Monday, March 23, 2009

10 resolusi ikrar pertahan hak pribumi, Islam

KUALA LUMPUR: Persidangan Kemuncak Pribumi Negara yang disertai 66 badan bukan kerajaan (NGO) semalam berikrar mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan dan kesinambungan Melayu dan pribumi sebagai kaum majoriti asal yang sah menurut sejarah dan Perlembagaan.

Sambil menegaskan bahawa perpaduan kaum Melayu dan pribumi menjadi teras kestabilan rakyat, persidangan sehari anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu meluluskan 10 pendirian iaitu:

* Mengulangi dan memperkukuhkan pendirian bagi mempertahankan Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu ke-215 pada 16 Oktober 2008 berhubung hak keistimewaan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

* Menyeru pemimpin kaum pribumi memperkukuhkan perpaduan dan ukhuwah Melayu dan pribumi sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia serta berperanan mengekalkan kestabilan sebagai tanggungjawab bersama.

* Menggesa semua pihak termasuk parti siasah dan badan bukan kerajaan mengakui dan menerima peruntukkan berkaitan hak keistimewaan Melayu dan pribumi serta kepentingan sah kaum lain dan menentang pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dan pribumi dalam perundangan dan pelaksanaan.

* Mengesyorkan pihak berkuasa mengambil langkah memperkasakan peruntukkan mengenai hal Islam dalam Perlembagaan dan menolak provokasi bagi maksud penyamarataan, pencerobohan tauhid dan gagasan pluralisme agama yang bercanggah Perlembagaan.

* Mencadangkan kedudukan Tanah Simpanan Melayu (TSM) dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 fasal 5 dan perkara 10 fasal 4, bagi memastikan tidak berlaku penghakisan dan penghapusan TSM secara berterusan tanpa sebarang gantian yang wajar.

* Menggesa semua pihak menghormati semangat Perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan secara langsung atau tidak langsung menjejaskan dan menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan media pengajaran dalam sistem pendidikan kebangsaan.

* Menggesa kerajaan Pusat dan negeri menggubal langkah strategi dan inovasi serta pengawalan dan pencegahan dalam memastikan pribumi bukan saja mampu menghadapi keadaan krisis ekonomi semasa, bahkan pencapaiannya terus dipertingkatkan bagi memastikan pribumi mampu bersaing dalam perubahan landskap ekonomi dunia yang semakin liberal dan global.

* Menggesa pihak bertanggungjawab merangka pelan dan jangka masa tindakan dan pengukuran kejayaan terhadap usaha memperkasakan hak istimewa bangsa Melayu dan pribumi serta Raja Melayu selaku penaung dan penasihat dan melaksanakan semua pelan tindakan ini sehingga berjaya.

* Menyeru digabungkan seluruh kekuatan antara pertubuhan Melayu, pribumi dan Islam dalam suatu saf gerak kerja lebih tersusun dan berkesan untuk memperjuangkan suatu pembentukan pemikiran strategik dalam mengekalkan ketahanan dan kelangsungan kedaulatan Melayu, pribumi dan Islam dalam Perlembagaan dan pelaksanaan, dan

* Menggesa kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu sensitif yang sudah disepakati bagi tujuan kepentingan politik dan kumpulan.

No comments: