Thursday, May 22, 2008

Singkirkan Abdullah untuk selamatkan Melayu - Tun Dr. Mahathir

Izwan Abdul Halim

ALOR STAR, 22 Mei, "Kalau kita hendak menyelamatkan nasib orang Melayu di masa hadapan, langkah yang perlu diambil ialah menyingkir orang ini!"

Demikian gesaan yang dibuat oleh Mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa berucap dalam majlis 'Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan raya Ke-12' anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah yang diadakan di Hotel Star City baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut juga beliau turut mengisytiharkan keluar daripada UMNO sehingga Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatannya.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya beliau menyeru ahli-ahli UMNO mengambil tindakan berani dengan keluar daripada UMNO beramai-ramai.

Tegasnya, tindakan itu perlu setelah Abdullah yang juga merupakan Presiden UMNO gagal memahami mesej yang telah disampaikan oleh rakyat pada pilihanraya yang lalu.

"Sepatutnya mesej ini jelas kepada kepimpinan yang tidak tidur. Tapi nampaknya dia masih tak faham mesej ini sebab dia tidur," jelas beliau.

Dalam ucapannya yang penuh sindiran diselang-seli jenaka yang menggamatkan dewan dengan gelak ketawa dan tepukan gemuruh itu, beliau menyelar pengakuan Abdullah yang terus mendakwa Barisan Nasional (BN) masih menang biarpun kehilangan lima negeri dan Wilayah Persekutuan termasuk gagal mempertahankan majoriti 2/3.

"Sekiranya mesej semacam itu tidak difahami pucuk pimpinan saya berpendapat kita perlu hantar mesej yang lebih keras lagi," katanya menyampaikan bayangan.

Katanya, beliau tidak menyuruh ahli-ahli UMNO derhaka, tetapi maksudnya itu ditujukan terhadap orang-orang tertentu khususnya 'orang tertentu'.

Dalam ucapannya, Tun mengimbas tindakan-tindakan pimpinan UMNO terdahulu antaranya Dato' Onn Jaafar dan Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang meletakkan jawatan setelah menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu. Beliau menyifatkan, tindakan mereka itu sebagai gentlemen.

"Apabila cadangan Dato' Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu ditolak, beliau menerima itu sebagai undi tidak percaya. Sebagai seorang yang gentlemen, dia mengundurkan diri memberi tempat kepada Tengku Abdul Rahman.

"Inilah cara pemimpin. Apabila pengikutnya sudah tidak lagi menyokongnya, dia dengan rela hati undur diri.

"Demikian juga Tengku Abdul Rahman apabila Perikatan tewas di Pulau Pinang pada pilihanraya 1969, orang Melayu menegur dan mengkritik beliau. Beliau kemudian menarik diri sebagai pemimpin tertinggi UMNO. Sekali lagi kita lihat gentlemen Melayu," tegasnya.

Beliau turut menyifatkan Tan Sri Sanusi Junid yang turut hadir pada program berkenaan sebagai seorang yang gentlemen setelah meletakkan jawatan atas rasa tanggungjawab setelah kemerosotan kerusi BN pada pilihan raya tahun 1999.

Menurut beliau lagi, sungguhpun terjadi perubahan politik pada tahun 1998 setelah pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) namun katanya, BN masih mengekalkan majoriti 2/3. Oleh itu dakwanya, beliau tidak perlu undur diri kerana orang Melayu tidaklah terlalu marah padanya kerana segala perkara yang dikatakan kepada DSAI adalah benar.

"Tetapi 2008 ini, kalah di lima negeri, kalah di Wilayah jadi enam. Di dua negeri hilang kuasa, tak boleh pun nak lantik Menteri Besar sendiri, menang apa macam tu?" tegasnya mempertikaikan.

"Kalau kita hendak menyelamatkan nasib orang Melayu di masa hadapan, langkah yang perlu diambil ialah menyingkir orang ini! Laginya dia ada di situ, tak mungkin kita pulih keadaan orang Melayu.

"Dia tunduk kepada semua orang melainkan orang Melayu sahaja. Tunduk kepada Singapura, tunduk kepada Amerika, tunduk kepada Hindraf, tunduk kepada sesiapapun. Waktu ini kalau orang lain nak minta, mintalah, dapat,"jelasnya.


Beliau turut menyifatkan Abdullah sebagai seorang yang begitu lembut kelembai.

"Sebab kita sayang kepada parti kita, kita perlu bertindak dengan cara yang keras untuk menyelamatkan parti kita. Saya harap kita semua sanggup menghadapi cabaran ini.

"Oleh kerana Presiden diangkat oleh ahli parti, maka ahli partilah yang mesti menurunkannya. Nak turunkan dia kena beranilah sikit. Kalau kita bercakap untuk kepentingan diri kita, jangan kamu berkata kamu berjuang untuk bangsa! tegasnya.


Menurutnya, ahli UMNO perlu berani menghadapi risiko termasuk ditangkap di bawah Akta Hasutan, ISA dan sebagainya.

Katanya lagi, tindakan hari ini sebagai menunaikan tanggungjawab kepada generasi akan datang sepertimana perjuangan mereka yang pada tahun 1946 menghadapi British agar generasi yang ada hari ini terselamat.

Tidak dilepaskan beliau turut menyelar 'orang-orang di Tingkat Empat', Khairy Jamaludin, Kamaruddin, Kalimullah dan Brendan Pareira.

"Kita perlu bertindak! Kita tidak boleh harap ketua-ketua kita. Mereka mempunyai kepentingan. Sampai nak hadir program macam ni pun tak boleh. Sepatutnya di hadapan ini ketua-ketua bahagian belaka.

"Kita semua ahli-ahli biasa UMNO, yang tidak ahli pun ada. Pemimpin-pemimpin cawangan pun ada, apakah mereka boleh bertindak? Kalau mereka boleh bertindak apakah mereka berani bertindak?" soalnya yang disambut hadirin dengan teriakan 'berani'.

Jelasnya lagi, demokrasi di dalam UMNO tidak lagi wujud menyebabkan ahli-ahli UMNO dan pemimpinnya tidak dibenarkan menggunakan kuasa demokrasi yang ada pada mereka. Malah katanya, demokrasi di dalam parti itu kini tidak lagi berkesan dan telah disalahgunakan.

"Untuk menjayakan asas kita, untuk mengubah kepimpinan, saya harap kita beranilah sikit. Berani berkeras diri sendiri, kerana saya nak suruh benda yang semua tak berani nak buat.

"Saya nak cadang supaya mereka yang tidak puas hati dengan kepimpinan Dato Abdullah Badawi, sama ada mereka ahli biasa, pemimpin cawangan atau pemimpin di peringkat bahagian saya cadang mereka letak jawatan dan keluar daripada parti," tegas beliau yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.


Menurutnya, beliau percaya tindakan itu akan diikuti oleh ahli-ahli UMNO yang lain. Kerana menurutnya, mana-mana sahaja beliau pergi mereka meluahkan rasa benci kepada kepimpinan yang ada sekarang.

"Kerana dia tidak mahu dengar mesej yang diberi kepadanya, inilah cara untuk menjatuhkan dia. Dan kalau ada wakil rakyat kita yang tidak sertai kita, kita ketepikan dia sama sekali.

"Selagi dia tidak nyatakan tidak kepada Abdullah, dia tidak kita anggap sebagai wakil kita walaupun dia menjadi wakil BN," jelasnya penuh yakin.


"Dengan kita mengisytiharkan kita keluar daripada UMNO sehingga Abdullah meletakkan jawatan, kita akan kembali menyokong UMNO dan menyertai pilihan raya setelah dia meletakkan jawatan, saya yakin ia akan berkesan, tambah beliau lagi.

Bagaimanapun, menurut beliau tindakan keluar parti itu bukan dengan meneruskan tindakan menyertai pakatan pembangkang.
- mks.

No comments: