Saturday, June 14, 2008

Pak Lah tunggu alih-kuasa kpd Anwar?

Nihaz Mohd Yusoff: ABDULLAH-ANWAR SALING MEMBANTU?
Saturday, June 14 @ www.mykmu.net



Mesyuarat MT UMNO di Shah Alam pada 5-6 Jun lepas membawa keputusan yang sudah pun dijangka oleh rakyat jelata iaitu hanya tiupan harapan kosong dan tergantung. MT tidak mampu menerangkan kegelapan di sepanjang terowong jauh sekali di hujungnya.

Sekadar untuk menyedapkan hati, rakyat dikhabarkan bahawa ada juga keputusan positif yang dicapai dari mesyuarat MT tersebut. Namun, untuk pengetahuan para MT, walaupun sesuatu keputusan itu positif, tetapi tindakan atau perlaksanaannya mengambil masa yang panjang atau tiada tarikh tetap, adalah sebenarnya negatif. Samalah seperti keadilan yang tertangguh ialah sebenarnya ketidak-adilan. (Justice delayed is justice denied).

Lihat sahaja keadaan dalam negara sekarang, saban hari, ada sahaja golongan minority mempertikai itu dan ini dan mencabar itu dan ini. Saban hari juga rejim Abdullah Badawi membuat keputusan tunggang terbalik terhadap isu-isu berbangkit yang membabitkan maruah negara, kebajikan rakyat dan keharmonian kaum di Malaysia. Lalu, kisah lama yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat diungkit oleh rejim Abdullah melalui pihak yang mewakili golongan minority bagi mengalih perhatian rakyat terhadap segala kerosakan yang dilakukan oleh Abdullah. Untuk ini, mantan PM menjadi sasaran, dengan harapan semakin rakyat bencikan mantan PM, semakin rakyat sukakan PM?? Tindakan rejim Abdullah ini hanya menyebabkan rakyat semakin muak dengannya dan negara semakin bergolak.

Segala tunggang terbalik serta ungkit-mengungkit ini nampaknya akan semakin rancak dan terus berlanjutan selagi negara berPerdana Menterikan Abdullah Badawi.

Maruah negara jika digadaikan satu persatu akan menyebabkan negara dijajah semula. Kebajikan rakyat jika diabaikan terlalu lama akan menyebabkan gerak gempa diikuti dengan tsunami maut. Keharmonian kaum jika diperkotak-katikkan dan tidak ditangani dengan baik, akan menghidupkan bom jangka yang mampu memusnahkan segala-galanya.

Semua ini bukannya akan berlaku tetapi sedang berlaku dan tahap kerosakan yang berlaku setiap hari terus meningkat selagi Abdullah Badawi masih menjadi Perdana Menteri walau seminit juga lagi. Apatah lagi sehingga 2010.

Jika MT benar-benar menyangka apa jua keputusan mereka pada mesyuarat lepas sebagai positif, mereka seharusnya berfikir semula.

Melihat dari keengganan Abdullah Badawi untuk berundur, kita tidak boleh lagi menyalahkan rakyat jika mempunyai tanggapan yang amat buruk terhadapnya.

Dari kacamata rakyat, jelas kelihatan bahawa Abdullah Badawi adalah alat musuh-musuh Islam dan musuh negara untuk menaikkan wakil mereka yang ulung di Asia Tenggara iaitu Anwar Ibrahim.

Untuk itu, Abdullah terpaksa menghulur lehernya (dan MT) untuk disembelih, menahan umpat keji rakyat, hatta ‘membunuh’ dirinya (dan UMNO) untuk memastikan Anwar lah yang akan menjadi Perdana Menteri selepasnya walau dengan apa cara sekalipun samada dari dalam atau luar UMNO. Hanya dengan cara itu, Abdullah akan selamat setelah turun dari takhta dan segala skandal nuklear SCOMI serta Oil-for-Food akan dilupakan oleh kuasa besar barat.

Hanya dengan cara itu juga, segala skandal dalaman yang membabitkan Abdullah sekeluarga seperti ECM Libra, MV Agusta, Pantai Holdings dan lain-lain tidak akan diungkit oleh penggantinya iaitu Anwar Ibrahim.

Mengaku atau tidak, benar atau tidak, inilah scenario yang dilihat oleh sekalian rakyat.

Sekiranya scenario di atas benar dan jika MT menyangka Abdullah Badawi akan melakukan peralihan kuasa lambat laun, MT tidak salah. Tetapi peralihan kuasa itu bukan kepada Najib, atau Muhyiddin, atau Rais atau sesiapa sahaja yang masih bertegas mempertahankan agenda bangsa dan maruah negara. Abdullah Badawi hanya akan berhenti dan menyerahkan kuasa setelah memastikan penggantinya ialah Anwar Ibrahim.

Sesungguhnya, tiada cahaya di hujung terowong. Zaman gelap Malaysia akan semakin gulita.

Masa hampir tiba bagi rakyat untuk memikirkan dengan serius tentang berjuang dengan cara sendiri tanpa mengharap apa-apa lagi dari MT mahupun pihak yang lebih tinggi.

Mungkinkah, masa depan bangsa dan negara berada di tangan kita, bukan Menteri atau Raja-raja lagi. Apapun, apabila negara sudah ‘tiada’, apakah masih ada Menteri? Atau apabila bangsa sudah tiada, apakah masih ada Raja?

No comments: