Tuesday, June 17, 2008

Presiden dan MT UMNO Boleh Dilucutkan Jawatan Pada Bila-bila Masa

16 June 2008

Dr Novandri Hasan Basri




Apabila kita mengikuti perkembangan yang berlaku di pucuk kepimpinan UMNO negeri dan pusat, ramai di antara kita yang berasa kecewa. RM 1.00 setiap tahun yang dijadikan yuran keahlian UMNO terasa tidak berbaloi walau pun ia hanyalah RM1.00.

Ramai yang kecewa kerana terdapat pandangan dan keputusan kepimpinan UMNO yang tidak mencerminkan aspirasi ahli-ahlinya. Bagi mereka, pemimpin-pemimpin sudah terlalu jauh dengan ahli-ahli akar umbi.

Pemimpin-pemimpin hanya bersahutan sesama sendiri dan kadang kala, penjelasan mereka telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dan menjadi bahan bualan sesama rakyat.

Yang menimbulkan masaalah ialah perbualan tersebut lebih banyak menghentam dan mengutuk parti UMNO. Dan biasanya, ‘panas’ juga telinga ini apabila UMNO diperkatakan sedemikian rupa.

Para pembaca yang juga ahli UMNO tentu pernah mengalami saat demikian.

Ironinya, kita inilah orangnya yang terkial-kial membidas dan cuba mempertahankan nama baik parti UMNO.

Dan kita inilah orangnya yang akan berdepan dengan mereka setiap hari kerana mereka adalah jiran atau pun kawan-kawan sekampung kita.

Dan kita ikhlas tanpa menginginkan sebarang imbuhan atau ganjaran, cuma kerana rasa cinta kita kepada parti UMNO. Itu sahaja.

Kadang kala, kita tidak mempunyai sebarang jawapan kepada kutukan-kutukan tersebut dan kadang kala juga, kita merasakan bahawa kutukan itu berasas dan memang terjadi di dalam UMNO.

Apa yang patut kita lakukan seterusnya?

Kita akan tetap mempertahankan nama baik UMNO.

Ini adalah kerana kutukan-kutukan tersebut bukannya kepada ideologi dan perjuangan UMNO itu tetapi ditujukan semata-mata kepada sikap, tindakan dan tindakbalas pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri.

Dan pemimpin-pemimpin UMNO hanyalah manusia biasa yang tidak sempurna dan tentunya pernah membuat kesilapan dan kesalahan.

Dan perlu diingat, pemimpin-pemimpin UMNO juga hanyalah manusia biasa yang tidak mempunyai sebarang kekebalan dan boleh dilucutkan jawatan mereka oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri tanpa perlu menunggu selesainya 3- 4 tahun kitaran tempoh jawatan tersebut.

Ya, betul...... bila-bila masa!

Berapakah ramaikah di antara kita yang tahu bahawa sebenarnya, setiap ahli UMNO sangat berkuasa dan boleh merubah struktur kepimpinan tertinggi UMNO TANPA perlu menunggu Perhimpunan Agung Tahunan UMNO?

Jika kita teliti intipati perlembagaan UMNO ,

Perlembagaan UMNO, Fasal 9 (perenggan 12)

9.12 Jawatan Ahli-ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dilucutkan atau Majlis Tertinggi dibubarkan oleh Perhimpunan Agung Khas dengan undian tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir.

Ini bermakna, jika bilangannya mencukupi, ahli-ahli UMNO melalui cawangan UMNO dan bahagian UMNO masing-masing, boleh meminta di adakan Perhimpunan Khas pada bila-bila masa sahaja dan berhak melucutkan sesiapa sahaja di dalam MT UMNO.

Terus terang dikatakan, penulis tidak tahu sebelum ini dan tentunya ramai pembaca sekalian pun tidak tahu atau tidak di beritahu sebelum ini.

Mungkin kerana selama ini, kita mengganggap bahawa Perlembagaan UMNO terlalu teknikal dan untuk bacaan mereka yang bekerja sebagai hakim sahaja.

Yang kita tahu ialah mengenai desas-desus Perhimpunan Khas (EGM) yang tujuannya ialah untuk membincangkan pemansuhan kuota untuk pencalonan kepimpinan tertinggi UMNO. Itu sahaja.

Dan tidak ada sesiapa pun yang sebenarnya telah membincangkan kewujudan klaus di dalam Perlembagaan UMNO yang membolehkan Presiden, Timbalan Presiden dan seluruh MT UMNO dilucutkan oleh ahli-ahli akar umbi!

Seperkara lagi, berapa negerikah di Malaysia ini yang telah menjalankan konvensyen UMNO masing-masing?

Jawapannya mudah iaitu TIDAK ADA atau JARANG SEKALI.

Menurut Perlembagaan UMNO, Fasa 12 (perenggan 10)

12.10 Badan Perhubungan hendaklah mengadakan konvensyen di peringkat Negeri dan Wilayah Persekutuan sekurang-kurangnya sekali setahun mengandungi wakil-wakil daripada Bahagian-bahagian. Majlis Tertinggi UMNO berkuasa menentukan syarat-syarat dan lain-lain perkara berhubung dengan Konvensyen itu.

Sejak PRU-12, Pulau Pinang tidak pernah lagi mengadakan konvensyen sedemikian rupa. Penulis tidak berapa pasti sama ada negeri-negeri lain telah menjalankan konvensyen UMNO masing-masing, selepas PRU-12 atau pun pada tiap-tiap tahun seperti yang dicatitkan di dalam Perlembagaan UMNO.

Kenapa tidak dijalankan tiap-tiap tahun seperti yang dikehendaki di perlembagaan UMNO?

Mungkin MT UMNO tidak membenarkan konvensyen tersebut kerana MT UMNO berkuasa menentukan syarat-syarat dan lain-lain perkara berhubung konvensyen itu, tetapi jika ianya benar, ia menunjukkan sikap kepimpinan tertinggi UMNO yang tidak peduli pandangan ahli-ahli dari akar-umbi.

Jika MT UMNO tidak melarang, kenapa pula perhubungan negeri UMNO tidak menjalankan konvensyen tersebut?

Kesimpulannya, jika setiap ahli UMNO bertindak secara sistematik, terancang serta menggunapakai Perlembagaan UMNO, segala kekusutan di dalam UMNO boleh diselesaikan oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Dan bukannya terpaksa berdebar-debar menunggu keputusan daripada dua orang dan juga tarikh yang tidak pernah kunjung tiba!

No comments: