Showing posts with label Ketuanan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Ketuanan Melayu. Show all posts

Tuesday, November 18, 2008

Ucapan Rais di Program Wacana Pribumi Perkasa dan Kesatuan Peguam Muslim

Source: Berita Harian
photos from http://minaq-jinggo.fotopages.com/

16hb November, 2008



Kebelakangan ni terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu. Seolah-olah Melayu sudah hilang maruah dan hilang punca. Umno diberi kata dua, apabila seorang pemimpinnya mengatakan bahawa dalam lipatan sejarah ada penumpang di negeri Melayu; bangsa diberi malu di tanah air sendiri. Kerja perli dan mengaibkan ini dilakukan oleh pelbagai pihak terhadap kedudukan utuh bangsa Melayu khususnya dan kaum pribumi di Malaysia amnya.

Pada masa tertentu, didapati seolah-olah fakta dan sejarah menjadi alat mainan politik masing-masing, lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina. Seorang Timbalan Menteri daripada parti Gerakan lantas mendakwa pada 10 Oktober lalu pada majlis rasmi partinya bahawa orang Melayu kononnya sama saja dengan kaum lain sebagai pendatang ke negara ini.

Pemimpin celupar itu yang secara kebetulan memenangi kerusi Dewan Rakyatnya di Perak Mac lalu atas sokongan pengundi Melayu akhirnya merumuskan jika tak faham sejarah, jangan memandai-mandai. Sementara itu ada pula pihak lain yang meluahkan pendapat kononnya Melayu tak ada mempunyai taraf ketuanan.

Terbaru ialah pandangan bahawa lantaran Barack Obama baru saja menang pilihan raya di Amerika Syarikat, justeru di Malaysia juga perlu ada situasi di mana sesiapa saja harus boleh jadi Perdana Menteri; mereka yang lebih jauh igauannya melontarkan pendapat bahawa di Malaysia kononnya diskriminasi begitu hebat hingga segala prasarana politik dan sosial yang selama ini menjadi sifat semula jadi kenegaraan dan negara bangsa perlu dipinda atau diubah supaya wujud suasana sama rata dan sama rasa.

Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan yang mempersenda bangsa mereka. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tak kisah dan lantas membiarkan saja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing.

Masih ingatkah kita peristiwa di mana Melayu diberi amaran supaya jangan lagi membabitkan keris dalam soal-soal perjuangan? Masih ingatkah kita siapa yang mengatakan Melayu itupun pendatang dan semua juga pendatang ke negara ini?

Masih ingatkah kita apabila Ahmad Ismail mengingatkan fakta sejarah mengenai situasi ‘menumpang’ dan ‘pendatang’? Sekarang Ahmad Ismail digari oleh partinya sendiri. Tetapi mereka yang menghina masyarakat Melayu dan pribumi masih berdiri di busut tinggi sambil ketawa menghilai dan bertepuk tangan.

Ketua Pemuda kita pernah diberi amaran jangan cium keris lagi. Kini pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi condong disebabkan dasar sosialis kerajaan baru Pulau Pinang. Kemudian berlaku pula amalan tangkap lepas, tangkap lepas di sisi undang-undang keselamatan negara yang selama ini menjamin ketenteraman awam. Seolah-olah kuasa politik dan undang-undang yang ada sudah luntur. Memang boleh dibandingkan dengan pepatah ‘apabila pohon tumbang kura-kura pun naik.’

Dalam persekitaran inilah kita berpolemik hari ini. Mari kita susur sejarah. Kemudian kita kaji undang-undang negara kita. Akhirnya kita rumuskan apa harus dibuat bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi agar masa depan anak cucu kita tidak kacau. Agar kita dan mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak mengenai haluan dan kedudukan bangsa. Agar kita jangan seperti pantun bidalan:

Udangnya banyak di hilir
Ikan diatur dengan galah
Undang-undang memang mahir
Tapi bicara kita kalah




Dengan latar belakang dan suasana begini, kita harus meneliti semula kedudukan orang Melayu dan pribumi daripada dua aspek. Pertama dari sudut sejarah dan kedua dari sudut perundangan. Kedua-dua aspek ini sebenarnya berkait rapat. Sementara undang-undang adalah peraturan dan syarat yang dicipta manusia melalui penguatkuasaan legislatif atau lunas di Raja (Royal prerogative) fakta sejarah adalah laluan hidup dan tamadun sesuatu bangsa.

Tentunya sejarah bersandar kepada fakta tarikh dan zaman. Walaupun sebab musabab atau huraian sejarah mungkin boleh dihujah dan dipertikaikan menerusi sentimen politik, agama dan budaya masing-masing, ia tetap menimbulkan kenyataan yang mengikut sarjana dinamakan fakta sejarah.

(a) Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya (Land of the Malays). Ini adalah seperti mana India adalah negeri orang keturunan bangsa India yang stok asalnya berunsur ‘Dravidian’; seperti orang Arab di Asia Barat khususnya di Arab Saudi; seperti negeri China dinamakan China lantaran bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun itu mendiami dan mewarisi negara itu turun-temurun atau seperti England didiami Anglo-Saxon. Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Seperti Christopher Columbus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang yang menetap lama di Palembang sekitar 671 Masihi, menggunakan istilah ‘moloyu’ untuk merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu, pengembara-peniaga Arab pada abad ke-7 juga menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dan lain-lain dalam catatan mereka.

Temasek, Jawa, Inderagiri dan kepulauan lain di kawasan lautan Tenggara lazim kemudiannya dinamakan Nusantara oleh sarjana tempatan. Saudagar Arab yang menjelajah Perlak di Acheh pada 1242, Melaka 1420, Sulawesi 1470, dan lain-lain kawasan kepulauan rantau ini juga mengislamkan Raja-Raja Melayu yang pada masa itu rata-rata beragama Hindu dan menamakan mereka sebagai Sultan walaupun nama dan terma Sanskrit serta beberapa amalan budaya Hinduisme masih berpengaruh, terutama berkaitan kepercayaan animisme dan semangat.

Walaupun pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka Melaka pada 1403, pedagang Cina hanya mula pesat di Melaka selepas pelayaran Cheng Ho. Masyarakat Nyonya-Baba dipercayai mula bertempat selepas tahun 1413. Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan atau fakta sejarah ialah bahawa Melayu adalah penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah.

Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup sebagai bukti, Sejarah Melayu penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu.

Kisah antiquiti berkaitan personaliti pra-sejarah seperti Raja Suran, Wan Empok Wan Malini di Bukit Siguntang, Demang Lebar Daun, Sang Sapurba, Sang Nila Utama, Cati Si-Bilang Pandai, Raja Seri Maharaja, Datuk Perpateh Nan Sebatang dan Datuk Temenggung – semua ini adalah ikon keturunan kita yang menerokai dunia sebelah sini sekurang-kurangnya sejak 2,500 tahun lalu.



Pada zaman Inggeris bertapak di Semenanjung yang secara kasarnya antara 1874 hingga 1957, tenaga buruh India dan Cina dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka. Buruh India untuk kerja raya, peladangan getah dan perkeranian; kaum Cina untuk sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah, Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur.

(b) Pencorakan kuasa politik yang diterjemahkan melalui kuasa pemerintahan

Tanpa menghitung panjang lebar mengenai kuasa pentadbiran Inggeris, satu-satunya institusi tradisional yang mereka tidak berjaya menghapuskan ialah hak keistimewaan dan kedaulatan Raja Melayu. Apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu ialah kedaulatan dan keistimewaan Raja Melayu.

Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan psyche kemelayuan. Secara tradisi pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lain pentadbir Inggeris sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu. Mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata ‘the Malays have their own outright position as native inheritors of their land’.

Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, ketika Bintang Tiga dan gerombolan penjahat komunis bergelut untuk merampas Malaya dari tangan British, pegawai-pegawai tinggi mereka terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal. Perkara pokok seperti hak keistimewaan Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran Raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu antara lain diberi peruntukan di dalamnya.



Perjanjian ini sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum lain tidak disia-siakan. Perjanjian inilah yang menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dalam laporan Suruhanjaya Reid terkandung ayat ini: ‘The Alliance in their memorandum said - The Constitution should therefore provide that the Yang di-Pertuan Besar (Agong) should have the special responsibility of safeguarding the special position of the Malays.’

Ungkapan rasmi itu membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan seperti yang diperturunkan di atas adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum di Malaya ketika itu. Hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Walaupun Perlembagaan Persekutuan dipinda 45 kali, peruntukan ini kekal sehingga kini di bawah Perkara yang sama. Bahasa perundangan yang digunakan di bawah Perlembagaan 153 adalah bersifat wajib kerana klausa (1) memperuntukkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”



Peruntukan ini sebenarnya lebih tegas lagi bahasanya di dalam versi bahasa Inggeris kerana ayat awalannya berbunyi “It shall be the responsibility of the Yang di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities...” Dengan lain takrif, Yang di-Pertuan Agong tidak dapat tidak, wajib memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain di negara ini.

Dari sini kita harus melihat kandungan peruntukan 153 selebihnya. Klausa (2) mentakrifkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dalam tugas baginda memelihara kedudukan istimewa orang Melayu adalah tertakluk kepada Perkara 40 Perlembagaan yang mewajibkan nasihat Kabinet atau salah seorang daripada Menteri yang bertindak menasihati baginda.

Dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong berkuasa merizabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam. Klausa 153(2) juga menyebut mengenai permit atau lessen, biasiswa atau bantuan. Perkara 153 amat luas kerana ada perkataan ‘atau lain-lain kemudahan khas’. Klausa (3) pula memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan arahan berkaitan pemberian keistimewaan-keistimewaan itu. Penting disebutkan di sini bahawa sekali bantuan atau keistimewaan itu diberikan, ia tidak boleh dilucutkan sewenang-wenangnya.


Tan Sri Abu Zahar Ujang - Presiden Persatuan Peguam Muslim

Peruntukan tradisi yang asasi di bawah Perundangan Negeri Persekutuan

Setiap perlembagaan sesebuah negara sedia mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan ‘entrenched’ atau yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa, yakni dengan hanya kelulusan 2/3 daripada anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat. Peruntukan itu seperti yang disenaraikan di bawah hanya boleh dipinda dengan persetujuan Majlis Raja-Raja:

Perkara 10(4) perihal kuasa Parlimen membuat undang-undang pencegahan berkaitan keselamatan negara, keistimewaan dan kewarganegaraan, Bahagian 3 (Kewarganegaraan).
l Perkara 38 (Majlis Raja-Raja)
l Perkara 63(4) (Keistimewaan-keistimewaan Parlimen)
l Perkara 70 (Keutamaan Yang Di-Pertua Negeri dan Raja)
l Perkara 71(1) (Jaminan Kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan negeri)
l Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan)
l 153 (Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera)
l 181 (Kedaulatan & keistimewaan Raja-Raja Melayu)

Rumusan pertama yang boleh dibuat ialah kuasa pengimbang tetap ada pada Raja Melayu sama ada yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, Sultan masing-masing atau pada Majlis Raja-Raja yang berfungsi di bawah Perkara 38. Di semua negeri di Semenanjung misalnya, hanya orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar tetapi hal yang sama tidak wujud di Persekutuan, di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.


Profesor Dr Shaik Mohamad Nor Alam - Universiti Putra Malaysia

Perkara 43 (2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat. Dalam keadaan ini tentunya suatu hari nanti seorang warganegara Malaysia bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

Walaupun ini adalah sesuatu yang kurang menggembirakan golongan nasionalis Melayu, realitinya adalah sedemikian. Inilah yang menyebabkan seseorang ketua pembangkang di Dewan Rakyat akan sentiasa cuba mendapatkan sokongan majoriti daripada keanggotaan Dewan itu. Dalam konteks yang sama Yang di-Pertuan Agong mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh dipersoalkan:

(a) Pertama melantik seseorang Perdana Menteri, (b) kedua, tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak) dan (c) meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja dan mengambil tindakan darihalnya.


Abdul Halim Abdullah - peguam

Kuasa ini juga wujud di bawah perlembagaan semua negeri beraja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada April 2008 jelas menukilkan fakta ini. Walau apapun yang dipertikaikan, faktanya ialah Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak walaupun ada pihak yang menyatakan bahawa Raja mesti ikut nasihat dalam menentukan sesuatu di bawah Perkara 40 Perlembagaan.

Pada suatu hakikat ini, memang benar tetapi harus difahami bahawa bahasa perundangan yang sedia ada di bawah Perkara 43(2) cukup jelas untuk membenarkan Raja bertindak melantik Perdana Menteri mengikut pandangan subjektifnya.

Ini bermakna keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera bukanlah tanpa sempadan dari segi realitinya. Justeru, keistimewaan itu harus dilampini dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Ekonomi Bumiputera seharusnya kini melebihi paras 30 peratus dari segi perolehan aset. Malangnya, Bumiputera masih dikatakan berada pada tahap kurang 20 peratus.

Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap? Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib yang lain. Sebagai warga Malaysia yang majoriti tiada salahnya jika cita-cita politik Umno misalnya ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi.

Dari sudut ini jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini sudah kurang berjaya memperjuangkan kaedah atau mekanisme penyampaian dasar DEB itu walaupun dari segi pembangunan banyak kemajuan tercapai.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini memerlukan kaedah penggunaan yang baru. Ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan hanya setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Keadaan ‘sekerat belut sekerat ular’ dalam pembahasan harus ditinggalkan. Usaha dan tugas memantau melalui kuatkuasa undang-undang Dewan Bahasa dan Pustaka berkaitan penggunaan bahasa Kebangsaan harus diketengahkan segera.


Zainur Zakaria - peguam

Lantaran Kabinet sudah meluluskan pindaan undang-undang yang diperlukan setahun lalu usaha memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan mesti diutamakan. Bangsa yang kurang menekankan bahasa nasionalnya akan ketinggalan dalam hal pemupukan budaya nasionalnya juga.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu memang akan tetap kukuh dan berkuatkuasa selagi pemerintahan berparlimen dan Raja berperlembagaan kekal di Malaysia. Sistem yang ada juga bermakna bahawa kepentingan warga bukan Melayu tidak diabaikan kerana kuasa Parlimen membuat undang-undang negara yang berasaskan keadilan dan kesaksamaan tetap wujud dan terpelihara.

Demikian pun, rakyat Malaysia harus diberi lunas menghormati dan menghayati kedaulatan Raja. Cara terbaik ialah dengan melunaskan Rukunegara sepenuhnya melalui latihan dan pembelajaran. Yang perlu diingati ialah, setakat mempunyai hak keistimewaan seperti yang terkandung pada Perkara 153, atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu (Perkara 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara (Perkara 3) – ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri.

Ketuanan sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat tidak boleh dipergantungkan sangat, lantaran sifat itu lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan perlembagaan negara.

Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit, dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab, disiplin politik dan sebagainya. Kalau kita beli undi untuk jadi ketua bahagian atau hendak jadi pemimpin dalam Umno, bagaimana kita boleh kata kita Tuan?

Sebagai warga asal, orang Melayu dan pribumi memang boleh berbangga dan mendabik dada jika sifat tinggi peradaban itu terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin. Apabila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu dan kaum pribumi akan dilonjakkan oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.

Hanya Raja kita yang boleh dianggap Tuan kepada semua warganegara Malaysia. Selainnya kita adalah sama di sisi undang-undang. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Berhadapan dengan peruntukan ini tidaklah wajar mana-mana orang mendakwa atau menuntut bahawa bangsanya adalah tuan kepada yang lain. Kesultanan atau Raja Melayu yang menjadi tunggak dan simbol kuasa dan kerajaan yang berdaulat memang memungkinkan orang berani melaungkan ‘Ketuanan Melayu’.

Sebagai perbandingan, Red Indian di Amerika dan orang Maori di New Zealand, misalnya masih belum berani menonjolkan diri mereka sebagai pihak yang dipertuankan oleh warga majmuk di negara mereka. Ini disebabkan bilangan mereka yang kecil dan keupayaan politik mereka terhad. Melayu dan pribumi memang mempunyai kelebihan dari segi bilangan penduduk dan hak-hak tertentu di negara ini tetapi kekuatan politik orang Melayu sendiri sudah banyak terhakis akibat politik Umno, Pas dan PKR.


Dato'Ibrahim Ali - Presiden Pribumi Perkasa


Jika kekuatan politik orang Melayu dapat disatukan atau sekurang-kurangnya Umno itu sendiri diperkasakan perjuangannya, sudah tentu kuasa bangsa akan menjana kuasa yang lebih besar. Bila itu berlaku bolehlah ‘ditepuk dada ditanya selera’. Nanti orang lain yang akan mengatakan bahawa Melayu adalah tuan di negara mereka.

Takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas: pertama, seseorang itu hendaklah menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Definisi Melayu ini tentunya menimbulkan masalah oleh kerana jika kurang tersempurnanya salah satu daripada syarat yang tiga itu mungkin menyebabkan seseorang itu tidak lagi layak dianggap sebagai Melayu.

Bagaimanapun, kesukaran seperti ini belum pernah disuai di hadapan mahkamah di negara ini. Ini tidak bermakna ia tidak akan muncul nanti sebagai suatu kemungkinan yang membawa kepayahan. Misalnya dari segi bahasa dan adat istiadat mungkin akan muncul persoalan: adakah kita kini berbahasa Melayu dengan lazimnya? Adakah kita mengamalkan budaya kita sehingga secara jelas mengandungi adat istiadat Melayu; apakah dia adat istiadat Melayu itu?

Bila semua ini dipersoalkan, sedikit sebanyak natijah tidak sempurna mungkin muncul.

Syor
l Melayu-Bumiputera perlu memperkasakan politik melalui bilangan mereka yang besar
2 Mengenal sejarah bangsa untuk panduan perjuangan
3 Mengenal kelemahan politik dan ekonomi dan mengatasi dengan muhasabah diri
4 Politik Melayu melalui Umno mesti diubah – Fasal 3 Perlembagaan Umno perlu dihayati lantaran di dalamnya sedia terkandung agenda Melayu yang sebenar
5 Semua dasar berkaitan Melayu-pribumi dan Islam diputuskan terlebih dulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan
6 Hindari perjuangan lemah imej. Bertindak apabila Melayu atau Umno dicerca oleh politik luaran
7 Sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar dijamin pantas dan saksama.

Friday, April 25, 2008

Majlis Raja-Raja ke 213

Buat pertama kalinya Majlis Raja-Raja selepas Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan kehadiran lima Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada Barisan Alternatif, termasuk seorang berbangsa Cina dari Pulau Pinang, negeri Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yg masih enggan melepaskan jawatan walaupun telah menyebabkan kehilangan negeri sendiri kepada pembangkang di dalam PRU baru-baru ini.



Mereka ialah Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selain Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebelum ini, sejak tahun 2004, hanya Nik Aziz merupakan Menteri Besar daripada kalangan parti pembangkang.

Tidakkah malu PM Abdullah berdepan dengan Raja-raja Melayu kerana beliau penyebab utama mencemarkan majlis dengan memberi peluang kepada DAP yang kurang ajar kepada institusi Kerajaan dan Ketuanan Melayu itu sendiri, termasuk "penderhakaan" beliau kepada YDP Agong mengenai perlantikan Menteri Besar Terengganu baru-baru ini?

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah hadir pada hari kedua mesyuarat itu. Seri Paduka diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-213 adalah mesyuarat pertama pada tahun ini. Majlis Raja-Raja bersidang sebanyak tiga kali setahun.



Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail hadir semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-213 sambil diiringi Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman di Istana Negara semalam.
- Bernama

Pelihara institusi raja
Utusan Malaysia
24 April 2008

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)

TANGGAL 13 Julai depan genap 111 tahun selepas Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat pertamanya di Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Pertemuan ulung itu dinamakan Mesyuarat majlis Raja-Raja Bersekutu atau lebih dikenali sebagai Mesyuarat Durbar.



Segala-galanya bermula dengan penubuhan majlis tersebut pada 1 Julai 1896 selepas Negeri-Negeri Melayu Bersekutu terdiri dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang ditubuhkan.

Rentetan daripada itu, sebuah majlis yang dianggotai oleh Raja-Raja Melayu Negeri Bersekutu turut diwujudkan bagi membincangkan hal ehwal dan kepentingan bersama dengan pemerintah Inggeris.

Keanggotaannya kemudian bertambah apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948, dengan kemasukan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Ke- lantan dan Terengganu. Namanya juga telah dipendekkan menjadi Majlis Raja- Raja.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya, Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi ahli dan ini diikuti pula oleh Sabah dan Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama selepas merdeka ialah pada 30 dan 31 Oktober 1957 dan dipengerusikan oleh Raja Perlis, Sultan Syed Putra Syed Hassan Jamalullail.

Itu sebahagian kecil sejarah awal Majlis Raja-Raja yang semalam bermesyuarat buat kali ke-213 di Istana Negara bagi melangsungkan fungsinya yang dipersetujui di bawah Perkara 38 Perlembagaan. Uniknya mesyuarat pertama untuk tahun ke-111 ini juga dipengerusikan oleh Sultan Perlis, Sultan Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Terdiri daripada sembilan raja dan empat Yang Dipertua Negeri, Majlis Raja-Raja adalah lambang hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di peringkat kepimpinan yang paling atas.

Mesyuarat kali ini sememangnya menarik dari segi warna-warninya. Empat raja atau wakilnya serta seorang Yang Dipertua Negeri diiringi oleh pemimpin negeri (Menteri Besar/Ketua Menteri) yang mewakili parti pembangkang.

Sememangnya peranan raja-raja yang tersembunyi di sebalik Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri sukar dimengertikan oleh rakyat.

Maka jadilah raja-raja institusi yang tersendiri sehingga setiap fungsi serta kuasa yang padanya dipandang sepi oleh rakyat, malah kadang-kadang diperlekehkan.


Namun kemelut pelantikan Menteri Besar di Perak, Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya baru-baru ini ternyata mengembalikan ingatan rakyat terhadap fungsi sultan atau raja di negeri-negeri.

Betapa satu-satunya institusi yang tinggal untuk mempertahankan kedaulatan bangsa serta ketinggian agama Islam itu sering disalahertikan sebagai tidak mempunyai sebarang kelebihan.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz menarik perhatian mengenai institusi raja-raja yang semakin dilupakan sehinggalah berlakunya gelombang di ketiga-tiga negeri itu.

Katanya, ia sekali gus mengubah pemikiran rakyat bahawa Raja-Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja mempunyai fungsi yang terlalu hambar, penuh dengan batasan serta tidak perlu dirujuk (berbincang) setiap kali ada keputusan yang memerlukan peranan mereka.

Contoh paling mudah ialah kelantangan kerajaan Pulau Pinang ingin menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sedangkan ia melibatkan peranan Majlis Raja-Raja dan tidak boleh dilontarkan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada majlis tersebut.


Shamrahayu berkata, keadaan itu jelas menunjukkan betapa rakyat termasuk di peringkat pemimpin masih ada yang tidak faham tentang peranan Majlis Raja-Raja.

"Sebab itu perkara-perkara seperti ini boleh dilontarkan sewenang-wenang tanpa mengambil kira apakah kedudukan sebenarnya,'' katanya.

Beliau berkata, perkembangan terbaru itu juga menunjukkan bahawa sumbangan serta peranan raja-raja bukan hanya ditonjolkan ketika mereka bersidang.

"Sebaliknya ketika tidak bersidang pun pandangan raja-raja mesti dirujuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan fungsi mereka seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan,'' katanya.

Paling dikesalkan apabila masyarakat dibelenggu oleh persepsi bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai peranan yang amat minimum.

"Peranan Majlis Raja-Raja menjadi minimum kerana ia tidak dirujuk jauh sekali diajak berbincang sedangkan fungsi majlis amat besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia.


Selain itu, jelas beliau, masyarakat juga sering mempunyai tanggapan yang tidak tepat terhadap keupayaan raja-raja sedangkan latar belakang pendidikan mereka tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja.

Contohnya, terkandung di dalam Perlembagaan bahawa sebarang pelantikan yang dibuat oleh raja-raja hendaklah nasihat Perdana Menteri.

Biarpun peruntukan tersebut menjelaskan sebaliknya, namun ada kalangan masyarakat berpendapat raja-raja menjadi 'yes man' iaitu bersetuju atas apa sahaja yang dikemukakan kepada mereka.

Sedangkan, hakikatnya, raja-raja mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak nama-nama yang dicadangkan untuk apa juga pelantikan yang memerlukan restu mereka.


Oleh kerana terlalu dibelenggu oleh persepsi kurang elok tentang raja-raja maka banyak pihak yang tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perak, Perlis dan Terengganu.

"Semestinya raja-raja yang berkenaan tahu serta pandai menilai keutamaan negeri-negeri yang baginda menjadi penaungnya. Sudah tentu juga raja-raja akan memilih orang yang layak dan di-terima oleh rakyat,'' katanya.

Raja-raja juga menggunakan pendekatan yang terbaik untuk memastikan pemimpin yang menjadi pilihan mampu meredakan ketegangan seperti yang diputuskan di Perak.

Hakikatnya Mesyuarat Majlis Raja- Raja kali ke-213 biarpun tidak akan mengetengahkan kepada umum inti perbincangannya, namun kepentingannya mesti diakui oleh semua pihak.

Ia bukan pertemuan biasa jauh sekali sekadar memenuhi kalendar tahunan sebaliknya mesyuarat tersebut adalah platform serta peluang untuk raja-raja membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.


Dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, mesyuarat tertutup itu tidak terkecuali membincangkan pelbagai agenda termasuk dasar-dasar negara.


Perlu diketengahkan bahawa institusi raja-raja bukan sedikit peranannya malah suara mereka kini semakin diterima dan dihormati oleh rakyat.

Misalnya, buah fikiran Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah amat disanjung baik dari sudut perundangan, politik mahupun mengangkat negara bangsa.

Begitu juga dengan kepimpinan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta keakraban Tengku Mahkota Johor yang sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan rakyat.

Mereka adalah waris yang bakal menduduki takhta apabila tiba masanya kelak dan semestinya menyerlahkan peranan raja-raja serta majlis yang diwujudkan khas untuk memulihara kedudukan raja-raja di negara ini.

Jika dirujuk fungsi Majlis Raja-Raja amat besar sejajar dengan kedudukan mereka sebagai ketua agama di setiap negeri. Majlis juga mempunyai tanggungjawab istimewa iaitu untuk melindungi hak-hak istimewa bumiputera.

Persetujuan majlis juga penting untuk sebarang pindaan melibatkan Artikel 10 Perlembagaan (berkaitan isu sensitif). Secara amnya, majlis boleh membincangkan sebarang isu berkaitan dengan keselamatan dan kepentingan negara bangsa.

Peranan raja-raja mesti dihormati dan difahami supaya pentadbiran negara dapat berjalan lancar serta kedudukan negara bangsa terpelihara.

Saturday, April 12, 2008

Perhimpunan Perpaduan Melayu

12 April, 2008 15:28 PM


Pertahan Perpaduan Elak Ketuanan Melayu Terhakis, Titah Tengku Mahkota Kelantan


KUALA LUMPUR, 12 (Bernama) -- Perpaduan Melayu wajar diberi keutamaan tinggi, lebih-lebih lagi dengan keputusan pilihan raya umum yang lepas menunjukkan masyarakat Melayu berpecah-belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi politik serta ekonomi, titah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra hari ini.

Baginda bertitah tindak-tanduk dan kerenah mereka yang menang dan kalah memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu amat tercabar, mungkin juga akan terhakis atau hilang terus.

"Rakyat Melayu semakin keliru. Di manakah benteng kekuatan Melayu untuk mempertahankan hak-hak Melayu dan ketuanan Melayu," titah baginda ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu Sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah anjuran Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Baginda menegaskan perkara utama yang harus diketahui dan difahami semua orang ialah peruntukan Perlembagaan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Negeri-Negeri Melayu yang dijamin hak istimewa sebagai rakyat Malaysia.

"Perkara 153(1), Perkara 160(2), Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara 32 dan Perkara 38(1), Jadual Kelima, berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam adalah agama rasmi Malaysia, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia dan Raja-Raja Melayu adalah Raja Berpelembagaan di Negeri-Negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Institusi Raja-Raja Melayulah yang menjadi payungnya," titah baginda.


Baginda bertitah perkara-perkara ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu.

"Adalah menjadi tanggungjawab rakyat Melayu memastikan perkara-perkara yang beta sebut tadi dipelihara dan dipertahankan sepanjang masa. Jangan ada mana-mana pihak yang menggugatnya.

"Orang Melayu perlulah membulatkan tekad bersatu, jangan berpecah-belah, elakkan berpolemik yang boleh menjarakkan persefahaman sesama sendiri," titah baginda.


Tengku Muhammad Faris bertitah isu-isu ideologi, tafsiran pendapat yang pelbagai tidak menyumbang kepada perpaduan Melayu.

Titah baginda polemik negara Islam, negara sekular serta negara berkebajikan, menjadikan rakyat menjadi semakin kabur pemikiran mereka.

Akibat daripada kekalutan ini, titah baginda, timbul satu senario di mana orang Melayu semakin terasing, menjarak dan menjauh.

"Beta amat sedih kerana dalam keadaan sekarang, tidak ada yang baik dikaitkan dengan Melayu. Kita membiarkan diri kita didedahkan, diaibkan dan dimalukan malah nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri.

"Siapa sahaja yang berjaya, mesti dicari cacat celanya, tidak cukup dengan internet, ditambah dengan khidmat pesanan ringkas. Teori propaganda menyebut sepuluh kebohongan akan menjadi kebenaran, teori komunikasi moden pula menyebut bahawa setiap e-mail dianggap benar, setiap SMS dianggap sahih," titah baginda.

Tengku Mahkota juga kesal orang Melayu seolah-olah dianggap menjadi punca segala penyakit masyarakat seperti korupsi, dadah dan sebagainya.

"Orang lain diam menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang beragama Islam, menjadikan kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi pertama," titah baginda.

Menurut Tengku Mahkota, baginda membangkitkan perkara itu semata-mata untuk menunjukkan bahawa perpaduan umat Melayu amat rapuh dan semakin hari semakin parah.

"Beta berharap perhimpunan pada pagi ini memikirkan bagaimana hendak menjadikan Melayu sebagai bangsa berjiwa besar. Kita mesti ada jiwa penakluk. Tetapi bolehkah kita menjadi bangsa yang berjiwa penakluk dengan sikap dan pendirian yang kita pegang hari ini," titah baginda.

Baginda bertitah berjiwa penakluk bukan bermaksud menakluk bangsa atau kaum lain tetapi menakluk ketinggian ilmu, menguasai ekonomi dan teknologi, keunggulan tamadun, keluhuran iman dan takwa yang mampu menakluki serta menewaskan nafsu buas, rasa iri hati dan hasad dengki yang membuatkan kita lupa diri apabila berkuasa.

"Beta ingin menyatakan bahawa perpaduan, kesepakatan, patriotisme, sayangkan bangsa, semuanya disatukan dalam satu ikatan perpaduan untuk mengangkasakan martabat bangsa.

"Beta berharap mesej yang beta sampaikan ini akan mengusik conscience atau fikrah kita semua untuk sama-sama menginsafi bahawa imej dan maruah yang tercalar adalah menjadi tanggungjawab semua, tidak kira kedudukan, ideologi politik, bangsawan atau rakyat biasa sama-sama bertanggungjawab memperbaikinya," titah baginda.

Tengku Mahkota bertitah mungkin ramai yang tidak senang dengan kenyataan baginda tetapi itu adalah hakikat kerana demi kuasa, ada pemimpin Melayu yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa sendiri sedangkan pemimpin kaum lain sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka.

"Malangnya, beta dapati rakyat Melayu masih mengamalkan sikap marahkan nyamuk, kelambu dibakar atau marahkan pemimpin, masa depan anak cucu digadaikan.

"Yang menyedihkan ada pula paling taksub hendakkan kuasa hinggakan membujur lalu, melintang patah, asal dapat kuasa yang menjadi matlamat terakhir, sehingga sanggup menang sorak, kampung tergadai," titah baginda.

Baginda juga bertitah, selagi sikap ini tidak dikikis, selagi itulah usaha untuk menyatukan Melayu hanya menjadi impian semata-mata.

"Beta berpendapat perhimpunan hari ini harus memikirkan dengan semasak-masak sampai bila orang kita, Melayu harus bertelagah dan tidak mahu bersatu serta berfikir secara matang.

"Sebenarnya pada pandangan beta, orang Melayu kini tidak mampu lagi ditiup dengan slogan dan retorik. Peserta-peserta perhimpunan hendaklah mempunyai niat untuk menyatupadukan Melayu secara jujur dan ikhlas tanpa mempunyai apa-apa agenda tersembunyi termasuk untuk menaikkan atau menjatuhkan mana-mana pemimpin," titah baginda.

-- BERNAMA