kes (fixing of cases) sebagaimana yang dihujahkan oleh Majlis dan yang lain-lain.”

2 Di dalam laporan mereka, ahli-ahli Suruhanjaya telah dengan mudah mengenepikan fakta serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan dimana setiap perlantikan mestilah terlebih dahulu berdasarkan cadangan dari Ketua Hakim kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri tidaklah terikat dan terpaksa menerima setiap cadangan.

Jika tidak, sudah pasti Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan supaya Ketua Hakim “mencadangkan –recommends” kepada Perdana Menteri. Tetapi Perdana Menteri menasihatkan Persidangan Raja-Raja dan nasihat itu mestilah di patuhi. Seterusnya, jika Perdana Menteri telah menerima pandangan dari sumber-sumber lain (samada dipinta atau sebaliknya) boleh dinyatakan tanpa ragu-ragu bahawa semenjak tahun 1981 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, setiap perlantikan ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Agong yang dulu, Mahkamah Rayuan sekarang dan Mahkamah Persekutuan, perlantikan-perlantikan Ketua Hakim, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara telah dibuat dengan cadangan-cadangan Ketua Hakim Negara ketika itu.

Mungkin keadan disebaliknya dengan ahli-ahli Suruhanjaya yang terdiri dari bekas-bekas Hakim dimana perlantikan dan kenaikan pangkat mereka adalah kerana manipulasi dan pengaruh kuat kerana mereka semua dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berdasarkan cadangan dari Ketua Hakim Negara ketika itu.

Jika mereka (ahli-ahli Suruhanjaya) mempersoalkan cara perlantikan oleh Perdana Menteri, adakah kita dijemput untuk mempersoalkan perlantikan mereka sendiri? Lanjutan dari tindakan mereka mempersoalkan integriti Tun Eusoffe Chin, maka adalah adil jika kita mempersoalkan dan mencabar semua perlantikan dan kenaikan dari masa Tun Dzaiddin sehingga hari ini. Pengkritik-pengkritik dan mereka yang tidak bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh mendapat kesemuanya mengikut kehendak mereka!

Dzaiddin memberitahu Suruhanjaya yang dia tidak menyukai Tun Eusoffe Chin, bekas Ketua Hakim Negara. Namun, dia (Dzaiddin) telah dicadangkan oleh Eusoffe untuk menggantikannya. Adakah Dzaiddin melobi untuk jawatan itu? Adakah terdapat tekanan keatas Tun Eusoffe Chin untuk melantik Dzaiddin?

Saya ingin tahu jika hakim-hakim (jika ada) berpendapat bahawa ahli-ahli Suruhanjaya telah tidak dilantik dengan cara yang betul diantara tahun 1981 hingga 2003 dan sebab mengapa mereka berpandangan demikian.

Dan jika telah berlaku perlantikan sedemikian, adakah mereka telah menyatakan bangkangan mereka ataupun mengambil tindakan untuk membetulkan keadaan bersesuaian dengan sumpah perlantikan mereka. Jika tidak, mereka ini hipokrit dan penakut.

3. “Tujuan atau pencapaian akhir yang mereka mahukan tidak dapat ditentukan dengan tepat…” Namun ahli-ahli Suruhanjaya DiRaja telah membuat kesimpulan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai niat yang tidak baik didalam perlantikan hakim-hakim. Suruhanjaya mengakui yang ia tidak dapat menentukan dengan tepat kerana had-had yang ditetapkan terma-terma rujukan (terms of reference). Jika itulah sandarannya, apakah hak bekas-bekas hakim ini membuat spekulasi serta andaian-andaian buruk terhadap bekas Perdana Menteri kecuali jika mereka mempunyai niat jahat disebaliknya.

Perlu diingatkan bahawa peguam untuk Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberitahu Suruhanjaya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dan bersedia menjawab apa-apa soalan (melangkaui terma-terma rujukan yang dihadkan kepada Suruhanjaya) berkait dengan perlantikan hakim-hakim serta badan kehakiman.

Suruhanjaya telah memberitahu peguam bahawa hanya soalan-soalan yang terangkum didalam terma-terma rujukan Suruhanjaya sahaja yang akan dibenarkan. Tidakkan ini satu tindakan yang tidak bertujuan baik di pihak Suruhanjaya apabila dilihat keputusan yang dibuatnya seperti yang tertera diatas? Setelah menolak kesediaan Tun Dr Mahathir untuk menjawab sebarang soalan melangkaui terma-terma rujukan itu untuk menentukan yang benar dan yang sebenar-benarnya, Suruhanjaya itu kini membuat spekulasi berdasarkan kemungkinan kerana tidak boleh melangkaui terma-terma rujukan. Ini amatlah menjijikkan!

Di dalam keadaan sebegini, adakah ianya adil dan elok untuk Suruhanjaya DiRaja, setelah tidak membenarkan soalan dan jawapan yang mungkin memberikan peluang untuk memahami isu-isu yang penting ini, dan kemudiannya membuat spekulasi terhadap niat bekas Perdana Menteri didalam melaksanakan kuasanya seperti didalam Perlembagaan berhubung dengan perlantikan hakim-hakim berdasarkan cadangan dari Ketua Hakim Negara?

Adalah jelas berdasarkan nota-nota persidangan, badan kehakiman itu terbahagi kepada beberapa kumpulan dan ramai yang bercita-cita untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Selain dari tidak sekata, hubungan antara hakim-hakim kanan selalunya bermusuhan. Tidak terdapat hubungan yang baik walaupun sedikit diantara dua bekas Ketua Hakim Negara Eusoffe Chin dan Dzaiddin. Tanpa mempunyai keberanian untuk menegakkan apa yang mereka percayai dan menyatakannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dengan isu-isu tersebut, mereka berundur kedalam kamar-kamar mereka dan secara rahsia membuat telahan-telahan, spekulasi-spekulasi serta membuat tuduhan tanpa asas bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad terbabit didalam menetapkan ke-kes (fixing of cases) atapun melantik hakim-hakim dengan cara yang bercanggah dengan kuasa beliau mengikut perlembagaan.

Malahan, sikap ahli-ahli Suruhanjaya adalah membisu dan bersetuju. Ini adalah satu wayang kulit! Dan ianya amat jahat dan kotor. Adakah patut Tun Dr Mahathit Mohamad disalahkan kerana tidak dapat ditentukan dengan tepat motif serta tujuan Ketua-Ketua Hakim Negara berkenaan apabila mereka membuat cadangan jika ahli-ahli Suruhanjaya yang terdiri dari bekas-bekas Hakim Kanan tidak mahu atau tidak tahu bertanyakan soalan-soalan yang penting dan sebaliknya membuat spekulasi berdasarkan kemungkinan.

Kesimpulan

Seseorang itu tidak perlu menilai keseluruhan lapuran untuk membuat kesimpulan bahawa Suruhanjaya DiRaja telah gagal melaksanakan inkuiri dengan adil terhadap perkara-perkara yang berkait dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Cukup dengan membaca penjelasan diatas kita akan dapat melihat kegalan Suruhanjaya itu.

Saya ingin menekankan bahawa Suruhanjaya DiRaja telah menjalankan prosiding keseluruhannya secara tidak betul dan dan salah serta ahli-ahlinya berkelakuan secara salah dan membawa keburukan kepada Suruhanjaya itu sendiri dan dengan itu, keputusan serta penilaiannya tidak boleh diterima sebagai objektif serta adil. Satu penafian oleh saksi telah diterima sebagai bukti kesalahan. Tetapi apabila seorang ahli Suruhanjaya dituduh rasuah, saksi-saksi penting tidak dipanggil. Selepas penangguhan singkat, penafian cetek dari seorang ahli Suruhanjaya sudah cukup untuk menolak desakan supaya ahli itu menarik diri walaupun tuduhan itu dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara terhadap seorang ahli Suruhanjaya. Tindakan Seterusnya

Saya yakin rakyat ingin tahu perkara-perkara berikut:

1) Mengapa Dr Joseph Eravelly, seorang saksi penting tidak dipanggil untuk menyatakan samada benar atau tidak tuduhan Tun Eusoff Chin dan Datuk Lingam mengenai salahlaku seorang ahli Suruhanjaya?

2) Mengapakan bantuan peguam Robert Lazar diperlukan untuk membantu melatih saksi itu didalam kenyataannya yang ingin diberikan?

3) Walaupun dia telah menafikan yang dia tidak melobi atuk Linggam untuk dilantik sebagai hakim, adakah akan ada siasatan lanjutan terhadap pertuduhan ini?

4) Jika Datuk Linggam dituduh melobi perlantikan hakim-hakim tertentu, adakah peguam-peguam berikut akan didakwa kerana melakukan perkara yang sama walaupun membabitkan hakim-hakim yang lain:
a) Raja Aziz Addruse
b) Tommy Thomas
c) Robert Lazar
d) Ambiga Sreenevasan

Ini telah berlaku beberapa kali di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British dan juga di restoren Kuala Lumpur Bon Ton?

5) Begitu juga dengan hakim-hakim yang telah melobi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk perlantikan serta kenaikan pangkat mereka sendiri. Adakah mereka ini akan didakwa?

6) Adakah kerajaan akan menyiasat Pesuruhjaya Tinggi British kerana usahanya untuk memastikan hakim-hakim tertentu dilantik atau dinaikkan pangkat. Saya sanggup memberi kenyataan dimahkamah.

7) Adakah akan dijalankan satu siasatan terhadap ahli-ahli Majlis Peguam Malaysia yang lepas dan sekarang yang telah ataupun masih menjadi kepentingan perisikan kepada badan perisikan British dan Amerika.

Badan kehakiman adalah satu sarang ular yang terdiri dari pihak-pihak yang bermusuhan serta ahli-ahlinya terdiri dari mereka yang cuba mendapatkan kedudukan tinggi dan akan mendapatkan bantuan dari peguam-peguam untuk mencapai cita-cita mereka.

Sebenarnya, ahli-ahli badan kehakimanlah yang sepatutnya dipersalahkan diatas kerosakan dan kehancuran institusi tersebut, bukan bekas Perdana Menteri, jika kebenaran yang harus dinyatakan. Ianya amatlah memalukan. Salahlaku ahli-ahli Suruhanjaya telah menambahkan lagi keburukan kepada imej badan keahiman Malaysia yang memang sudah tercemar.

MATTHIAS CHANG
18TH MAY 2008 KUALA LUMPUR

No comments: