Thursday, May 22, 2008

Mokhzani Keluar UMNO



KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Anak kedua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mokhzani, hari ini mengumumkan keputusannya untuk keluar Umno bagi mengikut jejak langkah ayahnya yang berbuat demikian dua hari lepas.

Ketika dihubungi Bernama, Mokhzani mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat mengenai perkara itu ke pejabat Umno Bahagian Merbok menerusi faks semalam.

"Saya membuat keputusan untuk keluar Umno kerana bersetuju dengan pendapat ayah saya bahawa Umno yang ada sekarang bukan lagi Umno sebenar," katanya.

Mokhzani, 47, bekas Ketua Pemuda Bahagian Merbok, kini lebih aktif dalam sektor korporat.

Semalam adik beliau, Datuk Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun, membuat keputusan untuk terus berada dalam Umno sungguhpun beliau bersependapat dengan bapanya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan dengan segera "bagi menyelamatkan Umno".

Dua hari lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar Umno kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, dan menyatakan akan kembali menyertai Umno selepas Abdulllah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Di SUNGAI PETANI, Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Mokhzani itu tetapi menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang kesan terhadap kepimpinan Umno bahagian itu kerana beliau hanyalah seorang anggota biasa dari Umno Cawangan Sungai Layar Hujung.

"Beliau tidak lagi aktif selepas tempoh jawatannya sebagai Ketua Pemuda bahagian berakhir pada penggal lepas," katanya kepada Bernama.

Katanya Umno Bahagian Merbok telah menerima sepucuk surat mengenai hasrat Mokhzani untuk keluar parti pagi tadi dan menganggap ia adalah hak peribadi Mokhzani.

Tajul Urus berkata seorang lagi anggota Umno dari Bahagian Merbok yang juga Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah Mejar (B) Anuar Abdul Hamid, turut meninggalkan parti itu.

Katanya Anuar telah menghantar sepucuk surat untuk keluar dari Umno hari ini.

Tajul Urus berkata Anuar adalah Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian yang dilantik.

"Umno Bahagian tidak mempunyai sebarang masalah dengan tindakan kedua-dua mereka keluar dari parti kerana setakat ini tiada sesiapapun yang mengikuti langkah mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments: