Showing posts with label BBPM. Show all posts
Showing posts with label BBPM. Show all posts

Sunday, April 13, 2008

Sindiran Raja-Raja Kepada Abdullah

Sehingga Raja2 Melayu juga terpaksa masuk campur untuk tutup segala kelemahan Abdullah menjadi penyebab rakyat dan orang2 Melayu menolak UMNO dan BN untuk menolak Abdullah dan menidakkan campurtangan menantu dan keluarga beliau dan Tingkat 4 yg banyak mengharu-birukan negara dan menghakiskan kuasa politik orang2 Melayu di Tanah Melayu sendiri. Tidak pernah sebelum ini raja-raja Melayu terpaksa mencemar duli membuat persidangan untuk mencari cara-cara untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair sebegini sekali.

Heran sungguh, Abdullah Hj Ahmad masih buat pekak badak.

Bila akar umbi bersuara di PRU 12, beliau kata beliau masih mendapat sokongan pemimpin UMNO dan Majlis Tertinggi serta parti komponen. Bila pemimpin2 tertinggi UMNO dan parti2 komponen sudah bersuara meminta peralihan kuasa beliau kata akar umbi masih menyokongnya. Malah alim ulama', Raja2 Melayu, Sultan dan Agong juga sekarang terpaksa turun padang memikirkan nasib Melayu dan rakyat kerana kelemahan terserlah bernama Abdullah, tetapi beliau masih boleh kata beliau masih akan bertanding jawatan Presiden UMNO di PAU 2008 bulan Disember ini.

Masih tidak cukupkah kerosakan yg dilakukan beliau? Kenapa terlalu taksub dan gila kuasa? Sekarang semua sudah tertanya-tanya sebab musabab sebenar Abdullah Hj Ahmad Badawi tidak mahu melepaskan kuasa. Adakah ianya ada kena mengena dengan seorang rakyat warga asing rakan kongsi Kamaluddin rakyat asing pertama dalam sejarah yang diISAkan untuk menyelamatkan Kamaluddin Abdullah dalam isu nuklear centrifuge? Isu Oil for Food Program untuk menyelamatkan Abdullah? Adakah apa-apa lubang yang Abdullah Hj Ahmad perlu tutup? Kenapa dan mengapa tidak mahu melepaskan kuasa? Lagi lama Abdullah tidak mahu melepaskan jawatan, lagi dalam dan besar lubang yang rakyat akan korek untuk mengetahui mengapa beliau amat liat untuk melepaskan kuasa.

Segala lapisan rakyat, Raja-raja dan Sultan-sultan serta alim ulamak pun semua tertanya-tanya.

Melayu Harus Bersatu
From Utusan Online
Ketuanan Melayu tercabar - Kaum lain lebih dominan dari segi politik, ekonomi – Tengku Faris

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 April – Usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi pada masa ini berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar, titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Baginda bertitah, beberapa perkembangan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu jelas memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu tercabar, mungkin terhakis atau lenyap suatu hari nanti.

“Lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya lalu menunjukkan masyarakat Melayu berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan dari segi politik dan ekonomi,’’ titah baginda.


Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Kira-kira 3,000 peserta menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang dikenali sebagai Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).

Antara NGO terlibat ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Baginda menambah, orang Melayu kini juga semakin keliru tentang kedudukan benteng kekuatan mereka dalam usaha mempertahankan hak dan ketuanan Melayu.

Justeru baginda bertitah, perkara utama yang harus diketahui dan difahami ialah peruntukan Perlembagaan yang menegaskan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal yang dijamin hak istimewa sebagai rakyat Malaysia.

“Peruntukan berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

“Perkara-perkara ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda turut mengingatkan orang Melayu pada masa depan supaya bijak berpolitik agar tidak berlaku keadaan ‘menang sorak kampung tergadai’.

Baginda bertitah, kini ada orang Melayu telah bertindak ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ yang akhirnya, menggadaikan masa depan bangsa hanya kerana marahkan pemimpin.

“Paling menyedihkan, ada pula yang taksub hendakkan kuasa sehingga bertindak membujur lalu, melintang patah asalkan dapat kuasa,” titah baginda.

Menurut baginda, lebih memburukkan perpecahan Melayu itu apabila ada pula sebilangan pemimpin Melayu sendiri yang sanggup mengenepikan kepentingan bangsa.
“Ini berbeza dengan pemimpin kaum lain yang sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka.

“Selagi sikap seumpama ini tidak dikikis, maka selagi itulah usaha untuk menyatukan bangsa Melayu hanya akan menjadi satu impian sahaja,” titah baginda.

Justeru, baginda menyeru orang-orang Melayu supaya jangan hanya bercakap sebaliknya mesti bertindak dan menunjukkan hasil tindakan yang benar-benar mencapai matlamat yang disasarkan.

“Sekiranya ini dapat dicapai, beta amat berbangga dan sesungguhnya kedaulatan dan ketuanan Melayu akan terus kukuh dan terbilang dengan institusi raja-raja Melayu memayunginya.

“Sesungguhnya beta mempunyai impian dan harapan untuk melihat suatu keadaan di mana perbalahan dan perbezaan pendapat di antara semua pemimpin Melayu Islam itu dirungkai menerusi satu muzakarah yang diadakan secara tertutup, berhemah dan bijaksana,” kata baginda.

Tengku Muhammad Faris Petra bertitah, baginda berharap segala perbezaan pendapat diketepikan dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara.

Saturday, April 12, 2008

Perhimpunan Perpaduan Melayu

12 April, 2008 15:28 PM


Pertahan Perpaduan Elak Ketuanan Melayu Terhakis, Titah Tengku Mahkota Kelantan


KUALA LUMPUR, 12 (Bernama) -- Perpaduan Melayu wajar diberi keutamaan tinggi, lebih-lebih lagi dengan keputusan pilihan raya umum yang lepas menunjukkan masyarakat Melayu berpecah-belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi politik serta ekonomi, titah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra hari ini.

Baginda bertitah tindak-tanduk dan kerenah mereka yang menang dan kalah memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu amat tercabar, mungkin juga akan terhakis atau hilang terus.

"Rakyat Melayu semakin keliru. Di manakah benteng kekuatan Melayu untuk mempertahankan hak-hak Melayu dan ketuanan Melayu," titah baginda ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu Sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah anjuran Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Baginda menegaskan perkara utama yang harus diketahui dan difahami semua orang ialah peruntukan Perlembagaan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Negeri-Negeri Melayu yang dijamin hak istimewa sebagai rakyat Malaysia.

"Perkara 153(1), Perkara 160(2), Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara 32 dan Perkara 38(1), Jadual Kelima, berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam adalah agama rasmi Malaysia, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia dan Raja-Raja Melayu adalah Raja Berpelembagaan di Negeri-Negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Institusi Raja-Raja Melayulah yang menjadi payungnya," titah baginda.


Baginda bertitah perkara-perkara ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu.

"Adalah menjadi tanggungjawab rakyat Melayu memastikan perkara-perkara yang beta sebut tadi dipelihara dan dipertahankan sepanjang masa. Jangan ada mana-mana pihak yang menggugatnya.

"Orang Melayu perlulah membulatkan tekad bersatu, jangan berpecah-belah, elakkan berpolemik yang boleh menjarakkan persefahaman sesama sendiri," titah baginda.


Tengku Muhammad Faris bertitah isu-isu ideologi, tafsiran pendapat yang pelbagai tidak menyumbang kepada perpaduan Melayu.

Titah baginda polemik negara Islam, negara sekular serta negara berkebajikan, menjadikan rakyat menjadi semakin kabur pemikiran mereka.

Akibat daripada kekalutan ini, titah baginda, timbul satu senario di mana orang Melayu semakin terasing, menjarak dan menjauh.

"Beta amat sedih kerana dalam keadaan sekarang, tidak ada yang baik dikaitkan dengan Melayu. Kita membiarkan diri kita didedahkan, diaibkan dan dimalukan malah nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri.

"Siapa sahaja yang berjaya, mesti dicari cacat celanya, tidak cukup dengan internet, ditambah dengan khidmat pesanan ringkas. Teori propaganda menyebut sepuluh kebohongan akan menjadi kebenaran, teori komunikasi moden pula menyebut bahawa setiap e-mail dianggap benar, setiap SMS dianggap sahih," titah baginda.

Tengku Mahkota juga kesal orang Melayu seolah-olah dianggap menjadi punca segala penyakit masyarakat seperti korupsi, dadah dan sebagainya.

"Orang lain diam menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang beragama Islam, menjadikan kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi pertama," titah baginda.

Menurut Tengku Mahkota, baginda membangkitkan perkara itu semata-mata untuk menunjukkan bahawa perpaduan umat Melayu amat rapuh dan semakin hari semakin parah.

"Beta berharap perhimpunan pada pagi ini memikirkan bagaimana hendak menjadikan Melayu sebagai bangsa berjiwa besar. Kita mesti ada jiwa penakluk. Tetapi bolehkah kita menjadi bangsa yang berjiwa penakluk dengan sikap dan pendirian yang kita pegang hari ini," titah baginda.

Baginda bertitah berjiwa penakluk bukan bermaksud menakluk bangsa atau kaum lain tetapi menakluk ketinggian ilmu, menguasai ekonomi dan teknologi, keunggulan tamadun, keluhuran iman dan takwa yang mampu menakluki serta menewaskan nafsu buas, rasa iri hati dan hasad dengki yang membuatkan kita lupa diri apabila berkuasa.

"Beta ingin menyatakan bahawa perpaduan, kesepakatan, patriotisme, sayangkan bangsa, semuanya disatukan dalam satu ikatan perpaduan untuk mengangkasakan martabat bangsa.

"Beta berharap mesej yang beta sampaikan ini akan mengusik conscience atau fikrah kita semua untuk sama-sama menginsafi bahawa imej dan maruah yang tercalar adalah menjadi tanggungjawab semua, tidak kira kedudukan, ideologi politik, bangsawan atau rakyat biasa sama-sama bertanggungjawab memperbaikinya," titah baginda.

Tengku Mahkota bertitah mungkin ramai yang tidak senang dengan kenyataan baginda tetapi itu adalah hakikat kerana demi kuasa, ada pemimpin Melayu yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa sendiri sedangkan pemimpin kaum lain sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka.

"Malangnya, beta dapati rakyat Melayu masih mengamalkan sikap marahkan nyamuk, kelambu dibakar atau marahkan pemimpin, masa depan anak cucu digadaikan.

"Yang menyedihkan ada pula paling taksub hendakkan kuasa hinggakan membujur lalu, melintang patah, asal dapat kuasa yang menjadi matlamat terakhir, sehingga sanggup menang sorak, kampung tergadai," titah baginda.

Baginda juga bertitah, selagi sikap ini tidak dikikis, selagi itulah usaha untuk menyatukan Melayu hanya menjadi impian semata-mata.

"Beta berpendapat perhimpunan hari ini harus memikirkan dengan semasak-masak sampai bila orang kita, Melayu harus bertelagah dan tidak mahu bersatu serta berfikir secara matang.

"Sebenarnya pada pandangan beta, orang Melayu kini tidak mampu lagi ditiup dengan slogan dan retorik. Peserta-peserta perhimpunan hendaklah mempunyai niat untuk menyatupadukan Melayu secara jujur dan ikhlas tanpa mempunyai apa-apa agenda tersembunyi termasuk untuk menaikkan atau menjatuhkan mana-mana pemimpin," titah baginda.

-- BERNAMA