Sunday, October 12, 2008

Dr M ramal Muhyiddin bakal TPM

Oct 12, 08 8:35pm

Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan "tokoh terbaik" untuk menjadi timbalan perdana menteri Malaysia.

"Terdapat banyak petanding bagi jawatan timbalan presiden Umno, tetapi saya fikir Muhyiddin adalah tokoh terbaik untuk menjadi timbalan kepada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," kata bekas perdana menteri Malaysia.

Dr Mahathir berkata Menteri Perdagangan dan Antarabangsa itu kebelakangan ini "amat lantang" berhubung isu kepimpinan.

Sambil menyatakan sokongan kepada Najib bagi jawatan perdana menteri, Dr Mahathir berkata Muhyiddin mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas di peringkat akar umbi.

"Dengan kerja keras dan saling bekerjasama, Najib dan Muhyiddin akan mampu menerajui kerajaan dengan baik.

"Dengan kemelut kewangan global, Malaysia memerlukan kepimpinan yang utuh dan bijak membuat keputusan," kata Dr Mahathir yang berada di Melbourne ketika berucap di simposium pelbagai kebudayaan antarabangsa. Beliau akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada Isnin.

Nasihat pada Najib

Sementara itu, bercakap kepada Bernama, Dr Mahathir berkata Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memastikan dirinya tidak dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga apabila beliau menjadi perdana menteri.
"Beliau juga patut mendapatkan nasihat daripada beberapa bekas anggota Parlimen dan pakar mengenai urusan mentadbir negara," kata bekas perdana menteri itu.

"Banyak kerja perlu dilakukan untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan," kata Dr Mahathir.

"Tetapi Najib tidak patut cuba melakukan semuanya sendirian. Beliau perlu mendapatkan nasihat yang betul daripada mereka yang benar-benar layak.

"Beliau tidak sepatutnya dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga kerana ini tidak baik untuk negara."

Dr Mahathir, bagaimanapun, tidak mengenal pasti mereka yang berkenaan.

Beliau berkata Najib, timbalannya, Umno dan rakan parti komponen perlu bekerja keras sebagai satu pasukan untuk memenangi sokongan rakyat terhadap kerajaan yang mengalami tamparan pada pilihan raya umum lepas.

"Undi yang kita hilang merupakan undi protes. Rakyat Malaysia tidak gembira dan ini diterjemahkan melalui peti undi," katanya.

Dr Mahathir berkata sebilangan rakyat berpendapat kerajaan telah menjadi angkuh dan tidak memenuhi keperluan mereka.

"Sesetengah anggota Parlimen berpendapat, sebaik sahaja dipilih dan diberikan jawatan menteri, mereka tidak perlu lagi balik ke kawasan mereka dan bercakap dengan rakyat dan mengetahui apa yang perlu dilakukan dan menjelaskan dasar-dasar kerajaan," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau berharap keadaan itu akan berubah di bawah kepimpinan Najib.

2 comments:

Kembara Politik said...

Bukan ramal...tapi signal sokongan padu Tun kpd Najib & Muhyidin. IMO la.

teja said...

Ya, saya SETUJU! hehehe

Hidup Tun! Hidup Muhyiddin!