Sunday, August 24, 2008

Anwar dan Judi




Nallakaruppan Terima SMS Ugutan Supaya Tinggalkan Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos (Bernama) -- Bekas rakan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan yang membantu Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh berkata beliau telah menerima lebih daripada 10 khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan supaya meninggalkan Permatang Pauh.

Beliau berkata, ugutan-ugutan itu diterimanya sejak beliau menjejakkan kaki ke kawasan itu dan yang terbaru bilik gerakannya di Seberang Jaya didatangi beberapa lelaki India yang membawa bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengancam dua petugasnya.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis ceramah politik anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) di Permatang Pasir malam Jumaat, katanya, mereka telah memintanya untuk menutup bilik operasi di situ dan tidak mencampuri urusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Ceramahnya menarik ribuan penduduk dan merupakan salah satu ceramah BN yang paling ramai dihadiri.

"Saya terima SMS hampir setiap hari dan hari ini pun ada. Saya telah membuat beberapa laporan polis sebelum ini mengenai ugutan-ugutan berkenaan dan akan membuat laporan polis esok berhubung kes terbaru itu," katanya.

Nallakaruppan yang juga presiden Malaysian Indian United Party (MIUP) berkata, SMS itu mengancam nyawanya tetapi beliau enggan mengulas mengenai perkara itu secara terperinci sebelum membuat laporan polis.

Terdahulu dalam ucapannya, Nallakaruppan mendakwa Anwar telah menerima wang sebanyak RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian iaitu Magnum Corporation Bhd.

"Anwar mengambil wang sebanyak itu dari tangan saya sendiri. Saya tidak tahu apa dia buat dengan wang itu, tetapi dia memutar kata-kata menuduh saya yang ambil wang itu," katanya.

Nallakaruppan, yang pernah menjadi pengarah perhubungan awam Magnum berkata Anwar juga semasa menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri meluluskan banyak lesen perjudian untuk kedai empat nombor ekor.

Beliau berkata pendedahan ini dibuat kerana rasa cintakan negara ini dan tidak mahu pemimpin yang tidak boleh dipercayai menerajui negara ini.

"Saya sudah buat salah dulu (kepada rakyat), saya mahu minta maaf kerana mengikut Anwar dahulu," katanya.

Nallakaruppan berkata beliau tidak sedikit pun terkejut apabila timbul pelbagai tuduhan terhadap Anwar kerana beliau mengetahui siapa sebenarnya Anwar yang digauli 30 tahun.

"Selepas main tenis saya tahu mana dia pergi, sebab itu saya tidak terkejut," kata beliau.

Beliau juga mendakwa menyimpan lima pita rakaman di luar negeri dan sekiranya terjadi apa-apa kepadanya pita itu akan didatangkan ke sini

Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di Permatang Pauh supaya tidak membuat pilihan yang salah pada 26 Ogos ini dengan memperjudikan nasib bangsa dan negara.

-- BERNAMA

No comments: